Ulangtahun LMNPP Ke-53 & Majlis Pelancaran Museum Community Project (MuseCOM Project)

Ucapan YAB Tuan Lim Guan Eng Sempena Ulangtahun LMNPP Ke-53 & Majlis Pelancaran Museum Community Project

(MuseCOM Project)

13 April 2018

 

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Bersih,

 

Selaku Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir pada hari ini bagi meraikan Ulangtahun Ke-53 LMNPP & Majlis pelancaran Museum Community Project (Muse-Com Project). Setelah 52 tahun beroperasi sebagai Muzium Negeri yang menyimpan khazanah sejarah dan warisan Pulau Pinang, kini Muzium Lebuh Farquhar akan mendapat nafas baru dengan projek restorasi berskala besar bagi memastikan aspek warisan bangunan ini dipelihara dan dipulihara. Muzium Negeri yang berwajah baru akan menempatkan pameran berinovatif, kreatif serta koleksi-koleksi bernilai negeri Pulau Pinang.

 

Bagi tempoh bangunan muzium dibaikpulih, pameran dan artifak sementara dari koleksi Muzium Negeri Lebuh Farquhar dan juga pameran pengenalan projek MAGnet telah dipindahkan ke Cawangan Muzium Negeri iaitu di Bangunan No. 57, Jalan Macalister. Ia akan mula beroperasi dan dibuka seperti biasa kepada pelawat serta masyarakat umum pada tahun ini. Konsep yang disampaikan di pameran muzium sementara ini lebih berunsurkan media baru yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan dan warisan di Pulau Pinang. Pameran sementara Muzium Negeri Pulau Pinang berkonsepkan “Muzium mengenai masyarakat untuk masyarakat” (A Museum About The People For The People).

 

Bayaran tiket masuk ke muzium bagi bulan April 2018 hingga Julai 2018 adalah percuma bersemperna dengan sambutan Ulangtahun Ke-53 Muzium Negeri Pulau Pinang. Bayaran tiket masuk akan kembali seperti biasa pada bulan-bulan berikutnya.

 

Hadirin yang dihormati,

 

Museum Community Project (Muse-COM Project) adalah untuk memupuk hubungan antara muzium dan masyarakat serta memperluaskan perspektif warisan dan budaya Pulau Pinang. Menggunakan tempat-tempat seperti taman, ruang terbuka, dan pemandangan jalan awam sebagai tempat untuk ungkapan seni dan budaya boleh menjadi cara yang berkesan untuk mengintegrasikan sejarah dan warisan ke dalam pengalaman seharian. LMNPP telah berkolaboratif bersama Department Of Mass Communication KDU Penang university Collage bagi menjayakan projek perintis ini.

 

Untuk Permulaan Muse-COM Project, LMNPP telah memilih topik mengenai pantang larang dalam kehidupan masyarakat majmuk seharian di sekitar George Town. Persoalannya di sini adalah bahawa generasi kini mengakui dan tahu mengenai pantang larang tetapi tidak tahu sebab dan alasan di balik pantang larang tersebut, maka projek ini akan menjawab soalan dengan melibatkan orang dewasa bagi setiap komuniti untuk menerangkan makna dan rasional di balik segala pantang larang tersebut.

 

Para hadirin yang dikasihi,

 

Setinggi-tinggi tahniah kepada semua agensi-agensi yang terlibat dalam projek komuniti warisan ini, terutamanya kepada pengurusan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Department Of Mass Communication KDU Penang university Collage, Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh, Penang Toechew Association, Leong San Tong Khoo Kongsi, Wadda Gurdwara Sahib dan Nattukottai Nagaathar Heritage Society.

 

Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan kepada Ahli-ahli Lembaga Muzium, Ahli-ahli Jawatankuasa Balai Seni Lukis, rakan-rakan muzium yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air, para sejarawan, artis-artis, agensi-agensi negeri, swasta mahupun persendirian yang telah bersama-sama membantu memajukan institusi ini.

 

Dengan ini saya menyempurnakan Majlis Ulangtahun Muzium Ke-53 & Majlis pelancaran Museum Community Project (Muse-Com Project)

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang