MAJLIS PELANCARAN LALUAN BASIKAL DAN PEJALAN KAKI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN LALUAN BASIKAL DAN PEJALAN KAKI

DARI TANJONG TOKONG (STRAITS QUAY) KE PADANG KOTA LAMA

PADA 11 OGOS 2018 (SABTU), 7.15 PAGI

Terima kasih Pengacara Majlis

Yang Berhomat Tuan Jagdeep Singh Deo 
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berhomat Tuan Wong Hon Wai
Ahli Parlimen Bukit Bendera

Yang Berhomat Tuan Lee Chun Kit
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus

Yang Berhomat Tuan Zairil Khir Johari
Ahli EXCO dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah

Yang Berbahagia Dato Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berusaha Ahli Majlis - Ahli Majlis

Yang Berusaha Setiausaha Bandaraya

Ketua-Ketua Jabatan

Para Wartawan

Dato’-Dato’/Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian

SELAMAT PAGI DAN SALAM HARAPAN.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhomat Tuan Jagdeep Singh Deo, Yang Berhomat Tuan Wong Hon Wai dan Yang Berhomat Tuan Lee Chun Kit kerana sudi melapangkan masa untuk menghadiri "Majlis Pelancaran Laluan Basikal dan Pejalan Kaki dari Tanjong Tokong (Straits Quay) ke Padang Kota Lama" pada pagi ini.

Laluan Basikal dan Pejalan Kaki dari Tanjong Tokong (Straits Quay) ke Padang Kota Lama (yang dilancarkan pada pagi ini):

• merupakan sebahagian daripada 180km laluan basikal yang telah disiapkan sehingga kini. 
• Projek ini mula pada bulan Dis 2016 dan telah disiapkan pada April 2018. 
• Kos projek yang terlibat adalah sebanyak RM 3.7 juta. 
• Juga merupakan komponen utama dalam ‘Coastal Cycling Route’ yang menghubungkan laluan basikal dari bahagian utara pulau ke persisiran pantai timur dan seterusnya menuju ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. 
• Sebahagian besar ‘Coastal Cycling Route’ ini adalah laluan berasingan dengan kenderaan bermotor maka lebih selamat digunakan.

Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang 
• Dirangka oleh Kerajaan Negeri dan MBPP pada tahun 2010. 
• Lebih kurang 200 km laluan basikal dirancang untuk disediakan di bahagian Pulau menjelang tahun 2020. 
• Kini, sebanyak 90% atau lebih kurang 180 km laluan basikal tersebut telah disediakan. 
• Ia termasuk laluan basikal khas (dedicated bicycle lane), laluan perkongsian dengan kenderaan (seperti di Jalan Teluk Bahang / Batu Feringgi / Balik Pulau ), Laluan basikal hijau di pusat bandar (laluan yang dicat hijau untuk memberi panduan kepada para pengguna basikal )
• 40.4km merupakan Laluan khas, iaitu lebih kurang 22.4% daripada 180km yang telah siap dalam Pelan Induk Basikal merupakan laluan khas yang mampu menjamin keselamatan penunggang basikal secara optimum.

Dua projek laluan basikal yang juga telah disiapkan pada tahun ini iaitu: 
1) Pembinaan Jejantas Basikal Dan Pejalan Kaki Di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Berdekatan Queensbay (Jambatan Harapan) Serta Pembinaan Jambatan Basikal Merentangi Sungai Ara Dan Sungai Nibong dengan kos sebanyak RM 8.9 juta.
2) Membina Dan Menaiktaraf Laluan Basikal Dan Pejalan Kaki Dari Queensbay Ke Bayan Baru sepanjang 3.9 km dengan kos sebanyak RM 3.78 juta.

Kesemuanya, jumlah kos projek yang terlibat untuk membiayai ketiga-tiga projek ini adalah RM16.38 juta.

Satu lagi projek pembinaan laluan basikal dan pejalan kaki akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini. Laluan yang terlibat dalam projek ini adalah Jalan Tanjong Tokong dan Jalan Tanjung Bungah (iaitu dari Tesco Seri Tanjung Pinang ke Hotel Flamingo) di bahagian utara pulau serta Jalan Kampung Jawa dan Lebuh Kampung Jawa di kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas. Jumlah jarak laluan basikal dan pejalan kaki yang akan disediakan adalah lebih kurang 5 km dan anggaran kos projek adalah sebanyak RM 4.3 juta. Tempoh pembinaan projek yang dirancang adalah selama 18 bulan.

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

Oleh kerana sambutan dan permintaan penduduk adalah sangat menggalakkan dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan basikal yang mesra alam dan sihat, maka Kerajaan Negeri akan terus meluaskan rangkaian laluan basikal untuk kemudahan, keselesaan dan keselamatan penunggang basikal. Perancangan juga sedang dibuat untuk menyediakan laluan basikal di kawasan resab sungai dan mewujudkan trek-trek bukit.

Dengan ini, saya merasmikan Laluan Basikal dan Pejalan Kaki ini dan semoga semua penunggang basikal tak kira masyarakat tempatan atau pelancong dapat menikmati kemudahan yang disediakan ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang