MAJLIS RUMAH TERBUKA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI P.PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2018

3 JULAI 2018 (SELASA)
 ATRIUM, PDC

YB. Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman 
Timbalan Ketua Menteri I

YB. Prof. Dr. Ramasamy A/L Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri II

YBhg. Dato’ Rosli Jaafar
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

Ahli-Ahli EXCO

Dif-Dif Kehormat

Ahli-Ahli Pengurusan PDC

Encik Nazril bin Ghulam Hussain
Pengerusi Majlis Sambutan Hari Raya PDC 2018

Anak-Anak dari Ma’had Tahfiz Al-Ahmad Darul Quran, Gelugor P.Pinang

Kakitangan PDC

Rakan-rakan media

 Para hadirin yang dihormati sekalian

 Selamat tengahari dan Salam Sejahtera

Pertama sekali saya berasa amat berbesar hati untuk berada di sini dan bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dan di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja PDC dan semua jemputan yang hadir.

Bersempena bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita saling bermaaf-maafan antara satu sama lain dengan penuh keinsafan dan kesedaran agar dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan memeriahkahkan sambutan hari raya pada kali ini.

Di kesempatan bulan yang cukup mulia ini amalan bersedekah adalah amat digalakkan supaya kita tidak melupakan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Saya difahamkan bahawa pihak PDC telah mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan memberi bantuan seperti makanan dan keperluan harian dan pemberian duit raya kepada 8 buah keluarga yang kurang berkemampuan / bernasib baik di sekitar Pulau Pinang dan Seberang. Juga diraikan hari ini adalah kira-kira 20 anak-anak Rumah Tafiz Ma’had Tahfiz Al-Ahmad Darul Quran, Gelugor P.Pinang

PDC merupakan organisasi yang penting bagi negeri Pulau Pinang. Sejak zaman awal dengan peranan menggalakkan pelaburan, dan sebagai pemacu aktiviti sosio-ekonomi di negeri Pulau Pinang, bagi pihak Kerajaan Negeri, PDC juga telah berkembang dan maju dalam penekanan dan tumpuan terhadap peranan ini.

Walau bagaimanapun bagi memacu pelaburan ke Pulau Pinang, tanggungjawab perancangan dan pembangunan tanah masih menjadi peranan penting bagi PDC.

 Dengan menyediakan tanah, infrastruktur dan kemudahan awam kepada para pelabur, PDC akan dapat merangsangkan ekonomi dan juga menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang. Ini akan menjadi pemangkin bagi komponen pembangunan lain seperti perumahan, komersil, sukan dan infrastruktur. Oleh yang demikian peranan PDC akan menjadi semakin penting di negeri Pulau Pinang.

Dalam memacu pertumbuhan sosio ekonomi di Pulau Pinang, kita sedar bahawa tanah adalah salah satu isu di Pulau Pinang dan ini seringkali mendapat banyak permintaan untuk terutamanya tanah perindustrian.

Pelaburan Langsung Luar Negara (FDI) adalah penting tetapi usaha untuk membolehkan SME dan industri baru yang lain berkembang di Pulau Pinang juga harus dipertingkatkan. Oleh itu, Projek- Projek SME Village PDC di Batu Kawan dan SME Centre di Bayan Baru memainkan peranan penting dalam mempromosikan SME.

Seperti yang sedia maklum, Industri 4.0 adalah satu aspek yang PDC perlu ambil perhatian. Sehubungan ini, salah satu strategi yang dikenalpasti, oleh Kerajaan Negeri, adalah transformasi digital Pulau Pinang yang mana PDC juga dijangka memainkan peranan yang penting untuk memastikan kita adalah setanding dengan perkembangan digital antarabangsa.

Oleh itu PDC perlu diperkukuhkan supaya dapat meningkatkan prestasinya lagi. Dari segi Pengurusan, kepakaran dan pengetahuan harus dipertingkatkan serta pemantauan rapi harus diadakan atas semua projek pembangunan PDC, supaya kita dapat mecapai masa depan yang cerah.

PDC memang ada kelebihan dalam kedudukannya sebagai organisasi yang telah berusia hampir lima puluh tahun dengan banyak kekuatan dalaman dan kepakaran berbanding dengan agensi-agensi Negeri yang lain.

Oleh itu, saya menjangkakan agar PDC akan terus memainkan peranannya sebagai ‘game changer’ di Pulau Pinang, dengan menerajui pembangunan ekonomi sosial Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun akan datang, dari segi pelaburan, industri, pembangunan tanah, perumahan mampu milik, dan lain-lain tanggungjawab sosial Korporat.

Tuan tuan dan puan puan,

Amalan PDC mengelolakan sambutan untuk semua perayaan iaitu Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali and Krismas adalah baik untuk merapatkan warga PDC, yang berbilang kaum, dalam meraikan pelbagai sambutan perayaan dan tradisi. Amalan ini juga merupakan satu budaya Korporat PDC yang akan memperkukuhkan silaturahim dan espirit de corp antara kita semua.

Sehubungan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara Nazril bin Ghulam Hussain, Pengerusi Majlis Sambutan Hari Raya PDC 2018 dan Jawatankuasanya dalam mengelolakan sambutan Hari Raya ini.

Saya dengan ini, sekali lagi ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua muslimin dan muslimat yang hadir pada hari ini dan seterusnya dengan penuh rasa kesyukuran, saya merasmikan ‘MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2018’.

Maaf Zahir dan Batin!

Sekian, terima kasih.