MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2018/2019

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) 
TAHUN 2018/2019 

21 SEPTEMBER 2018 (JUMAAT)
DEWAN MILLENIUM, KEPALA BATAS

YB Dato' IR. Haji Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Prof. Dr. P. Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Tuan Haji Mohd Ali bin Haji Sebran
Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

Puan Marlia binti Mohd Belia
Pegawai Daerah Seberang Perai Utara

Encik Yazman bin Yahya
Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan

Pegawai-pegawai Penyelaras KADUN

Para pelajar

Para ibubapa dan waris

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada jawatankuasa penganjur daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) kerana telah bekerja keras bagi memastikan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Tahun 2018/2019 untuk bahagian Seberang Perai ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan kejayaan anak-anak Pulau Pinang yang telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA, IPTS dan Politeknik terpilih. Bantuan kewangan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada para pelajar yang akan mengikuti pengajian di universiti di Semananjung Malaysia dan RM1,200 pula akan diberikan kepada para pelajar yang mendapat tawaran belajar di universiti di Sabah dan Sarawak.

Sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008, program-program berbentuk bantuan seperti ini tidak pernah gagal dilaksanakan dan statistik jumlah penerima turut menunjukkan trend pertambahan setiap tahun. Kerajaan Negeri sedar meskipun jumlah kewangan yang diberikan tidak seberapa, tetapi Kerajaan Negeri berharap ia dapat digunakan sebaik-baiknya oleh para pelajar ini. Anggaplah ia sebagai salah satu bentuk penghargaan daripada Kerajaan Negeri khusus untuk rakyat Pulau Pinang.

Seramai 1,815 orang pelajar akan menerima bantuan kewangan dengan melibatkan kos sebanyak RM1,518,500. Pada hari ini, 1,263 orang pelajar masing-masing 554 dari SPU, 467 dari SPT dan 242 dari SPS akan menerima bantuan pada hari ini.

Kerajaan Negeri percaya dengan sumber asli yang terhad di negeri ini, kebergantungan kepada sumber manusia perlu dititikberatkan. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri sangat menjaga kebajikan anak-anak negeri ini dengan hasrat dan harapan agar para pelajar ini dapat menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat pengajian kelak.

Baru-baru ini Kerajaan Negeri telah memperkenalkan “Penang2030: A Family Focused Green and Smart State That Inspires Nation”, suatu visi yang bertujuan untuk membawa Pulau Pinang maju setapak lagi ke hadapan dan seterusnya menjadi model dan inspirasi untuk negara dan dunia. Pulau Pinang 2030 ditunjangi dengan 4 tema dan tema-tema ini tidak disenaraikan mengikut keutamaan, kerana kesemuanya mempunyai kepentingannya yang tersendiri.

Tema pertama adalah meningkatkan daya huni sebagai peningkatan kualiti kehidupan (Increase liveability to enhance quality of life) – yang mana isu-isu awam seperti perumahan, keselamatan, kebajikan dan sebagainya akan dititikberatkan. Tema kedua adalah menaiktaraf ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah (Upgrade the economy to raise household income) di mana sektor-sektor utama di negeri ini seperti industri pembuatan, pertanian dan pelancongan akan diberi perhatian sewajarnya agar ekonomi dan pendapatan isi rumah rakyat negeri ini dapat dinaiktaraf. Tema ketiga ialah memperkasa rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat (Empower people to strengthen civic participation). Salah satu inisiatif di bawah tema ketiga ini adalah menyediakan lebih banyak platform agar masyarakat dapat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri untuk peningkatan dan pembangunan sosial. Dan terakhir tema keempat ialah melabur dalam persekitaran infrastruktur dan kemudahan awam bagi meningkatkan daya tahan dalam pelbagai keadaan (Invest in the built environment to improve resilience) di mana teknologi-teknologi pintar dan infrastruktur digital akan digunakan sebaik-baiknya untuk megimbangi pembangunan mampan negeri Pulau Pinang.

Sepanjang sepuluh (10) tahun yang lepas, Pulau Pianng sememangnya telah mempunyai banyak perancangan, strategi dan blueprint bagi tujuan penambahbaikan. Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk meneruskan pelaburan untuk meningkatkan kualiti pembangunan bandar, memelihara persekitaran, menarik bakat-bakat baru seperti anak-anak muda di sini dan seterusnya meningkatkan bidang pengetahuan dan industri kreatif selain keperluan penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti hidup. Kerajaan Negeri merasakan, kebanyakan negeri masih belum dapat keluar dari perangkap pendapatan kelas menengah rendah (middle-income trap) termasuklah negeri Pulau Pinang. Kadar pertumbuhan pekerjaan dan populasi yang masih di tahap sederhana serta halangan dalam bidang pelaburan dan kadar pertumbuhan pendapatan yang perlahan inilah yang menjadi penghalang kepada bakat-bakat baru di negeri ini.

Adalah menjadi harapan saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru ini agar kerjasama yang lebih erat dan baik dapat dijalinkan dengan Kerajaan Pusat yang baharu ini. Inilah masanya untuk kita melihat semula perancangan-perancangan yang tertangguh dan merealisasikannya mengikut kesesuaian semasa. Kita amat yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berkembang dan seterusnya dapat membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik minat bakat-bakat baru dan terbaik selaras dengan revolusi digital IR4.0, meningkatkan pelaburan dalam bidang baharu dan merealisasikan impian untuk keluarga hidup dalam persekitaran yang bersih, hijau dan selamat serta memiliki peluang Pendidikan dan pekerjaan.

Akhir kata, marilah kita semua bersama-sama berusaha dan bekerjasama untuk menggembleng tenaga, menyumbang idea dan bakat demi negeri tercinta ini.

Sekian, terima kasih.