SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN JKKK PENGGAL 2015/2016 NEGERI PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN JKKK PENGGAL 2015/2016 NEGERI PULAU PINANG
10 JANUARI 2015
KOMPLEKS TABUNG HAJI, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran kerana pada pagi ini kita dapat bertemu dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK bagi sesi 2015/2016.

Ucapan terima kasih saya tujukan kepada Jawatankuasa Pemilihan JKKK Peringkat Daerah dan Peringkat Negeri di atas penganjuran majlis pada kali ini. Seterusnya ucapan tahniah dan syabas kepada anda semua selaku Pengerusi, Setiausaha dan ahli JKKK yang telah terpilih untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini.

Keyakinan pelabur memang terserlah bila pelaburan mencatat RM40 billion di antara 2008-2013 iaitu 90% lebih tinggi daripada RM21 billion semasa tempoh 2002-2007. Pada masa yang sama kos perbelanjaan ke luar negeri 90% lebih murah sebanyak RM2.8 juta berbanding dengan RM5.2 juta pada 2002-2007. Ini jelas menunjukkan keupayaan pemerintahan PR yang dapat pelaburan lebih 90% dengan pengurangan perbelanjaan sebanyak 90%!

Kerajaan Negeri juga berharap dengan penubuhan JKKK, yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat setempat. Terkini Bridged Wanita yang ditubuhkan untuk membantu mendaftar ibu tunggal dan ibu emas yang tidak bekerja untuk menerima bantuan dan penghargaan RM100 setahun daripada Kerajaan Negeri. Bridged Wanita juga turut membantu wanita yang berumur 35 tahun ke atas untuk mendapatkan perkhidmatan mamogram percuma serta membantu untuk mendaftar wanita bagi memperolehi pinjaman mikrokredit.

Kesemua program sosial ini dapat dijalankan kerana kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran bersih dan menerusi urustadbir CAT berjaya, dapat mencatat lebihan Belanjawan setiap tahun iaitu lebihan terkumpul sebanyak RM453 juta sejak 2008. Wang lebihan ini tidak disimpan sahaja tetapi digunakan untuk program sosial dan projek kemudahan asas. Lagipun lebihan ini dicapai dengan mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 90% bila pada tempoh masa yang sama hutang kerajaan persekutuan telahpun naik 90%.

Lebihan belanjawan RM453 juta tidak disimpan tetapi digunakan untuk projek pembangunan dan program sosial kebajikan.

Program-program kebajikan lain seperti waris warga emas, anak emas, OKU emas, pelajar emas dan mahasiswa emas yang (menelan perbelanjaan sebanyak RM287 juta sejak 2008) akan diteruskan selagi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat masih berkuasa di Pulau Pinang. Tahun depan sebanyak RM117 juta diperuntukkan. Jumlah yang sebesar ini tak pernah diberikan kepada rakyat dalam sejarah negeri Pulau Pinang. Agenda Ekonomi Saksama untuk membebaskan Pulau Pinang daripada belenggu kemiskinan dengan memastikan semua keluarga memperolehi sekurang-kurangnya RM790 sebulan. Kalau tak cukup, kerajaan negeri akan tambah nilai setiap bulan sehingga cukup genap RM790 sebulan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berjiwa rakyat berteraskan konsep Perkasakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkayakan Rakyat (3P).

Kita berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Parti lawan hanya boleh bohong dan tipu bahawa kerajaan negeri anti Islam dengan mengharamkan perarakan Maulidur Rasul, sungguhpun ia tetap diteruskan. Lesen judi dikeluarkan oleh kerajaan pusat tetapi kerajaan negeri kerap disabitkan dengan kegiatan judi oleh UMNO. Ada pemimpin UMNO yang merupakan kawan kepada pakar ketua judi, malahan sampai beliau menulis surat kepada FBI di USA bagi mengatakan sokongan terhadap sifat atau watak pakar judi ini tetapi UMNO boleh menyerang kita yang bukan kaki judi, pula gunakan duit judi.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang jalankan kerja halal dan perolehi pendapatan yang halal. Dalam pada ini, kerajaan negeri bagi penggal 2015/2016 memperuntukkan kadar elaun bulanan sebanyak RM 650.00 untuk Pengerusi dan RM 550.00 untuk Setiausaha. Malah untuk ahli biasa JKKK, elaun kehadiran telah meningkat RM10 sebulan kepada RM 40, berbanding dengan RM 30 sebelum ini mulai tahun ini. Jumlah yang diperuntukkan untuk JKKK adalah sebanyak RM 12,594,480.00 setahun untuk 291 JKKK di seluruh Pulau Pinang dan 4350 ahli JKKK. Kerajaan negeri harap dengan kenaikan elaun ini akan berikan galakan kepada 4350 ahli JKKK untuk berkerja lebih keras

Kerajaan negeri PR telah buktikan bahawa kita boleh memerintah dan uruskan kerajaan lebih baik berbanding dengan BN, malahan Pulau Pinang sudah menjadi lebih bersih. Marilah kita pastikan pembangunan yang telah maju untuk Pulau Pinang dengan kerja bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan yang bersatu dan komited.

Sekian, terima kasih.

 

UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLIMAJLIS-AHLIMAJLIS MPPP

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLIMAJLIS-AHLIMAJLIS
MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG
PADA 8 JANUARI 2015 DI DEWAN BANDARAN


Selamat pagi dan salam sejahtera,

1. Saya ingin mengingati mangsa-mangsa bencana banjir di Pantai Timur dan juga bersyukur bahawa Pulau Pinang tidak mengalami bencana banjir yang buruk ini. Kita harus bersungguh-sungguh dalam tuga kita demi memastikan ia tidak berulang di sini.

2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Majlis atas perlantikan mereka oleh Pihak Berkuasa Negeri. Sebagai Ahli Majlis, tuan-tuan dan puan-puan akan menghadapi banyak cabaran untuk memberikan perkhidmatan yang baik selaras dengan urustadbir Cekap, Akauntable dan Telus. Urustadbir CAT merupakan satu penghormatan yang mesti ditanggung dengan penuh tanggungjawab oleh setiap orang.

3. Urustadbir CAT telah dilaksanakan pada peringkat pertama mulai penggal pertama kerajaan negeri Pakatan Rakyat sejak 2008 dengan mengamalkan pengurusan berdasarkan Belanjawan ataupun budget-based administration yang melawan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kurang efisien. Salah satu usaha melawan rasuah, kerajaan negeri telah mengesyorkan Hadiah Integriti yang menganugerahkan RM10,000 kepada mana-mana pegawai kerajaan negeri yang membongkarkan amalan rasuah yang boleh menjimatkan wang awam.

4. Saya ingin mencadangkan bahawa Hadiah Integriti RM10,000 ini diperluaskan kepada orang awam yang membongkarkan amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan yang membawa pendakwaan dan hukuman salah di mahkamah. Ini adalah satu cabaran untuk membuktikan pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang di seluruh peringkat adalah bersih dan beramanah. Ini perlu demi menggalakkan orangramai buat laporan tentang kes penyelewengan, khususnya kalau lesen atau permit lewat dikeluarkan. Oleh itu saya harap permohonan lesen dan permit yang memenuhi syarat yang ditetapkan boleh lebih cepat dikeluarkan agar mengikis sebarang pandangan negatif bahawa ia disengajakan untuk tujuan tertentu.

5. Kejayaan urustadbir CAT boleh dilihat dengan prestasi MPPP yang baik yangmencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun sejak 2008. Lebihan Belanjawan adalah sebanyak RM69.92 juta untuk 2011, RM80.09 juta untuk 2012 dan RM47.57 juta untuk 2013. Maka pada penggal kedua mulai 2013, pentadbiran kerajaan negeri telah masuk peringkat kedua – pengurusan berdasarkan hasil – outcome-based budgeting demi memastikan wang yang dibelanjakan memberikan manfaat kepada rakyat. Contohnya perbelanjaan RM1 juta untuk membina tiang bendera paling tinggi di dunia mungkin tidak ada salahlaku tetapi apakah menafaat kepada rakyat untuk tiang bendera RM1 juta ini?

6. Dalam usaha untuk meningkatkan penyediaan kemudahan awam, MPPP akan melaksanakan beberapa projek pembangunan sebanyak RM155.90 juta dengan menggunakan lebihan belanjawan yang dicapai. Pembinaan pasar awam di kawasan Batu Feringgi dan pengambilalihan tanah untuk pembinaan pasar awam di kawasan Teluk Kumbar sedang berjalan selain dariapda program menaiktaraf pasar-pasar awam, kompleks makanan dan tapak penjaja.

7. Perbelanjaan sebenar bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM42.17 juta bagi pengurusan sisa pepejal dan RM39.07 juta untuk pembersihan awam. MPPP telah memperuntukkan sebanyak RM90.8 juta bagi tahun 2014 dan RM92.84 juta bagi tahun 2015 untuk kedua-dua pengurusan kebersihan tersebut. Pada amnya, perkhidmatan pungutan, mengangkut dan pembuangan sampah adalah diswastakan kecuali kerja-kerja pembersihan awam adalah diuruskan secara dalaman oleh kakitangan MPPP yang kini dilaksanakan oleh anggota seramai 755 orang bagi memenuhi hasrat menjaga kebajikan rakyat tempatan. MPPP akan mengisi tenaga pekerja tambahan sebanyak 300 orang anggota pada awal tahun ini. Sungguhpun kos perbelanjaan modal dan operasi dari segi pembersihan awam meningkat, ia adalah satu inisiatif berdasarkan kepada dedikasi rakyat tempatan yang mempunyai kesanggupan untuk melaksanakan cabaran tugas dalam apa jua keadaan demi memulihara kebersihan dan kesihatan persekitaran.
8. Nilai Pembangunan Kasar (GDV) merupakan projek-projek yang diluluskan oleh MPPP berdasarkan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta telah mempunyai Notis Mula Kerja (Borang B), yang mana ia menggambarkan nilai sebenar nilai pembangunan di bahagian Pulau.

9. Pada tahun 2013 COW untuk MPPP adalah 388 kes manakala 2014 COW untuk MPPP adalah 377 kes. Pada tahun 2013, GDV di bahagian Pulau adalah berjumlah RM2,214,545,300.00 hasil daripada pembangunan yang telah diluluskan oleh MPPP dan GDV bagi separuh tahun 2014 yang pertama adalah sebanyak RM1,790,125,900.00 yang mana jumlah ini akan melebihi dan bertambah bagi keseluruhan tahun 2014.

10. Pada masa yang sama, MPPP akan terus melaksanakan program-program penghijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja-kerja landskap, menaiktaraf taman dan kawasan permainan kanak-kanak serta pemasangan lampu hiasan sebanyak RM11.24 juta.

11. Bagi memperkasa pengurusan lalu lintas, MPPP akan meneruskan projek pembinaan dan menaiktaraf jalan, menambahbaik saliran serta menaiktaraf laluan pejalan kaki di sebahagian Jalan Masjid Negeri, Jalan Tanjong Tokong, Jalan Mount Erskine dan Jalan Zoo di mana RM20.9 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

12. MPPP telah berusaha untuk menggalakkan penggunaan basikal yang mesra alam dan untuk tujuan rekreasi. Sebanyak RM2.0 juta telah diperuntukkan untuk Projek Pembinaan Laluan Basikal Green Road Sharing Concept di Tapak Warisan Dunia George Town, Pulau Pinang.

13. MPPP juga turut merancang untuk menaiktaraf lampu jalan awam di seluruh bahagian pulau, Pulau Pinang. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM4.55 juta telah disediakan untuk penyelenggaraan lampu jalan awam di seluruh pulau.

14. Penyelenggaraan jalan, parit, bahu jalan dan laluan pejalan kaki merupakan satu perkhidmatan yang diberikan perhatian yang serius oleh Majlis. Peruntukan sebanyak RM7.61 juta telah disediakan untuk tujuan menurap semula jalan awam, membaiki dan menurap lorong belakang serta RM2.1 juta untuk penyelenggaraan parit serta RM2.77 juta untuk penyelenggaraan bahu jalan dan laluan pejalan kaki.

15. Dalam usaha Kerajaan mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM485,000 kepada Majlis pada tahun 2014 bagi projek-projek inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 NKRA Bandar Selamat - Pemutihan Kawasan Black Spot.

16. Bagi memantau kegiatan jenayah dan masalah trafik, Majlis telah memperuntukan sebanyak 202 buah kamera CCTV yang telah beroperasi. Sebanyak 102 unit kamera CCTV sedang dipasang di kawasan pantai utara dan di Persiaran Karpal Singh. Pemasangan kamera CCTV ini dijangka siap pada bulan April 2015. Pada tahun 2015, peruntukan sebanyak RM2.5 juta akan disediakan oleh Majlis bagi pemasangan 200 unit kamera CCTV tambahan. Dalam masa yang sama, pihak KPKT juga akan membiayai pemasangan 32 unit kamera CCTV.

17. Bandaraya George Town berpotensi menjadi hub pelancongan kebudayaan warisan di rantau ini dan bagi meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa bangga terhadap pencapaian status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Majlis memperuntukan sebanyak RM395,000 bagi terus meningkatkan usaha ini.

18. Program hijau dan taman memperlihatkan enam (6) buah taman kejiranan (neighbourhood park) iaitu Taman Kejiranan Batu Uban, Taman Kejiranan Sungai Ara Mk 12 Bayan Lepas, Taman Kejiranan Lorong Nipah 3 Bayan Lepas, Taman Kejiranan Lintang Pantai Jerejak Sungai Nibong, Taman Kejiranan Taman Pekaka dan Taman Kejiranan Taman Iping Batu Maung dan empat (4) buah taman poket (pocket park) iaitu Taman Jajar Sungai Nibong Kecil, Taman Bukit Gedong, Taman Bayan Indah 3 dan Taman Jalan Choi Balik Pulau dirancang untuk bersenam dan beriadah.

19. Seperti yang kita sedia maklum, Majlis telah akhirnya diiktiraf status Bandaraya yang telahpun ditetapkan pada 1 hb Januari. Ini memenuhi dan mengulangi sejarah ulung George Town sebagai bandaraya pertama yang dianugerakan oleh Ratu England Elizabeth pada 1 Januari 1957.

20. Pengiktirafan yang membanggakan ini akan menjadi penggerak untuk menjanakan transformasi sebagai negeri pintar dan bertaraf antarabangsa berteraskan innovasi, kreativiti dan ilmu pegetahuan. Demi menjayakan usaha ini kita harus memiliki modal insan yang terlatih, teknologi canggih dan toleransi kepada semua idea-dea baru secara bebas dan terbuka. Ketiga-tiga 3Ts "talent, technology and tolerance" memang wujud di Pulau Pinang akan membolehkan Pulau Pinang melepaskan diri daripada perangkap berpendapatan pertengahan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

21. Semua ini bertujuan menjadi Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat. Kita bangga Pulau Pinang telah meninggalkan zaman jahiliah sehingga ada satu ketika digelar sebagai Negeri Darul Sampah oleh mantan Perdana Menteri. Marilah kita berusaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara yang paling bersih, hijau, sihat dan selamat.

Sekian, terima kasih.

 

MAJLIS ANGKAT SUMPAH AHLI MAJLIS 2015 MPSP

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 

TEKS UCAPAN

YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG
MAJLIS ANGKAT SUMPAH AHLI MAJLIS 2015
MAJLIS PERBANDARAN SEBERANG PERAI
7 JANUARI 2015 (RABU), JAM 9:30 PAGI
DI DEWAN KENANGA, MPSP

Selamat pagi dan salam sejahtera.
....................................................................................................................

Terima kasih kerana telah diberi kesempatan berjumpa sekali lagi di dalam Dewan Kenanga, MPSP dalam Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis tahun 2015.

Di pagi yang mulia ini ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Majlis atas perlantikan mereka.

Saya mengharapkan dengan perlantikan ini akan memudahkan pihak Majlis untuk membuat keputusan bersama dengan mengambil kira pandangan wakil masyarakat iaitu Ahli-Ahli Majlis.

Hadirin sekalian,
Saya dimaklumkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mencapai prestasi yang baik sepanjang tahun 2014. Pencapaian yang dicapai adalah :
• MPSP telah dianugerahkan Sijil Bandar Mampan dan diberi hadiah RM 2000.00. Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Arpah Binti Abdul Razak dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JPBD, Tn Hj Zainuddin Ahamad, 11 November 2014

• Menerusi Konvensyen KIK - MPSP telah mendapat tempat kedua bagi kategori Pengurusan dan Kategori Teknikal serta Persembahan Terbaik, 16 Oktober 2014

• MPSP telah mendapat pengiktirafan inisiatif Inovasi 'Mendahului Keluk Pembaharuan Melalui Penyelesaian Teknologi dan Interaksi Sosial' melalui Sistem Pemantauan Pintar (SPP) sebagai finalis (Top 7) dari jumlah dalam Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2014 oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 05 September 2014.

• Anugerah 4 bintang Bagi PBT Star Rating 2013, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Pihak Berkuasa Tempatan 2014 di Hotel Equatorial, Melaka pada 28 April 2014 oleh Y.B. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan - 4 Bintang

• MPSP merupakan Pihak Berkuasa Tempatan yang pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh persijilan ini. Persijilan ISO 50001:2011, ‘Energy and Management System’(EnMS) oleh SIRIM.

• MPSP telah memperolehi persijilan 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) semasa Audit Pematuhan 5S yang diadakan pada 3 Disember 2014 yang lalu setelah berusaha sejak tahun 2004.

• MPSP menerima Anugerah "Best City Award" oleh Europe Business Assembly - Stresa, Italy pada 02 Julai 2014
YBhg Dato’ Yang Dipertua menerima "Best City Manager Award" oleh Europe Business Assembly - Stresa, Italy pada 02 Julai 2014

• Sijil pengiktirafan yang disampaikan oleh Europe Business Assembly - Stresa, Italy 01 - 04 Julai 2014
 Best Holiday Destination
 Best Cities
 Top Medical / Travel / Hospitality Web-site

• MPSP dianugerahkan International Observatory on Participatory Democracy With A Special Mention of the International Jury of the IOPD 8th Year “Best Practice In Citizen Participation” pada 04 Jun 2014 di Canoas, Brazil

Tahniah kepada semua yang terlibat. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YBhg Dato’ Maimunah Mohd Sharif kerana dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa ICLEI di peringkat South East Asia (Regional Executive Committee (RexCom)) dan juga telah berjaya mewakili South East Asia ke Global Executive Committee (GexCom) ICLEI.

Hadirin sekalian,

Perbelanjaan sebenar untuk pembersihan bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM 66.93 juta. Manakala bagi tahun 2014 MPSP telah memperuntukkan sebanyak RM74,121,000 dan RM88,174,797 untuk 2015. Pada 2011 semasa pembersihan diswastakan sepenuhnya kepada syarikat luar, kos pembersihan hanya RM59 juta. Akan tetapi syarikat swasta sering menggunakan pekerja asing dan bukan pekerja tempatan. Demi memastikan wang MPSP digunakan untuk menggaji rakyat Malaysia, maka MPSP telah mengambil alih 100% kerja-kerja pelupusan sampah dan pembersihan am di seluruh Seberang Perai mulai 1 Julai 2014. Sejumlah 2469 pekerja awam diperlukan untuk maksud tersebut. Sungguhpun ini menambahkan kos sebanyak 50% daripada RM59 juta pada 2011 kepada RM88 juta pada tahun ini, ia amat berbaloi kerana boleh menangkis tanggapan salah bahawa rakyat Malaysia malas dan enggan bekerja dalam pekerjaan 3D, Dirty Dangerous and Difficult.

Selain itu, terdapat penambahan peralatan seperti lori kompaktor, tong sampah, lori tipper, road sweeper dan lain-lain. Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana kepada MPSP sebanyak RM 55.6 juta pada tahun 2014 bagi tujuan pembersihan bersepadu demi memenuhi ekspektasi rakyat yang tinggi dan menjaga kualiti perkhidmatan pembersihan oleh Majlis.

Nilai pembangunan Kasar (GDV) merupakan projek-projek yang diluluskan oleh MPSP berdasarkan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta telah mempunyai Notis Mula Kerja (Borang B), yang mana ia menggambarkan nilai sebenar nilai pembangunan di Seberang Perai.

Pada tahun 2013, GDV Seberang Perai adalah berjumlah RM1,669,385,182 hasil daripada 39 projek yang diluluskan dengan 3167 bilangan unit pembangunan dan saya rasa jumlah ini akan bertambah pada tahun 2014.

Justeru semua kakitangan Majlis perlu bekerja dengan lebih cekap dan sistematik kerana ianya akan membantu dalam membangunkan Seberang Perai dengan lebih pesat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi di Seberang Perai.

Di samping itu, jangan kita lupakan sejarah hitam yang menyebabkan MPSP membelanjakan RM230 juta dalam tempoh 7 tahun sebelum 2008, sehingga MPSP jadi bankrap. Mujurlah, kerajaan negeri baru PR dapat menyelamatkan MPSP dengan mencatatkan lebihan pada 2008 dan terus merekodkan lebihan bajet setiap tahun sejak 2008.

Dari segi kawalan banjir, MPSP telah menyediakan RM 8.09 juta untuk tujuan penyelenggaraan rumah pam, parit monsoon, kolam takungan dan juga akan meneruskan projek kawalan banjir dengan peruntukan wang caruman yang dipohon dengan Jawatankuasa Tebatan Banjir Kerajaan Negeri.

Untuk menwujudkan sistem lalulintas yang lebih menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya, peruntukan sebanyak RM 16.61 juta dibelanjakan untuk penyelenggaraan lampu isyarat, tempat letak kereta, pondok bas, pemasangan lampu dan papan tanda lalulintas.

Dalam usaha untuk meningkatkan penyediaan kemudahan awam bagi meningkatkan kualiti kemudahan awam dan infrastruktur, MPSP telah memperuntukan RM 15.12 juta untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan. Disamping itu, sebanyak RM 4.08 juta diperuntukan untuk pengindahan dan kehijauan Seberang Perai. RM 3.01 juta juga disediakan untuk perundangan dan RM 2.33 juta untuk program-program penglibatan komuniti yang lebih kepada program mesra alam.

Para hadirin sekalian,

Saya dimaklumkan bahawa sempena dengan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MPSP bagi tahun 2015 pada pagi ini, MPSP juga mengambil kesempatan ini untuk melancarkan Fokus MPSP 2015 dan kepala surat (Letterhead) MPSP yang baru.

Saya percaya Seberang Perai boleh mencapai taraf antarabangsa dan pintar sekiranya kita berpegang kepada matlamat Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau dan selamat. Asalkan kita terus berusaha menjadi lebih bersih, lebih hijau dan alam sekitar yang selamat, Seberang Perai akan menjadi di antara bandar yang paling livable di Malaysia.

Akhir kata saya ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Ahli Majlis- Ahli Majlis MPSP yang baru dilantik untuk berganding bahu bersama warga MPSP dalam memberikan kerjasama terbaik untuk meningkatkan prestasi MPSP dan memberikan keselesaan kepada penduduk. Tak lupa juga, terima kasih kepada jasa Ahli Majlis-Ahli Majlis terdahulu.

Sekian, terima kasih.