MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG

5 JUN 2018 (SELASA)
Grand Ballroom, Paras 5, The Top KOMTAR, Pulau Pinang

 

Selamat Pagi dan Salam Ramadhan al-Mubarak.

 

  1. 1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua rakan-rakan Muslim kita dan kepada yang beragama Buddha pula, Selamat menyambut Hari Wesak yang baru sahaja berlalu pada minggu lepas. Sudah hampir sebulan berlalu PRU ke-14 yang melakar sejarah Negara Malaysia dan sudah hampir sebulan itulah juga tampuk kepimpinan Negara mengalami perubahan-perubahan yang akan membawa kepada kebaikan untuk kita semua. Tidak dapat dinafikan, tuan-tuan dan puan-puan sebagai pentadbir adalah pihak yang secara langsung akan merasai perubahan tersebut.

 

  1. 2. Namun di Pentadbiran Kerajaan Negeri, telah lama kita memulakan perubahan iaitu selama satu dekad yang lepas. Sejak 2008, telah banyak yang kita lakukan demi kebaikan semua. Sepanjang sedekad yang lepas, Kerajaan Negeri telah menunjukkan prestasi yang amat baik sekali. Rangsangan ekonomi yang telah kita laksanakan telah berjaya meyakinkan para pelabur luar. Daripada sebuah Negeri yang kecil dan kurang popular, Pulau Pinang telah menjadi sebuah Negeri yang terkenal dengan produk-produk pelancongannya. Status bandar Warisan Dunia oleh UNESCO yang menjadi pelonjak kepada kemasyhuran Negeri Pulau Pinang yang telah pun diketahui oleh seluruh pelosok dunia. Pelancongan kesihatan juga memainkan peranan yang hebat dalam kemajuan ekonomi negeri malahan produk-produk makanan jalanan (Street Food) yang suatu ketika dahulu hanya dipandang sebelah mata oleh kebanyakan orang, kini telah menjadi buruan pelancong tidak kira tempatan mahupun antarabangsa.

 

  1. 3. Perubahan di Pulau Pinang tidak setakat itu sahaja, inisiatif-inisiatif yang berteraskan keusahawanan dan kebajikan juga telah menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Kerajaan Negeri. Kita telah melaksanakan kerjasama awam, swasta dan rakyat melalui 4Ps Partnership : Public, Private, People and Professionals dan ternyata jalinan kerjasama sebegini telah memangkinkan perubahan dari segi pembangunan dan infrastruktur di Pulau Pinang. Program-program kebajikan yang telah kita laksanakan juga sedikit-sebanyak telah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat termasuk kita semua dan ini juga telah melegakan kerisauan sebilangan besar masyarakat yang dahulu amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup masing-masing.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

  1. 4. Pada hari ini saya ingin melahirkan rasa terima kasih kepada kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan kepada saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru. Sebagai Ketua Menteri dan juga mantan EXCO, saya tahu dan telah merasai pengalaman berkerjasama dengan tuan-tuan dan puan-puan. Percayalah, tanpa kerjasama, komitmen dan juga perkongsian ilmu dan pengalaman daripada tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan-kejayaan yang telah saya sebutkan sebentar tadi tidak mungkin akan dicapai. Negeri Pulau Pinang yang tersohor adalah hasil daripada sumbangan keringat dan kebijaksanaan tuan-tuan dan puan-puan juga sebagai Penjawat Awam. Terima kasih dan syabas saya ucapkan. Saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baharu ini amat mengharapkan jalinan kerjasama yang serupa malahan lebih baik lagi dapat diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan demi memastikan kita dapat terus menjadikan negeri yang tercinta ini sebagai sebuah negeri yang terbaik dari segi pembangunan dan infrastruktur namun masih selesa dan selamat untuk didiami.

 

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

 

  1. 5. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini telah pun menyatakan kekecewaan beliau terhadap pentadbiran Negara yang kini tidak lagi dipandang tinggi oleh dunia luar dan Negara kita tidak lagi dihormati. Sehubungan itu, adalah menjadi tugas kita semua termasuk barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru dilantik ini untuk bersama-sama memulihkan keadaan ini. Saya amat yakin dengan kerjasama yang erat daripada kedua-dua pihak ini akan menjadikan tanah air kita kembali ditadbir dengan baik dan berjaya. Pulau Pinang telah pun membuktikannya.

 

  1. 6. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Farizan Bin Darus serta urusetia daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas kejayaan penganjuran majlis ini pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah hadir pada Majlis ini. Majlis sebegini mencerminkan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited untuk mewujudkan hubungan silaturrahim yang baik dengan Anggota Perkhidmatan Awam di Negeri Pulau Pinang disamping berusaha untuk memartabatkan imej penjawat awam ke arah yang lebih tinggi. Sesungguhnya majlis sebegini adalah amat penting bagi saya dan ianya menjadi suatu platform untuk mempertemukan antara Pegawai-pegawai Persekutuan dan Negeri. Adalah menjadi harapan saya agar majlis ini menjadi satu medan pertemuan yang positif dan akhirnya membawa kepada pembentukan satu pasukan yang kuat antara Pegawai-pegawai Persekutuan dan juga Negeri. Sekali lagi saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang beragama Islam.

 

  1. 7. Akhir kata, sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma dalam 10 hari lagi, saya dengan ini berbesar hati mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (Bonus) berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri Pulau Pinang. Semoga bantuan khas ini dapat membantu dalam persiapan perayaan kali ini.

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang