MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN PASAR AWAM &  KOMPLEKS PENJAJA 4 TINGKAT

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN PASAR AWAM & 
KOMPLEKS PENJAJA 4 TINGKAT DI ATAS LOT 8826, TINGKAT PAYA TERUBONG 4, MUKIM 13, DAERAH TIMUR LAUT, PULAU PINANG

28 JULAI 2018

Terima kasih pengacara Majlis.

YB Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

YB Tuan Yeoh Soon Hin 
EXCO Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan, Kesenian yang juga ADUN Kawasan Paya Terubong

YB Tuan Teh Lai Heng 
Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri

YB Tuan Daniel Gooi Zi Sen 
ADUN Kawasan Pengkalan Kota

YB Tuan Joseph Ng Soon Siang 
ADUN Kawasan Air Itam

YB Tuan Ram Karpal Singh a/l Karpal Singh 
Ahli Parlimen Bukit Gelugor

Yang Berbahagia Dato' Dr. Mohamad Farazi Johari 
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (PEMBANGUNAN)

Encik John Tan 
Pengarah Patsifit Sdn Bhd

Ketua-ketua Jabatan, Ahli-Ahli Majlis MBPP, JKKK, Rakan Media, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Selamat Pagi dan Salam Malaysia Baru kepada hadirin sekalian.

Pakatan Harapan Merupakan Kerajaan Berjiwa Rakyat yang Dapat Menunaikan Janji-janji kita di Peringkat Negeri Mahupun di Peringkat Persekutuan dengan “Track Rekod” Yang Cemerlang

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) serta pihak pemaju, Patsifit Construction Sdn. Bhd. kerana berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Bangunan Pasar Awam dan Kompleks Penjaja pada pagi yang mulia ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Encik John Tan daripada syarikat kontraktor, Pasifit Construction Sdn Bhd kerana telah berjaya menyempurnakan projek ini 9 bulan lebih awal daripada jadual kerja yang ditetapkan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Pasifit Construction Sdn Bhd. Mengikut terma perjanjian dan jadual pelaksanaan kerja, bangunan pasar dan kompleks penjaja ini dijangka disiapkan sepenuhnya pada April 2019. Namun, atas usaha dan komitmen penuh pihak pemaju, bangunan ini telah berjaya disiapkan lebih awal dari tempoh yang sepatutnya dan telah memperolehi Lesen CCC pada 23 Julai 2018. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pemaju.

Projek Pasar Awam dan Kompleks Penjaja yang bernilai RM8 juta ini bermula dengan Majlis Pecah Tanah Penyambungan Projek pada 14 Mei 2016 oleh mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng. Melalui usahasama antara Kerajaan Negeri dengan Patsifit Construction Sdn. Bhd. tersebut, pemajuan pembangunan ini telah mula dilaksanakan pada 27 Jun 2016.

Pasar awam ini merupakan salah satu komponen pembangunan utama yang telah berjaya disiapkan. Ianya disusuli dengan pembangunan unit komersial yang kini dalam peringkat permohonan COW serta pembangunan perumahan mampu milik yang kini dalam peringkat kelulusan Pelan Kebenaran Merancang.

Sebenarnya tapak projek ini merupakan tapak bagi satu projek pembangunan yang telah dimulakan sejak tahun 1987, yang kononnya dikenali sebagai Bandar Satelit Pulau Pinang. Akan tetapi ia telah menjadi satu projek terbengkalai selepas pemajunya, iaitu Syarikat Bina Nusa Sdn Bhd diisytihar muflis pada tahun 1997.

Projek terbengkalai ini telah terbiar lebih kurang 15 tahun, sehingga Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih pengurusan Kerajaan Negeri pada tahun 2008. Bukan sahaja projek Pasar Awam di kawasan Paya Terubong ini telah berjaya dipulihkan, malah Kerajaan Negeri juga telah menyelamatkan beberapa projek lain yang tertera dalam pakej yang sama, seperti Majestic Height Fasa 2A yang melibatkan 370 unit rumah.

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan melalui EXCO Perumahan YB Jagdeep Singh pada tahun 2013, telah berbincang dengan pemaju PLB Engineering Berhad untuk menjadi pemaju “white knight” kepada projek Majestic Height tersebut. Projek pumulihan ini telah mengadakan upacara pecah tanah pada Ogos 2015, dan menyerahkan kunci kepada semua 370 pembeli rumah yang telah menunggu lebih daripada 20 tahun pada Januari 2017.

Hadirin sekalian,

Selain daripda projek-projek perumahan, Kerajaan Negeri juga semasa pilihanraya kecil Bukit Gelugor pada tahun 2014 telah berjanji untuk membina jalan raya berkembar (Jalan Bukit Kukus) yang menghubungkan Paya Terubong dengan Relau, sebagai laluan alternatif kepada penghuni-penghuni di kawasan paling padat di kawasan Pulau. Projek Jalan Bukit Kukus ini telah bermula sejak Januari tahun 2016 dan menelan kos sebanyak RM275 juta. Projek ini telah 66% seperti yang dijadualkan dan dijangka siap menjelang Oktober 2019.

Contoh-contoh di atas seperti pemulihan projek perumahan, pembinaan pasar awam serta projek jalan berkembar ini sekaligus telah membuktikan kepada rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gelugor serta DUN Paya Terubong bahawa segala janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan adalah janji yang realiti. Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan janji-janji kami, di peringkat negeri mahupun di peringkat Persekutuan.

Akhir kata, saya ingin mengulangi sekali lagi bahawa Pakatan Harapan merupakan kerajaan berjiwa rakyat yang dapat menunaikan janji-janji kita di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan dengan “track rekod” yang cemerlang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang