MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2017 NEGERI PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SPM

TAHUN 2017 NEGERI PULAU PINANG

12 APRIL 2018 (KHAMIS)

DEWAN SRI PINANG

 

 

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB. TKM II, YB. Wong Hon Wai dan Urusetia Majlis daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertungkus-lumus memastikan majlis dapat dijalankan dengan jayanya. Terima kasih juga kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis ini yang diadakan setiap tahun demi untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM yang lalu.

 

Berdasarkan maklumat, pada tahun 2017, seramai 265 orang calon SPM telah mendapat keputusan cemerlang iaitu mendapat semua A+ dalam matapelajaran dengan sekurang-kurangnya 7A+ dan ke atas. Jumlah ini adalah termasuk 5 orang pelajar cemerlang khas (OKU). Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasa amat berbesar hati untuk memberikan insentif kewangan sebanyak RM500.00 berserta sijil kepada setiap pelajar cemerlang. Selain itu, Kerajaan Negeri turut akan menyampaikan anugerah kepada 3 buah sekolah yang memperolehi keputusan keseluruhan terbaik.

 

Sidang hadirin sekalian,

 

Kami akan terus mendorong ekonomi berpendapatan tinggi melalui tadbir urus yang baik, integriti dan penekanan berterusan kami terhadap Sains & Teknologi. Sejajar dengan perkembangan teknologi yang menggalakkan penggunaan internet secara maksima, kita semua mesti menguasai gelombang Revolusi Industri 4.0 yang merangkumi Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things.

 

Kerajaan Negeri telah melabur RM75 juta dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan bagi sains dan teknologi seperti Penang Tech Dome, Perpustakaan Digital di bahagian Pulau dan Seberang Perai, Kelas Vokasional Jerman yang terbaik di dunia dan Penang Science Cluster (PSC). Baru- baru ini Kerajaan Negeri juga telah melabur sejumlah RM6 juta dalam tempoh 3 tahun kepada Penang Science Cluster untuk Kelas Koding (coding classes) kepada 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah kita di Pulau Pinang menjelang tahun 2020.

 

Dalam usaha kita untuk menjadi sebuah Negeri dan Negara yang berpendapatan tinggi, kita seharusnya memberikan tumpuan kepada pelaburan “talent” ataupun “bakat” rakyat Malaysia itu sendiri. Sehubungan itu, saya sering memaklumkan kepada semua pada setiap kali majlis seumpama ini iaitu Kerajaan Negeri telahpun menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) iaitu satu program biasiswa. PFF ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang dan berkelayakan dan keutamaan adalah untuk anak jati Pulau Pinang.

 

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya di dalam peperiksaan SPM yang lalu. Tahniah juga diucapkan kepada para ibubapa, guru-guru dan juga semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan pelajar-pelajar ini. Teruskanlah berusaha untuk menghadapi pelbagai cabaran yang baru dan lakukanlah inovasi agar dapat kita langkaui sempadan kecemerlangan yang ada pada hari ini.

 

Dengan ini saya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2017 Negeri Pulau Pinang.

 

Sekian, terima kasih.