Majlis Pembukaan Majlis Jamuan Rakyat Aildilfitri 2018

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Chow Kon Yeow 
Majlis Pembukaan Majlis Jamuan Rakyat Aildilfitri 2018

23 Jun 2018 di Jalan Padang Kota Lama

Saya berasa amat berbesar hati dapat berada di Padang Kota Lama bersama-sama anda semua pada malam ini dalam Majlis Jamuan Rakyat Aidilfitri Pulau Pinang 2018. Pada malam ini, para pengunjung akan dapat merasai keenakan makanan Pulau Pinang yang sememangnya terkenal di seluruh Malaysia dan dunia.

Padang Kota Lama, atau juga dikenali sebagai Esplanade, yang terletak di tepi laut bandar raya George Town, merupakan sebuah lokasi popular dan utama dalam acara sambutan kebudayaan, pertunjukan seni dan sebagainya.

Lokasi strategik tersebut dikelilingi destinasi pelancongan yang menarik, gerai makanan, bangunan warisan serta pemandangan Seberang Perai. Justeru, lokasi sambutan pada malam ini adalah amat bertepatan, untuk dinikmati bersama-sama keluarga dan rakan taulan.

Sektor pelancongan merupakan penyumbang terbesar ekonomi Pulau Pinang. Serentak itu, Pulau Mutiara senantiasa berusaha setapak ke hadapan dalam memantapkan kedudukan negeri ini sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara dan juga dunia.

Kepelbagaian dan kelazatan makanan jalanan ataupun “street food” negeri yang “tip top” di serata dunia telah berjaya menempa nama Pulau Pinang di peta makanan global.

Pulau Pinang juga telah memenangi pelbagai pengiktirafan dari organisasi dan penerbitan antarabangsa. Antaranya, pada tahun 2017, CNN, buat kali keduanya telah menyenaraikan Asam Laksa Pulau Pinang pada tempat ke-7 dalam senarai 50 Makanan Paling Enak Dunia; pada World Street Food Congress tahun lepas di Manila, Filipina, dua makanan dari Pulau Pinang juga disenarai sebagai 50 makanan jalanan terbaik di dunia, iaitu Nasi Kandar Line Clear dan Char Koay Teow di Siam Road. Jadi, selepas anda makan di sini, anda boleh terus ke sana dan beratur ya...

Umumnya, tahun 2018 merupakan suatu tahun yang amat bermakna kepada negeri Pulau Pinang. Ini kerana ia menandakan ulang tahun ke-10 George Town dianugerahkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu sejak tahun 2008.

Semua maklum bahawa di Pulau Pinang, anda boleh merasai segala-galanya, daripada makanan, ke pantai, bukit, bangunan warisan, mural, festival kebudayaan dan keagamaan, hiburan serta banyak lagi.

Bagi meraikan sambutan ke-10 ini, Sambutan Warisan George Town tahun ini pada 7hb Julai bakal diadakan dengan lebih meriah dan berskala besar, meliputi setiap komuniti masyarat di negeri ini.

Oleh itu, jangan lupa mengajak kawan-kawan ke tapak Warisan George Town pada 7hb Julai ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Statistik ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah menunjukkan peningkatan dua-digit pada suku pertama tahun ini. Sebanyak 821,207 pelancong antarabangsa tiba di negeri ini antara bulan Januari sehingga Mac, berbanding dengan hanya 706,270 orang tahun lepas. Peningkatan ini adalah sebanyak 16.27%.

Kerajaan Negeri menjangkakan angka berkenaan akan meningkat dengan bertambahnya beberapa penerbangan terus ke negeri ini. Pada tahun ini sahaja, lima penerbangan terus yang baharu telah dibuka, membabitkan bandar Hanoi, Phuket, Doha, Banda Acheh dan Jakarta. Secara tidak langsung, situasi tersebut menunjukkan betapa strategiknya Pulau Pinang untuk pelawat luar dari segi pelancongan, ekonomi dan logistik.

Merujuk kepada majlis kita pada malam ini, saya berharap anda semua terhibur dengan aktiviti yang disediakan seperti bengkel kraftangan serta seni tradisional dan juga persembahan kebudayaan.

Dalam kesempatan ini, saya mendoakan semoga sambutan Hari Raya tahun ini adalah lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, dan semua rakyat Pulau Pinang sentiasa diberkati, sihat dan gembira selalu.

Jangan lupa terdapat satu lagi majlis yang sama pada Sabtu depan di Butterworth Art Walk.

Jumpa di sana dan Selamat Hari Raya Aidilfitri! Maaf zahir dan batin.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang