SESI PENGLIBATAN AWAM LEBUH RAYA PAN ISLAND LINK 1 (PIL 1)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
Sesi Penglibatan Awam Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1), 

20 Sept 2018

Pusat Konvensyen Setia SPICE

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) – YB Yeo Bee Yin

Timbalan Ketua Menteri I – YB Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri II – YB Prof Dr P. Ramasamy s/o Palanisamy

Exco-exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) – Dato’ Dr Haji Ahmad Kamarulnajuib

Adun-adun Negeri yang dilantik

Wakil dari Rakan Pelaksana Projek

Ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Tuan-tuan dan puan-puan

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua dan terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk menghadiri sesi townhall mengenai projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Lebih dari sebulan yang lalu, saya masih ingat saya telah melancarkan Visi Pulau Pinang 2030, sebuah pelan 12 tahun yang menggariskan pembangunan negeri yang pintar, hijau dan mesra keluarga. Untuk mencapai matlamat ini, pihak Kerajaan Negeri sedang menyelaraskan usaha kami untuk melaksanakan langkah-langkah untuk:
a. Meningkatkan kesesuaian untuk dihuni;
b. Mempertingkatkan ekonomi dengan mengukuhkan enjin-enjin ekonomi Negeri;
c. Memperkasakan rakyat; dan
d. Pelaburan di dalam pembangunan alam sekitar untuk memperbaiki kesalinghubungan fizikal dan digital.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (atau PTMP) amat kritikal untuk mencapai objektif-objektif di atas dengan memastikan perancangan pengangkutan yang mampan untuk meringankan kesesakan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang untuk 5 dekad yang akan datang.

Usaha kami untuk membangunkan sebuah pelan induk pengangkutan yang mampan bermula pada 2011, apabila Kerajaan Negeri telah menauliahkan Kajian Halcrow, setelah ditetapkan bahawa peningkatan jumlah trafik di pulau menghalang pertumbuhan dan perlunya penyelesaian jangka panjang. Kajian ini kemudiannya diterima pakai pada tahun 2013, sebagai titik rujukan untuk membimbing strategi pelaksanaan.

Pada tahun 2014, sebuah Permintaan Untuk Cadangan (RFP) telah diadakan untuk meneliti peningkatkan saranan-saranan yang digariskan dalam Kajian Halcrow dan melantik Rakan Pelaksana Projek untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut. Proses ini telah dibuat dengan membenarkan pembida RFP untuk bekerjasama dengan pakar-pakar terkenal antarabangsa dan berkelayakan dalam menjalankan kajian terperinci untuk menyediakan penyelesaian yang lebih baik untuk Negeri. Bukan itu sahaja, selepas pelantikan PDP, sebuah siri sesi penglibatan dengan agensi-agensi Negeri dan Persekutuan telah diadakan untuk mengkaji dan menambahbaik cadangan tersebut.

 Ini kemudiannya menghasilkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, di mana ia telah dikukuhkan oleh kajian yang bukan sahaja mendapatkan kelulusan-kelulusan yang diperlukan seperti EIA, SIA, TIA, Hidraulik dan MTRA, tetapi juga meneliti kebolehlaksanaan (feasibility) dari segi aspek-aspek teknikal dan ekonomi dan selari dengan visi Kerajaan Negeri, seperti berikut:

a. Keperluan untuk perancangan jangka panjang yang menyeluruh dan pencapaian sasaran perkongsian mod pengangkutan 60:40 Kerajaan Negeri;
b. Kebolehbinaan (constructability) dengan kesan sosial yang minima; dan
c. Mengambil kira pertumbuhan ekonomi masa hadapan Pulau Pinang dengan menyarankan satu modal pembiayaan untuk tujuan ini.

Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) adalah sebuah komponen penting dalam PTMP, kerana pembangunan pengangkutan awam sahaja tidak mampu mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang. Untuk meringankan kesesakan lalu lintas, trafik di sepanjang lebuhraya utama yang menghubungi Utara-Selatan di Pulau Pinang – iaitu Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (juga dikenali sebagai LCE) – perlu dikurangkan dengan dialih ke jajaran alternatif. Lebuhraya PIL 1 ini akan berfungsi mengalih trafik serantau dari hab-hab pekerjaan dan kediaman berketumpatan tinggi di Bayan Lepas ke Persiaran Gurney.

Penggunaan Lebuhraya LCE telah pun mencapai peringkat maksima dengan “Level of Service” pada tahap F (Forced Flow). Keadaan ini disebabkan oleh kawasan berbukit-bukau di tengah pulau memaksa kenderaan bergerak ke arah timur di sepanjang jalan-jalan tempatan yang sudah pun sesak (seperti Jalan Tg Tokong, Jalan Paya Terubong, Jalan Tun Dr Awang) ke arah LCE. Jika lebuhraya alternatif yang menghubungkan utara dan selatan pulau tidak dibina, kesesakan lalu lintas akan bertambah teruk.

Setelah PIL 1 dibina, kenderaan-kenderaan dapat menyusur masuk ke lebuhraya ini melalui 5 “interchange” (persimpangan) yang terletak di lokasi yang strategik. Ini membentuk satu Sistem Lingkaran Penyuraian Trafik yang efisien di pulau untuk penyuraian trafik. Bagi mengurangkan impak kepada orang awam, sebahagian daripada Lebuhraya PIL 1 akan dibina melalui bukit-bukau dengan menggunapakai kaedah pembinaan yang selamat.

Apabila Lebuhraya PIL 1 dibuka sepenuhnya kepada kenderaan awam, ia bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan di Lebuhraya LCE, malah perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas perantara juga akan berfungsi dengan lebih cekap tanpa perlu melalui kesesakan trafik.

Tuan-tuan dan puan-puan, objektif sesi townhall hari ini adalah sebagai platform untuk mendapat pandangan orang ramai mengenai cadangan projek PIL 1. Ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap ketulusan, komunikasi terbuka dan juga komitmen untuk mendengar dan memahami keperluan rakyat.

Malah, platform terbuka seperti ini menjadi dasar agenda penglibatan orang awam (public engagement) oleh pihak Kerajaan Negeri dan telah giat dijalankan untuk berkongsi maklumat yang tepat dan sahih kepada pihak berkepentingan (stakeholders) sejak tahun 2016. Sehingga kini, lebih daripada 16,000 orang awam telah terlibat dalam proses ini.

Usaha Kerajaan Negeri tidak akan berhenti di sini. Proses penglibatan bersama orang awam ini akan diteruskan di kawasan-kawasan di mana jajaran PIL 1 akan merentasi. Proses ini akan dijalankan sehingga majoriti rakyat Pulau Pinang memahami manfaat PIL 1 dan langkah-langkah mitigasi dan keselamatan yang akan dilaksanakan dan juga dikuatkuasakan sepertimana termaktub dalam laporan EIA dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

Tuan-tuan dan Puan-puan, sejak pengemukaan Laporan EIA pada 7hb Mei 2018 dan paparan awam bermula pada 11hn Julai 2018, terdapat sesetengah pihak yang telah menyuarakan kebimbangan mereka. Sukacita saya untuk memaklumkan bahawa sesi townhall ini bertujuan untuk memberi maklumbalas dengan “input” dari panel perunding dan pakar-pakar yang berada di sini pada malam ini. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menangani isu-isu ini sebaiknya dengan langkah-langkah mitigasi yang berkesan dan memastikan rakyat disalurkan butir-butir yang sah oleh pihak professional yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam pelaksanaannya.

Dengan itu, saya berharap orang ramai akan mengambil kesempatan daripada sesi townhall ini untuk membangkitkan pertanyaan berkaitan projek PIL 1, lebih-lebih lagi berkenaan hal-hal berkaitan impak kepada alam sekitar dan juga langkah-langkah mitigasi yang akan diambil.

Terima kasih dan saya akhiri dengan ucapan selamat malam.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang