MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM SILATURRAHIM

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM SILATURRAHIM

 

21 JUN 2019

HOTEL EVERGREEN, PERSIARAN GURNEY

 

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff kerana sudi hadir bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Jamuan Makan Malam Silaturrahim pada malam yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga, saya ingin memanjangkan ucapan penghargaan dan terima kasih ini kepada Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) di bawah pentadbiran Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Mohd Yussof bin Latiff yang setiap tahun tidak pernah gagal untuk menganjurkan majlis yang penuh muhibah ini.

Saya sememangnya amat gembira untuk memenuhi jemputan daripada PEMENANG kerana majlisnya sentiasa meriah, ceria dan penuh harmoni. Semestinya, jemputan dan kehadiran wakil-wakil persatuan dan pertubuhan etnik dari setiap kaum di negeri ini dengan pakaian tradisi masing-masing memeriahkan dan menceriakan lagi suasana sambutan hari raya pada malam ini.

Sememangnya kita semua bertubuh dapat tinggal di sebuah negeri dan negara yang cukup unik. Sambutan perayaan sentiasa dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat dan tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja. Ia sentiasa diraikan dan disuburkan dengan semangat perpaduan tanpa mengira kaum, agama, latar belakang ekonomi dan status sosial di mana persamaan sentiasa ditonjolkan dan perbezaan dan kepelbagaian pula sentiasa diraikan. 

Tahniah dan syabas kepada kita semua.

Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan kerana kita percaya keharmonian yang terhasil daripada perpaduan ini merupakan suatu keistimewaan yang boleh menjadi daya tarikan kepada pelabur untuk melabur di negeri dan negara kita. Hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci dan senjata utama dan akan terus menjadi agenda perpaduan yang akan sentiasa dititiberatkan sejajar dengan Visi Penang2030.

Akhir kata, semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini memberi makna yang begitu mendalam kepada kita semua dan menjadi platform terbaik untuk sebuah perhubungan yang lebih kukuh dan bermakna.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN UNTUK SEKOLAH KEBANGSAAN DAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NEGERI PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN UNTUK SEKOLAH KEBANGSAAN DAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NEGERI PULAU PINANG

17 JUN 2019 (ISNIN)

AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dalam melaksanakan segala persiapan dan memastikan bahawa Majlis yang julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Khas Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan, Jabatan Pendidikan Negeri dan semua Pejabat Pendidikan Daerah di Pulau Pinang yang memberi kerjasama untuk mengenalpasti dan membantu menyalurkan peruntukan Kerajaan Negeri kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan yang terpilih.

        Para hadirin sekalian, saya berasa amat bangga kerana mulai tahun ini, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan turut menghulurkan peruntukan tahunan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Sejak 11 tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri di bawah program bantuan pendidikan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM 1.75 juta kepada Sekolah Agama Rakyat, RM 8.5 juta kepada Sekolah Mubaligh / Cina dan sebanyak RM 1.75 juta kepada Sekolah-Sekolah Tamil setiap tahun.

        Sekolah-sekolah tersebut telah memperolehi pelbagai manfaat melalui peruntukan tahunan Kerajaan Negeri. Sekolah-sekolah Cina dan Sekolah Mubaligh yang di antaranya merupakan sekolah bantuan modal telah menggunakan bantuan ini untuk membina bangunan baru dan membaiki serta menaiktaraf struktur dan kemudahan sekolah. Kerajaan Negeri menghargai usaha Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh yang mengurus dan mengawal penyaluran peruntukan kepada sekolah-sekolah tersebut. 

        Kerajaan Negeri Pakatan Harapan turut memberi perhatian khas kepada pendidikan Agama Islam. Peruntukan tahunan sebanyak RM 1.75 juta bagi Sekolah Agama Rakyat adalah disalurkan sehingga ke Maahad Tafiz, Tadika-Tadika Islam dan Sekolah-Sekolah Pondok. Selain peruntukan ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri juga menyalurkan pembayaran ex-gratia, bonus dan sagu hati Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru KAFA serta guru-guru agama, tahfiz, pondok dan tadika Islam (Tadis). Bangunan 3 tingkat Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, Penanti, Permatang Pauh yang disiapkan pada tahun 2016 telah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

        Di sini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada YB. Prof, Dr. P. Ramasamy selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri yang menyelaras penyaluran peruntukan Kerajaan Negeri bagi Sekolah-Sekolah Tamil dan memberi keprihatinan khas kepada pendidikan Tamil di Pulau Pinang.

Mulai tahun ini, Kerajaan Negeri akan memainkan peranannya dan menghulurkan peruntukan yang sewajarnya kepada SK dan SMK juga. Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri berhubung keadaan sekolah-sekolah tersebut di Pulau Pinang dan telah meluluskan peruntukan tahunan sebanyak RM3.0 juta untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah dalam Mesyuarat EXCO pada bulan September 2018.

Saya berasa gembira bahawa sebanyak 170 buah SK dan SMK akan memperolehi manfaat melalui peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM 3.0 juta pada tahun ini. Saya meminta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah agar membantu menyelaras supaya kerja-kerja pembaikian kritikal di sekolah-sekolah ini disiapkan dengan segera. Saya berharap peruntukan Kerajaan Negeri akan membawa kejayaan yang sama kepada semua seperti yang diperolehi oleh Sekolah-Sekolah Agama Rakyat, Cina, Mubaligh dan Tamil. Saya juga menyeru agar wakil-wakil dari Jabatan dan Pejabat-Pejabat Pendidikan serta dari SK dan SMK menjalinkan kerjasama yang erat dengan Kerajaan Negeri. 

        Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap bidang pendidikan demi memperkasakan pembangunan modal insan di Pulau Pinang. Melalui initiatif-initiatif pendidikan, kami sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada pelajar-pelajar dari semua aliran. Kerajaan Negeri telah memulakan sumbangan penghargaan Pelajar Emas, meningkatkan bantuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi ke kadar RM 1,000.00 kepada pelajar IPT Semenanjung dan RM 1,200.00 kepada pelajar IPT di Sabah dan Sarawak, memacukan Pendidikan STEM, mewujudkan biasiswa Penang Future Foundation dan pelbagai inisiatif pendidikan yang lain dalam masa sepuluh tahun yang lalu.

        Pada masa ini, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan harus bersatu tenaga dalam memantapkan sistem pendidikan negara demi mencapai Visi Penang 2030 dan mengharungi cabaran Revolusi Industri 4.0. Selamat maju jaya kepada semua.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KADUN SEBERANG JAYA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN YAB CHOW KON YEOW, KETUA MENTERI PULAU PINANG

PADA MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

KADUN SEBERANG JAYA

16 / 06 / 2019 (AHAD)

Selamat petang dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur Rumah Terbuka Aidilfitri hari ini iaitu ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin kerana sudi menjemput saya ke majlis ini. Selamat datang kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut sama berada pada majlis meraikan Syawal.

Penganjuran rumah terbuka dalam keadaan muhibbah ini ialah keadaan sebenar hubungan harmoni antara kaum bukan saja di negeri ini malah di seluruh Malaysia. Sebagai salah seorang pemimpin dalam era Malaysia Baharu ini, saya berharap hubungan harmoni seperti ini akan terus kekal sampai bila-bila. Tiada yang lebih menguntungkan apabila rakyat negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa dan berlainan agama.

Di samping itu, penganjuran rumah terbuka seperti ini juga merupakan kesempatan terbaik untuk kita melupakan persengketaan dan perselisihan. Pada masa yang sama ianya juga dapat mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi yang berkaitan dan masyarakat setempat.

Hadirin sekalian,

Dalam usaha Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang mencapai visi Penang2030, saya menyeru semua yang berada di sini untuk turut bersama-sama merealisasikan visi tersebut bagi menjadikan negeri kita sebuah negeri yang berorientasi kekeluargaan, hijau dan pintar untuk inspirasi negara agar kita semua dapat membawa negeri ini dan seterusnya negara kita ini ke suatu tahap yang baharu. Usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dari semua pihak. Oleh itu dengan semangat Syawal 1440 Hijrah, saya amat berharap kita semua dapat berganding bahu dan menjadikan impian itu sebagai kenyataan.

Akhir kata, sebelum saya mengakhiri ucapan ini saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin.

Sekian, terima kasih.