SEMPENA PELANCARAN GALERI JUALAN PDC

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

                      SEMPENA PELANCARAN GALERI  JUALAN PDC                    

                                     22 JUN 2014                                       

DI BANDAR CASSIA, BATU KAWAN


Saya sangat bersukacita  berada di sini pada pagi ini untuk merasmikan Galeri Jualan PDC di Bandar Cassia Batu Kawan, yang akan meningkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh PDC kepada orang ramai terutamanya di dalam skim perumahan mampu milik di bandar Batu Kawan yang  moden dan baru ini.

Tuan–tuan dan Puan–puan yang saya hormati sekalian, sejajar dengan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan mampu milik serta berkualiti kepada warga Pulau Pinang, PDC, sebagai agensi Kerajaan Negeri utama yang menyediakan perumahan berkualiti, telah menerajui  pembangunan Skim Perumahan Mampu Milik Bandar Cassia.

Pembangunan ini adalah di antara yang pertama dalam siri skim perumahan mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Seberang Perai dan Pulau ini.

Projek Skim Perumahan Mampu Milik (Projek AHS) ini  yang meliputi  tanah seluas 200 ekar bakal menyediakan 11,800 unit kediaman mampu milik yang berkualiti yang akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun.

Pembangunan ini akan menjadi pembangunan konsep  hijau pertama yang akan menukar lanskap kepada bandar eko Batu Kawan dan menggerakkan rentak pembangunan kediaman pada masa hadapan di Bandar Cassia.

Dengan laluan masuk serta hubungan yang baik  ke lebuhraya utama, jambatan ke Pulau Pinang terutamanya Jambatan Kedua Pulau Pinang serta  lapangan terbang, skim ini akan melengkapkan pembangunan sedia ada di Bandar Cassia, pembangunan  Bandar  eko bersepadu  yang terbesar di Pulau Pinang.

Dengan tujuan untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada warga Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa harga unit adalah sekitar RM72,500 untuk pangsapuri berkeluasan 800 kaki persegi sehingga maksimum RM220,000 untuk unit-unit yang lebih besar; oleh itu; kita menyediakan perumahan  berkualiti yang  mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Fasa satu yang mengandungi 520 unit kediaman akan disiapkan pada awal tahun 2017.

Sejajar dengan pendekatan perancangan holistik PDC ke arah perancangan, kemudahan awam yang sempurna seperti surau, pavilion terbuka, tadika, medan selera, pasar serta kemudahan lain akan disediakan untuk menampung keperluan sosial dan kerohanian serta pembangunan penduduk.

Sukacita saya dimaklumkan bahawa integrasi dan interaksi sosial di dalam projek AHS ini akan dipertingkatkan lagi melalui lorong berbasikal dan  laluan pejalan kaki yang teduh serta penyediaan kawasan awam untuk aktiviti masyarakat di dalam tapak pembangunan ini. Ini merupakan pembangunan pertama di Pulau Pinang yang menyediakan persekitaran hijau  yang lengkap. Semua kemudahan yang disediakan ini ditempatkan berdekatan dengan blok-blok kediaman iaitu lima minit berjalan kaki sahaja.

Tuan-tuan dan Puan-puan, saya berasa sukacita untuk memaklumkan bahawa PDC  melaksanakan projek perumahan mampu milik ini sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporatnya. Direkabentuk oleh Surbana International Consultants yang terkenal dengan pembangunan rumah-rumah Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB), rumah mampu milik di Bandar Cassia tidak boleh ditandingi dari segi mutu, rekabentuk dan konsep.

Ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam mentransformasi Batu Kawan kepada bandar eko dan hab pertumbuhan serta pintu masuk ke tanah besar Pulau Pinang. Skim perumahan mampu milik ini akan mengubah lanskap Batu Kawan selaras dengan transformasi Batu Kawan dengan adanya jenama unggul seperti Temasek, EDIS (Economic Development Innovation of Singapore), IKEA, Penang Designer Village, University of Hull, UK, KDU serta banyak lagi industri-industri besar seperti Haemonetics – peneraju global dalam sistem pengurusan darah. Di samping itu, perancangan sedang dibuat untuk mengadakan resort golf dan taman tema antarabangsa serta kampung pekerja di Bandar Cassia, Batu Kawan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, Galeri Jualan PDC di samping memaparkan 3 unit pameran (show units) akan juga mempamerkan projek-projek perumahan PDC yang lain serta menyediakan maklumat mengenai SME Village yang baru di Batu Kawan.

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk industri terutamanya IKS tempatan, PDC telah merancang pembangunan SME Village seluas 150 ekar di Batu Kawan yang terdiri daripada plot tanah, 298 unit kilang teres dan unit berkembar yang akan dibangunkan dalam lima fasa. Fasa 1 yang terdiri daripada 44 unit kilang yang sedang dibina pada masa ini dan akan siap dibina pada awal tahun 2015 kini dibuka untuk jualan dan 50% daripadanya telah dijual.  Fasa-fasa yang lain masih di peringkat perancangan untuk keperluan dan permintaan masa hadapan.    

Semua ini merupakan  petanda baik untuk transformasi strategik  Bandar Cassia, Batu Kawan kepada bandar eko antarabangsa dan hab masa hadapan.

Dengan perasaan yang optimistik ini, saya dengan sukacitanya, merasmikan Galeri Jualan PDC di Bandar Cassia, Batu Kawan.

Sekian, terima Kasih.

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN IHYA' RAMADAN 1435H

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN IHYA' RAMADAN 1435H

PADA 22 JUN 2014
 
DI MASJID TERAPUNG, TANJUNG BUNGAH

Salam Sejahtera.

Pertamanya, saya bersyukur kepada Tuhan kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat kali ke-6 atau tahun keenam, masih komited untuk meneruskan pemberian sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid-masjid di negeri Pulau Pinang. Keupayaan Kerajaan Negeri memberikan sumbangan ini adalah hasil daripada pengurusan kewangan yang cemerlang berasaskan dasar CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus.  Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi-Pengerusi Masjid, tuan-tuan dan puan-puan yang telah sudi meluangkan masa dan hadir di majlis ini.  

Ahli Yang Berhormat, Dato’-dato’, tuan-tuan, puan-puan muslimin dan muslimat yang dihormati,

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan agenda untuk memajukan umat Islam. Antara agendanya ialah pembangunan insan dan masyarakat melalui penghayatan agama dalam kehidupan seharian.  Sehubungan itu, bagi memastikan usaha-usaha pembangunan ummah dapat direalisasikan dengan jayanya maka pada tahun ini Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada Jabatan-Jabatan yang menguruskan Hal Ehwal Agama Islam seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah yang melibatkan Peruntukan Belanja Mengurus (Tahun 2014) sebanyak RM25.15 juta dan peruntukan pembangunan sebanyak RM17.88 juta (termasuk Masjid Negeri Pulau Pinang RM2.8 juta). Selain, daripada itu, Kerajaan Negeri juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.35 juta untuk program-program rasmi agama, MMK (Agama) dan Bulan-Bulan Al-Quran.  

Pada majlis hari ini, Kerajaan Negeri akan menyampaikan bantuan sumbangan Ramadhan kepada 212 masjid di seluruh Pulau Pinang yang menelan perbelanjaan sebanyak di mana pecahannya adalah seperti berikut : Masjid Negeri (1) sebanyak RM5000, Masjid Daerah (5) sebanyak RM2000 dan Masjid Kariah (206) sebanyak RM1000 -  jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM221,000.00. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri berharap sumbangan kecil ini dapat dimanfaatkan bagi menjalankan agenda pembangunan masyarakat melalui aktiviti pengimaran masjid sepanjang bulan Ramadan.

Seperti yang kita sedia maklum, bulan Ramadan bukan sahaja disambut dan diraikan oleh orang Islam sahaja, tetapi juga oleh orang bukan Islam termasuk juga pelancong-pelancong asing. Ini terbukti apabila kita dapati ramai orang bukan Islam termasuk pelancong asing turut mengunjungi bazar-bazar Ramadan. Secara tidak langsung, bulan Ramadan menjadi lebih meriah dan lebih bermakna buat kita semua. Justeru, saya melihat bahawa bulan Ramadan yang bakal menjelma dan diraikan pada setiap tahun merupakan tunggak penting dalam usaha kita untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di Pulau Pinang ini secara tidak langsung boleh mengurangkan sensitiviti kaum dan agama.

Kita patut bersyukur kerana kita berpeluang untuk bersama-sama merasai nikmat kehidupan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan bahasa. Perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi sebagai satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya kepada satu sama lain.  Kita sepatutnya menjadikan perbezaan yang ada pada kita sebagai satu usaha untuk lebih mengukuhkan perpaduan di antara kita.

Sumbangan Ihya' Ramadan ini juga adalah sebagai melahirkan rasa terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua ahli-ahli jawatankuasa kariah masjid kerana telah berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik dalam memelihara masjid sebagai tempat ibadah dan segala kegiatan umat Islam. Saya menaruh kepercayaan bahawa institusi masjid ini akan terus berkembang selaras dengan kepelbagaian aktiviti pengimarahannya. Ahli Jawatankuasa Qaryah sewajarnya sentiasa mengutamakan semangat kerjasama dan pembangunan Qaryah berbanding kepentingan diri dan fahaman politik. Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan bagi mengimarah dan mengekalkan perpaduan anak qaryah.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat, Dato’-dato, tuan-tuan, puan-puan serta semua ahli jawatankuasa program yang menjayakan program ini.

Sekian, terima kasih.

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2013

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2013

PADA 21 JULAI 2014
DI DEWAN TUNKU, KOMTAR

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola majlis yang berusaha keras dalam memastikan majlis pada hari ini dapat dijalankan dengan jayanya.   

Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyanjung tinggi anak-anak negeri ini yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Di kesempatan ini, saya mengalu-alukan kehadiran 337 orang pelajar SPM tahun 2013 termasuk 10 orang pelajar cemerlang kategori pelajar istimewa (khas) yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lalu untuk menerima sedikit insentif berbentuk kewangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Berbekalkan maklumat dari Lembaga Peperiksaan Malaysia, seramai 27 orang pelajar SPM Pulau Pinang yang mempunyai keputusan cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran akan menerima wang tunai sebanyak RM350 dan sijil.

Saya difahamkan terdapat lebih 1000 orang calon yang memperolehi keputusan A+,A dan A- untuk kesemua mata pelajaran di negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanapun selepas saringan dibuat oleh Lembaga Peperiksaan,  Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan kepada 300 orang pelajar yang terpilih yang memperolehi A dalam semua matapelajaran (kombinasi A+,A dan A-) untuk menerima wang tunai sebanyak RM250 beserta sijil.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menyampaikan insentif kepada 15 orang pelajar terbaik mengikut kaum dan 10 orang pelajar terbaik kategori pelajar istimewa (khas) yang akan menerima wang tunai sebanyak RM300 beserta sijil dan trofi.

Tahniah juga kepada 3 buah sekolah yang telah dipilih untuk menerima anugerah sekolah terbaik atas keputusan cemerlang yang diperolehi tempoh hari. Sekolah akan menerima sijil dan trofi.   

Semoga penghargaan pada hari ini dapat dijadikan pemangkin semangat untuk sama-sama mengekalkan kejayaan di masa hadapan. Sekalung ucapan tahniah dan syabas kepada para ibu bapa dan guru yang telah berusaha sehabis baik dalam melahirkan generasi pelapis demi memacu Malaysia ke puncak kejayaan.

Akhir kata, saya ingin mengingatkan pelajar-pelajar yang  bahawa perjalanan hidup masih jauh. Setiap kejayaan bermula daripada langkah pertama. Jangan lupa khidmat dan usaha daripada guru-guru. Oleh itu, hayatilah setiap detik perjalanan ini dengan semangat yang jitu, penuhkan dada dengan iltizam yang tinggi dan tingkatkan usaha kerana hari esok tidak menjanjikan kejayaan tanpa usaha.

Semoga hari esok menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan kita harap kesemua pelajar cemerlang ini akan terus berjaya dan pulang ke Pulau Pinang untuk mencurahkan bakti

Sekian, terima kasih.