PROGRAM PENANAMAN 5100 POHON POKOK GOLDEN PENDA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PROGRAM PENANAMAN 5100 POHON POKOK GOLDEN PENDA

7 SEPTEMBER 2018 (JUMAAT)
PADANG TAMAN SEMILANG, SEBERANG JAYA

Yang Berhormat Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Dihormati Ahli Majlis- Ahli Majlis 
Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Berusaha Puan Ir Hjh Rosnani bt Hj Mahmod
Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Ketua-Ketua Jabatan

Kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai

Rakan - rakan Media

Tuan - tuan dan puan - puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tanda terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menjemput saya merasmikan Program Penanaman 5100 Pohon Pokok Golden Penda.

Di kesempatan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YBhg. Dato’ YDP, dan Tuan Setiausaha Perbandaran kerana berjaya menganjurkan Program Penanaman 5100 Pohon Pokok Golden Penda 2018 yang bertempat di Padang Taman Semilang, Seberang Jaya.

Tidak ketinggalan juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Perlaksanaan program ini juga adalah merupakan kesinambungan daripada Program Penanaman Pokok Teduhan yang terdahulu iaitu dari jenis Tabebuia Spp. (Tecoma) yang telah diadakan pada 27 Ogos 2017. Ianya telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng, yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2017.

Pada waktu tersebut, sebanyak 3,002 batang pokok Tecoma telah berjaya ditanam. Program sebegini merupakan sebahagian daripada hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana persekitaran yang segar dan nyaman, memberi kesedaran bahawa menghijaukan dan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab semua pihak, serta memupuk minat menanam pokok dan mencintai alam sekitar bagi rakyat Malaysia.

Usaha penanaman pokok ini adalah selaras dengan komitmen Malaysua untuk memastikan bahawa sekurang-kuranya 50% daripada keluasan tanah Negara dilitupi kawasan berhutan seperti yang dinyatakan semasa Persidangan Rio pada tahun 1992.

Golden Penda merupakan pokok teduhan dari jenis Xanthostemon Chrysanthus, berasal dari Australia. Pokok Golden Penda dipilih berdasarkan sistem pengakaran yang baik dan memerlukan kerja penyelenggaraan yang minimum berbanding dengan pokok lain.

Saya difahamkan penanaman pokok Golden Penda, bukan hanya akan ditanam di Taman Semilang akan tetapi di seluruh kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Antara tempat-tempat yang telah dikenalpasti bagi penanaman pokok Golden Penda, adalah kawasan lapang Taman Semilang, kawasan lapang Taman Bertam Perdana, kawasan lapang Taman Pekatra Indah, Klinik Cure & Care 1 Malaysia (Bukit Mertajam), Jalan Permatang Nibong, Hospital Seberang Jaya & sekolah-sekolah yang memenangi Program Anugerah Sekolah Hijau.

Saya difahamkan sebanyak 5,100 batang pokok Golden Penda telah ditaja dan akan ditanam dalam menjayakan program ini. Sebanyak 350 batang pokok akan ditanam di kawasan lapang Taman Semilang, dan bakinya ditanam serentak di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang menyertai Program Penanaman Golden Penda 2018.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Program Penanaman 5,100 Pokok Golden Penda ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadikan Pulau Pinang bersih, hijau, selamat dan sihat. Diharapkan Majlis Perbandaran Seberang Perai memperbanyakkan lagi kawasan-kawasan hijau yang berlatar belakangkan landskap yang menarik dan cantik di Seberang Perai ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai, ahli majlis dan hadirin sekalian yang turut terlibat dalam menjayakan majlis kita pada pagi ini. Sesungguhnya saya amat berharap agar perjuangan menghijaukan bumi kita khususnya negeri Pulau Pinang akan terus berkembang subur demi manfaat generasi kini dan akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang