MAJLIS PENGUMUMAN PROJEK PERPUSTAKAAN DIGITAL BUTTERWORTH DENGAN KEMUDAHAN AWAM

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENGUMUMAN PROJEK PERPUSTAKAAN DIGITAL BUTTERWORTH DENGAN KEMUDAHAN AWAM DI BANGUNAN DEWAN RIA, KAMPUNG BENGGALI, BUTTERWORTH, PULAU PINANG

8 APRIL 2018 (AHAD), 9.30 PAGI

 

 

Selamat pagi dan salam sejahtera.

 

Beberapa bulan yang lalu, kita telah berada di sini dalam Majlis Perasmian Taman Poket (Pocket Park) Lebuh Kampung Benggali. Sekarang, pada pagi ini kita berada semula di kawasan ini bagi mengumumkan secara rasmi projek terbaru iaitu Perpustakaan Digital Butterworth (Butterworth Digital Library) di Dewan Ria ini. Kerajaaan Negeri berhasrat membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan untuk sains dan teknologi.

 

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pendidikan bukan hanya satu keistimewaan tetapi juga keperluan kepada penduduk. Dengan itu, Kerajaan Negeri telah menawarkan Kelas Tuisyen percuma kepada komuniti yang kurang bernasib baik melalui Program Memperkasakan Golongan Belia di bawah Penggerak Komuniti Muda Pulau Pinang (PEKA).

 

Seperti mana semua sedia maklum, pada Oktober 2016, Kerajaan Negeri telah mengumumkan secara rasmi pembukaan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Penang Digital Library) yang pertama di Malaysia yang terletak bersebelahan dengan Penang Free School. Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk membawa teknologi terkini ke dalam bidang pendidikan dengan menyediakan bahan bacaan elektronik dan tidak mempunyai sebuah buku pun.

 

Namun begitu, perkembangan-perkembangan yang menarik tersebut terletak di bahagian Pulau dan tidak di bahagian Seberang Perai. Jadi kita tidak mahu masyarakat di bahagian Seberang Perai ini ketinggalan dengan pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memilih Butterworth dan Dewan Ria sebagai Perpustakaan Digital pertama di Seberang Perai, Pulau Pinang.

 

Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Fasa 1)

 

Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) merupakan fasa terkini dalam transformasi perpustakaan di Negara ini.

 

PDL telah dibangunkan dengan inisiatif secara 4P Partnership yang merangkumi 'Public, Private, People & Profesional” (PPPP) antara Kerajaan Negeri, Keysight Technologies, Eastern & Oriental Group (E&O) dan penyedia jalur lebar berkelajuan tinggi, TIME Dotcom. PDL telah dirasmikan pada 8 Oktober 2016 dan terletak di kawasan Penang Free School, Jalan Masjid Negeri.

 

Pada 1 Mei 2017, PDL telah memulakan operasi perkhidmatan kepada 24 jam/365 hari setahun termasuk cuti umum. Tanpa menyediakan buku secara fizikal, pengguna boleh mengakses kepada 3,000 bahan bacaan elektronik yang terdiri daripada eBooks dan eMagazines, dengan lebih daripada 3,000 pengguna berdaftar melalui aplikasi mudah alih yang disediakan iaitu READCASA.

 

Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Fasa 2)

 

Kapasiti tempat yang terhad di PDL di antara 100-120 pengguna dalam satu-satu masa adalah tidak mencukupi.

 

Oleh itu, pada 16 Mac 2018 lalu, projek Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2 (PDL-P2) telah dilancarkan dengan kos sebanyak RM10.8 juta. PDL-P2 ini bertemakan 'Library in the Park' dengan keluasan 16,000 kaki persegi dan dapat menampung seramai 540 pengguna pada satu-satu masa iaitu kapasiti sehingga 4 kali ganda daripada PDL sedia ada.

 

Perpustakaan Digital Butterworth

 

Bagi Perpustakaan Digital Butterworth di Dewan Ria ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta bagi menaiktaraf dan mengubahsuai bangunan yang sedia ada. Pembangunan projek ini mengambil masa 18 bulan dengan jangkaan 'soft launch' pada bulan Ogos 2019 dan dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2019. Bangunan Dewan Ria ini akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sesuai kepada semua peringkat umur dan kemudahan ini adalah percuma serta boleh digunakan pada bila-bila masa.

 

Pemilihan kawasan Bangunan Dewan Ria bagi Perpustakaan Digital Butterworth ini adalah salah satu daripada 4 pembangunan yang dirancang di kawasan ini. Pertamanya, kita telah membuat pemulihan dan menaiktaraf Taman Poket (Pocket Park). Keduanya, kemudahan kolam renang yang lengkap untuk kegunaan awam.

 

Penambahbaikan kepada bangunan-bangunan sedia ada dan kawasan sekitar yang sedang berlaku di Butterworth adalah sebahagian daripada Program Butterworth Baharu MPSP yang merupakan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai di bawah pimpinan Yang Berbahagia Dato' SR. Haji Rozali bin Mohamud dan Think City.

 

Penutup

 

Sekali lagi saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Perbadanan Seberang Perai atas usaha mereka dalam meningkatkan kualiti kehidupan di Butterworth dan Think City dengan komitmen untuk menjadikan Butterworth sebuah bandar yang boleh ditandingi.

 

Akhir kata, sukacitanya saya dengan ini secara rasminya mengumumkan projek Perpustakaan Digital Butterworth, Bangunan Dewan Ria, Kampung Benggali.

 

Sekian, terima kasih.