MAJLIS PERASMIAN PINTU GERBANG PERKAMPUNGAN PERMATANG TINGGI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PINTU GERBANG

24 SEPTEMBER 2018
PERKAMPUNGAN PERMATANG TINGGI

YB Chong Eng
EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender & Agama Selain Agama Islam Negeri Pulau Pinang

YB Steven Sim Chee Keong
Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam

YB Lee Khai Loon
ADUN Machang Bubuk

Dato’ Sr Haji Rozali bin Mohamud
Yang DiPertua, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

Puan Ong Bee Leng
Ketua Pegawai Eksekutif
Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC)

Encik Boo Jak Seak
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Permatang Tinggi

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang sudi menjemput saya bagi merasmikan Pintu Gerbang Perkampungan Permatang Tinggi pada pagi yang mulia ini.

Syabas kepada penduduk di Kampung Permatang Tinggi, Machang Bubuk, kerana telah terlibat secara langsung dalam proses pembuatan keputusan dan bajet di peringkat KADUN Machang Bubuk di bawah projek pembangunan rakyat yang dikenali sebagai ‘Duit Kita Hak Kita’.

Projek ini adalah selari dengan tema ketiga Wawasan Pembangunan Negeri Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai “Penang2030” iaitu memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil; bahkan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-11 iaitu ke arah mewujudkan sebuah bandaraya yang selamat, berdaya saing dan mampan (safe, resilient and sustainable city).

Wawasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan SDG telah diterjemahkan menerusi Projek Perdana Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) di Pulau Pinang yang dimudahcarakan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama pintar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan SUARAM Pulau Pinang.

Kejayaan Projek Bajet Penyertaan Rakyat Machang Bubuk yang julung kali diadakan di Malaysia ini juga disebabkan komitmen oleh 2 orang wakil rakyat di kawasan ini iaitu YB Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan YB Lee Khai Loon, ADUN Machang Bubuk yang masing-masing telah memberikan peruntukan kewangan bernilai RM50,000 menjadikan jumlah keseluruhannya bernilai RM100,000.

Komitmen dan kesungguhan kedua-dua wakil rakyat ini dalam memberikan kuasa kepada rakyat dalam menentukan projek pembangunan mengikut keperluan mereka menerusi bajet yang diperuntukkan telah membuktikan bahawa demokrasi dipupuk dan dibudayakan dengan giatnya di peringkat akar umbi Negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan Projek Perintis Bajet Penyertaan Rakyat di KADUN Machang Bubuk di bawah Parlimen Bukit Mertajam ini cukup membanggakan kerana telah memulakan langkah pertama dalam mengejar cita-cita pemberdayaan masyarakat negeri ini.

Justeru itu, Projek Bejet Penyertaan Rakyat yang julung kali kali diadakan di Pulau Pinang dan Malaysia ini tidak wajar terhenti setakat di Kampung Permatang Tinggi dalam KADUN Machang Bubuk dan Parlimen Bukit Mertajam, tetapi harus direplikasi di kesemua KADUN dalam Negeri Pulau Pinang dan menjadi model kepada 221 Parlimen lain di Malaysia.

Walaupun Projek Perintis yang dilaksanakan di KADUN Machang Bubuk ini berhadapan pelbagai cabaran dan rintangan, saya yakin banyak pengajaran yang telah dikenalpasti oleh pasukan GRPB-PWDC dalam menambahbaik projek dan menyebarluaskannya di seluruh Pulau Pinang.

Tahniah kepada lapan (8) daripada tujuh belas (17) Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung atau JKKK dalam KADUN Machang Bubuk yang telah berjaya membuat bancian penduduk dalam Fasa 1 Projek “Duit Kita, Hak Kita” dan tiga (3) JKKK yang telah berjaya melaksanakan Kumpulan Tumpu Bincang untuk Fasa 2.

Setinggi-tinggi syabas saya tujukan kepada JKKK Perkampungan Permatang Tinggi yang telah memenangi undian dalam Fasa 3 dan berjaya melaksanakan Projek Pelancongan Perkampungan Permatang Tinggi yang telah dirancang dalam Fasa 4.

Saya berasa cukup berbangga dapat berada di sini pada hari ini bagi merasmikan Pintu Gerbang Perkampungan Permatang Tinggi yang bukan sahaja menjadi mercu tanda kepada pembudayaan demokrasi dan pemerkasaan rakyat, tetapi diharapkan dapat menjadi mercu cita-cita penduduk untuk menjadikan Permatang Tinggi sebagai sebuah perkampungan model di seluruh Malaysia yang Bersih, Hijau, Selamat dan Berbudaya.

Malaysia Baru, Pulau Pinang terus memacu.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang