PESTA TANGLUNG 2018 ANJURAN BERSAMA JKKK LEBUH CHULIA DAN NG FOOK THONG CANTONESE DISTRICTS ASSOCIATION

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PESTA TANGLUNG 2018 ANJURAN BERSAMA JKKK LEBUH CHULIA DAN NG FOOK THONG CANTONESE DISTRICTS ASSOCIATION

23 September 2018
407, Lebuh Chulia, Pulau Pinang

Dato Cheah Phee Guan 
Pengerusi JKKK Lebuh Chulia

Encik Leong Keng Fei DJN 
Pengerusi Ng Fook Thong Cantonese Districts Association

Encik Mak Tong Lee 
Pengerusi Pesta Tanglung

Encik Loke Hon Wah
Naib Pengerusi Pesta Tanglung

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepada jawatankuasa penganjur iaitu JKKK Lebuh Chulia dan Ng Fook Thong Cantonese Districts Association kerana sudi menjemput saya sempena Pesta Tanglung pada tahun ini. Ini merupakan tahun ke-4 Pesta Tanglung ini diadakan oleh JKKK Lebuh Chulia.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Pesta Tanglung anjuran JKKK Lebuh Chulia ini telah menjadi seperti acara tahunan di kawasan ini. Ia diadakan bagi memperkenalkan budaya masyarakat Cina kepada pelancong luar negara terutamanya memandangkan kawasan Lebuh Chulia sangat dikenali dan menjadi tumpuan pelancong asing di samping dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara masyarakat setempat.

Saya difahamkan antara jemputan pada petang ini adalah dari St Joseph’s Home, Salvation Army Boys Home, Kawan Drop-in Centre dan The Lighthouse Drop-in Centre.

Tahun ini merupakan tahun pertama JKKK Lebuh Chulia bekerjasama dengan Ng Fook Thong Cantonese Districts Association. Kerjasama tahun ini telah membolehkan Pesta Tanglung ini diadakan pada skala yang lebih besar dengan adanya tarian tradisional Cina Selat iaitu Tarian Nyonya, teka-teki tanglung, serta perarakan tanglung. Dan yang lebih menarik pesta tanglung pada malam ini akan disajikan dengan Tarian Singa, Pancaragam Sekolah Li Tek dan kereta berhias.

Aktiviti-aktiviti ini adalah sejajar dengan perayaan Pesta Tanglung, yang juga dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan. Kuih bulan adalah kuih tradisi orang Cina yang dimakan semasa Perayaan Kuih Bulan dan disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 dalam kalendar Cina iaitu ketika bulan mengambang dan terang.

Akhir kata, saya berharap Pesta Tanglung ini dapat terus dikekalkan diteruskan untuk mengekalkan kebudayaan majmuk rakyat Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.