MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW

 SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2018

4 OGOS 2018

PADANG KOTA LAMA, PULAU PINANG

Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku!,

1. Terlebih dahulu di kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2018. 

2. Begitu juga ucapan terima kasih kepada semua Jemaah Menteri, YB. Timbalan-Timbalan Menteri, , Ketua Setiausaha Negara, dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan yang hadir ke Pulau Mutiara ini.

3. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Urusetia Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua agensi persekutuan dan negeri kerana usaha gigih dan dedikasi merencana, merancang, menyusun dan seterusnya menzahirkan pelbagai aktiviti dan program yang akan direalisasikan pada sambutan bulan kebangsaan tahun ini.

4. Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 yang akan dilancarkan serentak dengan Kempen Kibar Jalur Gemilang akan diikuti pula dengan program-program lain peringkat negeri dan Kebangsaan. Sesungguhnya, aktiviti-aktiviti yang telah dirangka dan disusun ini kesemuanya berpaksikan kepada satu matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kita semua sebagai warganegara Malaysia.

5. Saya amat berharap majlis seumpama ini, dapat menyemarakkan semangat patriotism kita dalam menghargai sebuah kemerdekaan. Sebagai warganegara, kita perlu bersyukur dan merasa bertuah menjadi rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman dan sejahtera.

6. Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara dapat ini hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan dan perpaduan kaum dengan mengeratkan hubungan silaturrahim yang padu, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini amat penting bagi menjamin perpaduan dan keharmonian Warga Pulau Pinang khususnya dan rakyat di negara ini amnya.

7. YAB Perdana Menteri, sejak 2008 setelah menjadi Negeri pembangkang tiada majlis seumpama ini dilaksanakan di Pulau Pinang walaupun Pulau Pinang memiliki segala kemudahan dan kelengkapan infrastruktur untuk majlis sebegini rupa. Oleh itu pemilihan Pulau Pinang oleh YAB Perdana Menteri untuk menjadi host pelancaran majlis ini adalah amat bermakna kepada Pulau Pinang setelah sekian lama ditinggalkan dari arus perdana program-program Kerajaan Persekutuan. Malah sejak 2008, Negeri Pulau Pinang bukan sahaja dianak tiri dari segi program, malah peruntukan pembangunan kepada Kerajaan Negeri juga dikurangkan. Oleh itu saya bagi pihak rakyat Pulau Pinang amat berharap sebagai harapan baru, pertimbangan peruntukan tambahan dapat direalisasikan. Saya yakin dan percaya secara bersama-sama kita dapat membangunkan semula negara kita ke puncak kejayaan dan kecemerlangannya yang pernah dicapai.

Sidang Hadirin sekalian,

Bersatu teguh, bercerai roboh

8. Keputusan rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke 14 dengan memberi SUARA DAN HARAPAN BAHARU merupakan satu tanggungjawab yang besar. Rakyat telah pun membuat keputusan. Justeru, semua pihak hendaklah akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu, sempit dan tertutup. Malah segala impian, cita-cita serta HARAPAN rakyat menjadi mandat kepada kerajaan untuk dipenuhi dengan sebaik mungkin ekspektasi tersebut serta memenuhi aspirasi rakyat.

9. Di Pulau Pinang, cabaran bagi barisan Exco dalam penggal ini adalah untuk menunaikan 68 janji Pilihan raya dalam Manifesto ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ dan seterusnya membawa transformasi yang bermakna kepada rakyat khususnya demi mencapai Kelestarian Alam Sekitar dalam Pertumbuhan Negeri. Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengamalkan pentadbiran yang penuh integriti. Saya percaya prestasi yang telah dicapai sepanjang 10 tahun pemerintahan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah menyediakan landasan yang kukuh untuk kita mara ke hadapan lagi.

10. Kita akan terus berikhtiar untuk meneruskan prestasi yang cemerlang ini untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri contoh setelah Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang diberi mandat ketiga untuk terus memerintah negeri ini. Saya berpandangan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menunjukkan semangat kecekapan, keharmonian dan keikhlasan dalam menjalankan tugas. Justeru itu saya yakin Pulau Pinang bakal menjadi negeri pintar yang bertaraf antarabangsa serta terus dikunjungi oleh para pelancong dalam dan luar negari.

Hadirin yang dihormati,

Kempen Kibar Jalur Gemilang

11. Kempen kibarkan Jalur Gemilang bukan bermakna sekadar mengibarkan Jalur Gemilang secara fizikal. Apa yang lebih penting adalah penghayatan nilai-nilai dan semangat yang dizahirkan oleh Jalur Gemilang untuk kita menggilap kembali semangat patriotisme, kecintaan kita kepada tanah air.

12. Cita-cita saya adalah untuk membangunkan rakyat Pulau Pinang, sebagai bangsa yang sopan, berakhlak mulia, menghormati orang yang berjasa, mempunyai budi bahasa yang tinggi. Justeru itu, saya dimaklumkan oleh Jawatankuasa Penganjur Majlis pada hari ini bahawa kita semua sebelum meninggalkan majlis, perlu pastikan bekas-bekas bungkusan dan segala sampah dikumpul dan dibuang di tempat yang disediakan. Tindakan ini selaras dengan slogan ‘Cleaner, Greener, Healthier and Safer Penang’. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Negeri Pulau Pinang dalam membantu dan memberi sokongan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang terbersih di Malaysia.

Hadirin yang dihormati,

Terima kasih atas sokongan

13. Momentum kerajaan negeri mungkin tidak selancar mana tanpa sokongan padu rakyat dalam setiap dasar dan aktiviti yang dianjurkan. Justeru itu, sekali lagi saya dengan penuh keikhlasan ingin mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga dan berharap hubungan yang baik ini dapat diteruskan hingga ke masa-masa akan datang.

14. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, YB KKMM, Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa kerja yang telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Pulau Pinang. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Bersama-samalah kita menggelorakan Bulan Kebangsaan dan kibarkanlah Jalur Gemilang.

Sekian. Terima kasih.