PROGRAM CITY RIDE - 2 MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG PADA HARI AHAD, 03 JANUARI 2015
TEKS UCAPAN Y.A.B. TUAN LIM GUAN ENG PADA PROGRAM CITY RIDE - 2 MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG PADA HARI AHAD, 03 JANUARI 2015 Selamat Pagi dan Salam Sejahtera. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini dan merakamkan ucapan terima kasih ke atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada pagi yang indah ini. Dengan berbesar hati saya ingin mengumumkan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan kerjasama G Club akan melaksanakan satu program berbasikal yang dinamakan City Ride - 2. Program ini merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang selepas pengiktirafan sebagai Majlis Bandaraya. City Ride - 2 adalah bersifat santai dan juga senaman, dan bukannya pertandingan berbasikal. Ia bertujuan menggalakkan pengamalan cara hidup sihat di kalangan rakyat Pulau Pinang, khususnya berkenaan senaman, pemakanan sihat dan semangat berpasukan. Sejak Majlis Bandaraya Pulau Pinang dinaiktarafkan kepada status bandaraya pada 1.1.2015 salah satu sifat penting yang dapat membezakan bandaraya dengan perbandaran adalah lorong basikal khusus. Itulah sebabnya kerajaan negeri menetapkan cabaran untuk membina lorong basikal khusus sepanjang 33 km dari Tanjong Tokong melalui pusat bandar George Town serta menyusuri sebelah pantai timur ke pulau ke Batu Maung dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang berharga RM 30 juta. Ia melibatkan pembinaan sebuah jejantas basikal merentangi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan dua buah jambatan merentangi sungai, kos ini termasuk sumbangan pihak swasta. Sepanjang 12.5 km daripada laluan basikal ini telah disiapkan dan keseluruhan laluan sepanjang 33 km dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2020. Sebaik Pulau Pinang menjadi negeri berbasikal maka ia akan dilihat sebagai bandaraya dengan sendirinya di kaca mata dunia. Marilah kita menuju ke arah Pulau Pinang yang bertaraf antarabangsa dan pintar serta negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Dengan ini saya merasmikan Program City Ride – 2 secara rasminya. Sekian, terima kasih.