MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 2/2018

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 2/2018 PADA 2 DAN 3 MEI 2018

 

Salam Sejahtera dan Salam Ramadhan kepada semua.

 

 

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana telah bertungkus lumus dan telah berjaya menguruskan proses pemberian insentif dengan jayanya. Untuk makluman, insentif teksi telah mula diberikan sejak tahun 2013 manakala kepada operator bas baru sahaja mula diberikan pada awal tahun 2017.

 

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang di atas kerjasama yang baik bersama dengan Kerajaan Negeri dalam membantu dan melicinkan majlis ini sejak dari dahulu lagi. Diharapkan kerjasama baik ini akan berterusan di masa akan datang.

 

Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pemandu-pemandu teksi Pulau Pinang dan operator-operator bas sekolah Pulau Pinang yang sudi hadir pada hari ini untuk menerima insentif daripada pihak Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti pemandu-pemandu teksi kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang selama ini juga khidmat bakti operator-opertaor bas sekolah dalam mengambil dan mengangkut para pelajar setiap hari.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang. Terima kasih atas kerjasama yang baik selama ini.

 

Pada hari ini, semua pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300.00 setiap seorang. Jumlah besar kesemua penerima adalah seramai 2995 orang.

Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 2342 orang. Seramai 1652 orang pemandu di bahagian Pulau dan 690 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini.

 

Manakala bagi operator bas sekolah, seramai 653 operator bas sekolah dengan permit yang sah layak dengan 312 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 341 operator bas di Seberang Perai.

 

Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM898,500.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Sembilan Puluh Lapan Ribu Lima Ratus Sahaja).

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

 

Kerajaan Negeri akan terus membantu meneruskan pemberian insentif ini sekiranya masih di pilih untuk menerajui Negeri Pulau Pinang ini. Kerajaan Negeri ingin membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pemandu teksi dan operator bas di Pulau Pinang. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri mahu semua pemandu teksi, kereta sewa dan operator bas sekolah di Pulau Pinang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua rakyat Pulau Pinang terutama dari segi keselamatan dan keselesaan mereka.

 

Marilah kita sama-sama menghormati antara satu sama lain dan sama sekali tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Memandulah secara berhemah dan mesra pelanggan. Sebagai pemandu teksi, berilah perkhidmatan sebagai duta kecil Negeri Pulau Pinang dengan penuh toleransi dan sopan. Sesungguhnya, budi bahasa budaya kita. Bagi operator bas, teruskan usaha murni memberikan perkhidmatan kepada anak-anak untuk ke sekolah dengan selamat.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

Akhir sekali Kerajaan Negeri berjanji akan sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan semua pemandu teksi dan operator bas di Pulau Pinang. Tidak ada golongan yang akan diketepikan daripada aliran pembangunan negeri. Kerajaan Negeri akan terus membela dan berusaha memberikan yang terbaik kepada semua pemandu teksi dan operator bas. Saya berharap hubungan yang baik di antara pemandu teksi dan operator bas dengan Kerajaan Negeri dapat dikekalkan dan ditingkatkan dari masa ke semasa.

 

Saya juga berharap insentif ini dapat digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan operator bas sekolah didalam urusan seharian. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tuan-tuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya.

 

Sekian, Terima Kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang