PENGGULUNGAN PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI KEEMPAT BELAS

UCAPAN PENGGULUNGAN

YAB KETUA MENTERI

PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN

NEGERI PULAU PINANG

MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA

DEWAN UNDANGAN NEGERI KEEMPAT BELAS

8 NOVEMBER 2019 (JUMAAT)

 
   

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

PENGENALAN

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang yang bertemakan “Penang2030 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama”.
  1. Kesungguhan serta komitmen yang telah dipamerkan dalam sesi perbahasan termasuklah isu-isu yang dibangkitkan telah memperlihatkan keperihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri terhadap keluh-kesah rakyat di kawasan masing-masing. Saya berharap, sikap positif ini akan terus berkekalan supaya tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan seikhlas hati berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) sepertimana yang telah diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PRESTASI PERBELANJAAN MENGURUS KERAJAAN NEGERI BAGI TAHUN 2019

  1. Merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Dua mengenai prestasi perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri sehingga 30 September 2019 yang rendah, adalah semata-mata bertujuan untuk mencapai belanjawan lebihan seperti yang direkodkan saban tahun sejak 2008, adalah kurang tepat. Kerajaan Negeri tidak menafikan sehingga suku ketiga tahun ini, perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri hanya mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak RM404.21 juta daripada belanjawan yang berjumlah RM901.19 juta iaitu sebanyak 44.85 peratus sahaja. Secara idealnya, peratus perbelanjaan sehingga suku tahun ketiga harus mencapai 75 peratus. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk menjelaskan peratus perbelanjaan mengurus yang agak rendah tersebut.
  1. Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Dua, dalam Belanjawan 2019, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM230.00 juta bagi tujuan caruman ke Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Negeri bagi melaksanakan projek-projek pembangunan negeri. Caruman ini dilakukan mengikut keperluan akaun amanah tersebut, mengikut prestasi projek yang dilaksanakan dan tidak semestinya dilakukan secara sekaligus oleh Kerajaan Negeri.
  1. Kerajaan Negeri mengakui bahawa terdapat beberapa projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Rancangan Tebatan Banjir yang mengalami kelewatan jika dibandingkan dengan jadual sebenar projek dan ini menyumbang kepada prestasi perbelanjaan pembangunan tahun 2019 yang masih rendah. Kelewatan ini disebabkan oleh proses pengambilan balik tanah yang terlibat dengan projek-projek RTB ini yang mengambil masa untuk diselesaikan. Anggaran peruntukan pengambilan balik tanah bagi projek RTB untuk tahun 2019 yang masih belum dibelanjakan dianggarkan berjumlah RM38.5 juta.
  1. Namun begitu, bagi kebanyakan projek-projek pembangunan kecil yang lain, proses perolehan telah selesai dilakukan dan dijangka prestasi perbelanjaan pembangunan negeri pada suku keempat tahun 2019 akan terus meningkat. Selain daripada peruntukan bagi caruman pembangunan ini, belanja mengurus Kerajaan Negeri juga masih menunjukkan prestasi perbelanjaan yang rendah kerana masih ada projek dalam kajian semula oleh pihak Kerajaan Negeri. Antaranya ialah Program Penang Sihat yang telah dibajetkan peruntukan pada tahun ini, turut ditangguhkan dengan mengambil kira pertindihan dengan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional mySalam yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.
  1. Dengan mengambil kira perkara ini, pihak Kerajaan Negeri dijangka akan mempunyai penjimatan di dalam belanja mengurus pada tahun ini namun Kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan yang dibajetkan dibelanjakan secara optimum tanpa mengabaikan hasrat dan objektif yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

BELANJAWAN UNTUK MEMPERKASAKAN AGAMA ISLAM

  1. Kerajaan Negeri sentiasa memberi fokus kepada pembangunan agama Islam di negeri ini. Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Tahun 2020, peruntukan bagi memperkasakan agama Islam adalah berjumlah RM60.05 juta dan tidak dinafikan ianya merangkumi belanjawan mengurus berjumlah RM32.46 juta bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan satu lagi jabatan yang baru ditubuhkan iaitu Jabatan Pendakwaan Syariah. Peruntukan berjumlah RM27.59 juta pula adalah bagi tujuan projek pembangunan, bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat, bayaran elaun guru KAFA, bayaran saguhati pegawai masjid dan lain-lain bayaran berkaitan agama Islam.
  1. Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Dua, belanjawan mengurus bagi jabatan-jabatan yang berkaitan agama Islam ini telah meningkat dari RM13.30 juta pada tahun 2008 kepada RM32.46 juta pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM19.16 juta atau 144.06 peratus dalam tempoh 13 tahun. Peningkatan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluaskan dan meningkatkan perkhidmatan berkaitan agama Islam yang ditawarkan oleh jabatan-jabatan ini serta belanjawan mengurus tersebut wajar diambilkira sebagai sebahagian belanjawan untuk memperkasakan agama Islam di Negeri Pulau Pinang.

 

CADANGAN AGAR DIWUJUDKAN SUMBER HASIL BAHARU  

  1. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari sumber hasil yang baharu untuk meningkatkan kutipan hasil negeri. Di antara beberapa langkah bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:
  1. Pelaksanaan Cukai Bagi Petak Atau Blok Sementara

Pelaksanaan Cukai Petak telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 di Negeri Pulau Pinang. Sebelum pelaksanaan ini, Pihak Perbadanan Pengurusan bertanggungjawab untuk menjelaskan bayaran cukai petak bagi bangunan berstrata, berdasarkan keluasan tanah induk (motherlot). Tetapi, selepas pelaksanaan cukai petak ini, setiap pemilik petak perlu menjelaskan bayaran cukai petak kepada Pentadbir Tanah, berdasarkan keluasan petak dan petak aksesori masing-masing. Anggaran kutipan selepas pelaksanaan cukai petak adalah sebanyak RM11,129,425.00, berbanding kutipan cukai tanah (motherlot) yang berjumlah RM5,311,790.00. Pelaksanaan cukai petak ini dijangka meningkatkan hasil Kerajaan Negeri sebanyak dua kali ganda.

 

  1. Pengkelasan Tanah Desa Kepada Tanah Bandar

 

Pembangunan pesat yang berlaku telah mengubah beberapa kawasan desa seperti Bandar Bertam dan Batu Kawan menjadi maju dan berkembang setaraf dengan bandar. Bandar-bandar sedia ada seperti dinyatakan dalam Kaedah 14, Peraturan Tanah Negeri telah diwartakan pada tahun 1966 iaitu 53 tahun yang lalu. Justeru itu, pasukan Task Force di setiap Pejabat Daerah dan Tanah telah diwujudkan bagi mengkelaskan semula tanah-tanah desa yang telah dibangunkan menjadi bandar di seluruh Negeri Pulau Pinang dan meminda cukai-cukai tanah desa kepada cukai tanah bandar. Pembentangan awal berkenaan cadangan sempadan bandar-bandar sedia ada dan bandar-bandar baharu telah dilaksanakan oleh Pentadbir-Pentadbir Tanah pada 14 Oktober 2019. Hasil Kerajaan Negeri melalui kutipan cukai tanah dijangka akan bertambah sekiranya dikenakan pada kadar tanah bandar kelak dengan anggaran kasar berjumlah RM52.0 juta bagi 170,000 lot yang terlibat.

iii.      Task Force Interim Register (IR)

Status Task Force Tukar Ganti Hak Milik Interim Register (IR) kepada hakmilik di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 setakat ini masih dalam peringkat pewujudan Standard Operating Procedure (SOP) tukar ganti. Anggaran jangka masa untuk menyiapkan sepenuhnya proses tukar ganti hak milik IR adalah di antara tiga (3) hingga lima (5) tahun mengikut kerumitan isu/ masalah kategori IR tersebut. Apabila siap sepenuhnya proses tukar ganti hak milik IR, Kerajaan Negeri akan mendapat hasil dalam bentuk kemaskini cukai tanah dan pengembalian tanah kepada pihak kerajaan, bagi tanah selain daripada tanah berimilik. Walau bagaimanapun, hasil yang akan dapat dijana oleh Kerajaan Negeri masih belum dapat dianggarkan, memandangkan task force ini masih di peringkat awal penyediaan SOP tukar ganti.

  1. Penguatkuasaan Kutipan Tunggakan Hasil

Selain daripada inisiatif baharu yang dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri juga sentiasa meneruskan usaha untuk meningkatkan kutipan tunggakan hasil seperti yang telah dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini. Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyelesaikan isu tunggakan hasil dengan mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terutamanya bagi tunggakan cukai tanah dan sewaan rancangan perumahan awam. Namun, dalam melaksanakan penguatkuasaan ini, Kerajaan Negeri juga prihatin dengan keadaan ekonomi yang lembab dan membenarkan bayaran ansuran kepada pemilik cukai tanah dan penyewa perumahan awam yang tertunggak.

PENGURANGAN PERUNTUKAN PEMBANGUNAN KERAJAAN NEGERI BAGI TAHUN 2020

  1. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan pembangunan bagi tahun 2020 berjumlah RM269.34 juta berbanding RM306.38 juta pada tahun 2019 iaitu pengurangan berjumlah RM37.04 juta atau 12 peratus. Untuk makluman Yang Berhormat Permatang Pasir, bajet pembangunan untuk projek-projek pembangunan ini dirancang dan disemak dengan teliti dengan mengambil kira kepentingannya serta impak kepada masyarakat. Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat Negeri Pulau Pinang dengan mengurangkan jumlah projek-projek pembangunan di negeri ini.
  1. Seperti yang kita sedia maklum, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kini sudah ditadbir oleh kerajaan yang sama dan ini memberi sedikit kelebihan kepada Kerajaan Negeri, di mana beberapa peruntukan yang kurang diterima sebelum ini daripada Kerajaan Persekutuan telah mula disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri. Antara peruntukan tambahan yang disalurkan adalah bagi penyelenggaraan jalan-jalan negeri, pembaikan dewan-dewan di bawah selenggaraan Pejabat Daerah, pembaikan rumah rakyat termiskin dan lain-lain. Contohnya, peruntukan untuk penyelenggaraan jalan-jalan negeri yang diterima oleh Kerajaan Negeri di bawah MARRIS bagi keseluruhan tahun 2018 adalah berjumlah RM114.10 juta tetapi setakat 31 Oktober 2019 ini sahaja, Kerajaan Negeri telah menerima RM147.04 juta bagi tujuan sama. Kerajaan Negeri amat menghargai peruntukan-peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan ini dan berharap ianya akan berterusan malahan meningkat lagi pada masa akan datang. Dengan mengambil kira terimaan Kerajaan Persekutuan ini, maka Kerajaan Negeri telah memperuntukkan belanjawan bagi projek-projek pembangunan negeri dengan teliti agar tidak berlaku pertindihan sumber peruntukan ke atas projek yang sama.
  1. Selain itu, peruntukan pembangunan yang dibajetkan di bawah kebanyakan jabatan adalah hampir sama atau meningkat berbanding tahun 2019 kecuali penurunan peruntukan di bawah Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (P01) dan Jabatan Kewangan Negeri (P16). Pengurangan peruntukan di bawah jabatan ini adalah mengambil kira beberapa projek khas negeri dengan kos yang tinggi telahpun dilaksanakan pada tahun 2019 dan tiada keperluan untuk dibajetkan semula pada tahun 2020. Oleh yang demikian, penjelasan ini diharap dapat menjawab persoalan Yang Berhormat Permatang Pasir berkaitan peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri tahun 2020 yang kurang berbanding tahun 2019.
  1. Untuk makluman Yang Berhormat, walaupun prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan tahun 2018 adalah berjumlah 69.23 peratus tetapi Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan 99.40 peratus daripada projek yang dirancang iaitu 94.68 peratus projek siap dan 4.72 peratus projek dalam pelaksanaan. Pencapaian peratus pelaksanaan projek yang tinggi tetapi dengan peratus perbelanjaan yang rendah ini dapat dicapai dengan mengambil kira kaedah perolehan secara tender terbuka dan telus serta selaras dengan dasar Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri.

 

PENGHENTIAN BAYARAN PROGRAM PELAJAR EMAS

  1. Kajian semula pemberian di bawah program i-Sejahtera telah dimaklumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 sebelum ini, di mana Kerajaan Negeri akan mengkaji semula program-program i-Sejahtera untuk memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang benar-benar memerlukan dan tidak berlaku pertindihan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi kumpulan sasar sama. Berdasarkan kajian yang dilakukan, Kerajaan Negeri mendapati bayaran Program Pelajar Emas adalah bertindih dengan bantuan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan iaitu Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk tidak meneruskan bayaran bagi Program Pelajar Emas di bawah Program i-Sejahtera bagi tahun 2019 dengan mengambilkira golongan sasar ini telahpun menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, perkara ini akan dikaji oleh Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa untuk memastikan kebajikan pelajar-pelajar sekolah di Negeri Pulau Pinang sentiasa terpelihara.

SITUASI EKONOMI

  1. Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi global akan terus perlahan dan akan berkembang 2.8% pada 2021 berbanding 2.6% pada 2019. Pada tahun 2018, KDNK Pulau Pinang berkembang 5.1% (2017: 5.1%), menunjukkan perkembangan ekonomi yang konsisten dan sihat. Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang ekonominya terbuka, dipacu oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan, akan menerima impak daripada perkembangan ekonomi global.
  1. Negeri Pulau Pinang menjadi antara negeri penyumbang tertinggi kepada ekonomi negara. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang telah menerima pelaburan berjumlah RM9.2 bilion dengan peluang pekerjaan baru mencecah sehingga 11,484 kekosongan. Industri elektrik dan elektronik (E&E) terus kekal sebagai penyumbang pelaburan tertinggi untuk negeri ini.
  1. Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi yang dipertanggungjawab seperti Invest Penang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan MIDA telah memainkan peranan penting dalam usaha menarik pelaburan strategik yang berpotensi. Pada ketika ini, terdapat beberapa pelaburan strategik yang kini sedang dalam proses perbincangan, dan sekiranya menjadi kenyataan, pelaburan ini mampu memberi impak yang besar kepada ekonomi negeri serta bermanfaat kepada rakyat dan syarikat-syarikat tempatan dari aspek pendapatan dan perkongsian teknologi. 
  1. Selain daripada usaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi dari syarikat asing yang besar, Kerajaan Negeri juga menggalakkan usaha sama (joint venture) di antara syarikat asing yang besar dengan syarikat small and medium enterprise (SME) tempatan.
  1. Memandangkan pelaburan yang diumumkan biasanya akan mengambil masa 1 hingga 3 tahun untuk mencapai perkembangan sepenuhnya, bergantung kepada skala dan kerumitan, kesan pelaburan strategik ini tidak akan dapat dilihat dengan serta-merta dalam aktiviti ekonomi tempatan.
  1. Dalam jangka masa pendek, perang dagangan di antara negara Amerika dengan China akan membawa impak kepada eksport Pulau Pinang. Mulai bulan Januari hingga bulan September 2019, kadar eksport negeri telah berkembang dengan perlahan iaitu pada kadar 0.1% sahaja, namun masih dikira baik berbanding kadar eksport Malaysia yang menguncup sebanyak 1.1% dalam tempoh yang sama.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

  1. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) Rolling Plan Keempat Tahun 2020, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah meluluskan 152 projek dengan peruntukan berjumlah RM614.428 juta kepada Negeri Pulau Pinang. Antara projek-projek baharu yang diluluskan untuk pelaksanaan pada tahun 2020 adalah:
  1. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Dua Besar, Daerah Timur Laut;
  2. Pembinaan Blok Tambahan Pejabat Imigresen Seberang Jaya (Perolehan Tanah);
  • Naik Taraf dan Baik Pulih Depot Imigresen George Town;
  1. Pembinaan Jambatan di Sungai Kerian dan Jejambat Merentasi Persimpangan Universiti Sains Malaysia (J5);
  2. Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas;
  3. Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan; dan
  • Pembinaan Jalan Menghubungkan Jalan Bukit Panchor Ke Laluan Persekutuan 1, Seberang Perai Selatan.
  1. Bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), dokumen-dokumen berkaitan permohonan masih lagi disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada suku kedua tahun 2020. Bagi permohonan projek-projek baharu untuk Negeri Pulau Pinang di bawah RMKe-12 pula, Kerajaan Negeri dalam tindakan pengumpulan input-input dan senarai projek dari semua jabatan negeri dan juga persekutuan. Senarai projek akan dikemukakan kepada kementerian yang berkenaan dan juga kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi apabila permohonan RMKe-12 dibuka kelak.
  1. Buat masa ini, antara projek yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri untuk diangkat kepada Kerajaan Persekutuan seperti mana yang dibentangkan semasa roadshow RMKe-12 kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi adalah:
  1. Projek Urban Regeneration (Pembaharuan Semula Perumahan Awam);
  2. Pembinaan Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Transit Belia;
  • Penang Care Center (Pusat Jagaan Kanak-Kanak);
  1. Naiktaraf Kompleks-kompleks Sukan;
  2. Projek Pembinaan Laluan Khas Basikal (Dedicated Bicycle Lane);
  3. Galeri Arkeologi Guar Kepah;
  • Projek Eyes On The Street (CCTV);
  • Waste To Energy Project;
  1. Pembaikan Tanah Runtuh di Taman Rimba Bukit Mertajam;
  2. Projek-Projek Tebatan Banjir; dan
  3. Projek Light Rail Transit (LRT) Komtar Ke Bayan Lepas.

HAL EHWAL TANAH & PEMBANGUNAN TANAH

  1. Setakat bulan Oktober 2019, PDC mempunyai tanah industri seluas lebih kurang 752 ekar iaitu di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP), Penang Science Park, Penang Science Park North dan Penang Science Park South. Bagi menampung permintaan tanah industri daripada pelabur tempatan dan asing, PDC dalam perancangan untuk membangunkan kawasan industri seluas lebih kurang 776 ekar di Daerah Seberang Perai Selatan iaitu berdekatan kawasan BKIP. Melalui tren penjualan tanah industri bagi tahun-tahun sebelum ini, dijangka tanah perindustrian PDC yang sedia ada adalah mencukupi bagi memenuhi permintaan pelabur untuk tempoh lima (5) tahun yang akan datang.
  1. Selain itu, PDC kini dalam proses untuk menyediakan garis panduan bagi pembelian balik tanah industri yang telah dijual tetapi tidak dibangunkan yang berkeluasan lebih daripada 10 ekar. Langkah ini adalah untuk memenuhi permintaan pelabur yang berhasrat untuk memulakan pembinaan dan menjalankan perniagaan dengan kadar segera di samping menghindarkan spekulasi tanah yang akan menjejaskan imej Kerajaan Negeri umunya dan PDC khasnya sebagai pemaju taman perindustrian utama di Pulau Pinang.
  1. Perancangan pembangunan tanah Kerajaan Negeri pada masa ini dilaksanakan melalui dua peringkat iaitu di peringkat pentadbiran tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di peringkat pentadbiran tanah, Pihak Berkuasa Negeri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala urusan mengenai penggunaan tanah, termasuk ubah syarat, pecah sempadan, penyatuan tanah dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan tanah. Manakala di peringkat Kerajaan Tempatan, PBT bertanggungjawab mengawal pembangunan di dalam kawasan perancangannya dari aspek teknikal seperti susun atur, reka bentuk bangunan, sistem laluan dan penyediaan kemudahan awam.
  1. Perancangan pembangunan tanah yang dijalankan haruslah selari dengan dasar rancangan struktur dan cadangan rancangan tempatan yang mana perkara ini adalah bersandarkan undang-undang yang sedia ada. Pada masa ini, Pulau Pinang telah mewartakan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 dan di peringkat Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai terdapat Deraf Rancangan Tempatan bagi mengawal pembangunan kawasan di bawah kawalan kedua-dua PBT tersebut. Secara umumnya, pembangunan tanah Kerajaan Negeri di Pulau Pinang boleh dibahagikan kepada 3 kelompok utama seperti berikut:
  1. Tanah-tanah kerajaan yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan secara khusus dan diberimilik kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Kebanyakan tanah yang diberimilik kepada PDC adalah tanah pengambilan balik. Tapak ini kemudiannya diberimilik kepada PDC dengan dikenakan bayaran premium nominal dan bayaran khas. Pelupusan tanah kepada PDC adalah bagi 2 tujuan iaitu pertamanya bagi maksud perindustrian dan merupakan tujuan yang paling utama, manakala keduanya adalah bagi tujuan perumahan dan perniagaan. Pemberimilikan tanah kerajaan kepada PDC ini dilaksanakan apabila PDC mengambil inisiatif dengan menilai prospek tanah Kerajaan Negeri yang berkaitan berdasarkan nilaian tanah semasa dan potensi pembangunan yang terdapat pada hartanah terlibat. Usaha dalam mengenalpasti tanah-tanah terbiar/ kosong yang tidak dibangunkan, rundown dan tidak kompetitif dijalankan bersama pihak Pentadbir Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan. Melalui kaedah di atas, kajian terperinci akan dilaksanakan dalam memastikan projek yang dicadangkan mampu memberi impak positif kepada kerajaan negeri.

  1. Tanah-tanah kerajaan mana tidak memiliki perancangan khusus untuk dibangunkan. Perancangan pembangunan bagi tanah dalam kelompok ini dilaksanakan melalui 2 kaedah iaitu:
  1. Pertamanya melalui pemberimilikan kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI). CMI secara kebiasaannya akan berkolaborasi dengan pihak swasta yang berminat untuk membangunkan tanah yang dikenal pasti agar pulangan hasil yang optimum dapat diperolehi Kerajaan Negeri bagi tanah tersebut. Tanah yang dimiliki oleh CMI ini digunakan bagi tujuan kediaman, tempat letak kenderaan, tapak menara telekomunikasi, taman awam dan perniagaan.
  1. Keduanya melalui permohonan daripada pelabur-pelabur yang berminat. Ini adalah kaedah yang sering diamalkan yang mana pihak pelabur akan mengenal pasti lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian untuk dibangunkan dan seterusnya memohon untuk pemberimilikan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Kerajaan Negeri akan mendapat pulangan melalui bayaran premium dan cukai tanah yang dikenakan.
  • Tanah kerajaan yang diperolehi melalui perampasan iaitu pelucuthakan disebabkan kegagalan membayar cukai tanah atau pelanggaran mana-mana syarat yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Tanah kerajaan dalam kumpulan ini akan dilupuskan apabila terdapat pemohonan daripada mana-mana pihak yang berminat untuk memilikinya. Namun, keutamaan pemberimilikan akan diberikan kepada tuan punya tanah yang terdahulu sekiranya terdapat permohonan.

  1. Berkaitan inisiatif dan dasar yang telah dibuat bagi pembangunan tanah kerajaan di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri antaranya telah mewujudkan:
  1. Polisi berkaitan penempatan setinggan yang mana tumpuan Kerajaan Negeri dalam perkara ini melibatkan golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki rumah kediaman disebabkan faktor harga rumah yang mahal. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan Negeri membantu golongan sasar ini dengan menawarkan tanah kerajaan untuk dilupuskan melalui Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sama ada bagi tujuan kediaman atau perniagaan. Langkah ini diambil memandangkan kos yang perlu ditanggung oleh rakyat yang terlibat adalah rendah berbanding sekiranya tanah diberimilik. Selain menguntungkan golongan sasar yang terlibat, ianya juga memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri disebabkan tanah kerajaan yang ada digunakan secara ekonomik dan mampu menjana hasil pulangan kepada Kerajaan Negeri melalui pembayaran yang dibuat oleh rakyat yang terlibat berbanding sekiranya tanah kerajaan tersebut tidak diusahakan.
  1. Keutamaan kepada pemegang-pemegang LPS yang lama bagi tujuan kediaman yang mana mereka diberi disarankan untuk memohon pemberimilikan tanah kerajaan yang diduduki dengan harga yang berpatutan.
  1. Berhubung projek Pembangunan Coastal Resort & Spa, saya telah pun menjawabnya ketika sidang media yang diadakan pada hari Isnin yang lalu. Di sini, saya ingin mengulangi bahawa pengiklanan bagi Request for Proposal (RFP) for the Development of Coastal Resort & Spa bukanlah sesuatu perkara yang baru dan mengejutkan, tetapi ia membuktikan Kerajaan Negeri melaksanakan sistem pentadbiran CAT sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan.
  1. Berhubung permohonan Yang Berhormat Bayan Lepas pula untuk menukar tanah seluas 105 ekar di Balik Pulau untuk projek perumahan yang berskala besar, Kerajaan Negeri merasakan cadangan pembangunan untuk projek perumahan ini adalah terkeluar dari tujuan asal pengambilan tanah tersebut iaitu untuk hub pendidikan.
  1. Kerajaan Negeri mengambil maklum permintaan perumahan rakyat di negeri ini. Walau bagaimananpun, perancangan yang holistik perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pembangunan perumahan dilaksanakan terutama melibatkan jaringan pengangkutan awam agar pembangunan seimbang dapat dilaksanakan selaras dengan Inisiatif Strategik D1 dalam Visi Penang2030.
  1. Memandangkan masih terdapat prosiding mahkamah, perancangan awal Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan ini di Lot 10317, Mukim 6, Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau, Daerah Barat Daya (DBD) sebagai hub pendidikan masih tidak dapat dilaksanakan.

Dato’ Yang Dipertua,

PENGANGKUTAN

  1. Kerajaan Negeri mengambil maklum akan keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat terhadap pelbagai isu di bawah portfolio pengangkutan yang meliputi pelbagai projek mega seperti Pelan Induk Pengangkutan (PIP), Projek Tambakan Penang South Reclamation (PSR), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), perkhidmatan water taxi dan perkhidmatan pengangkutan awam bas percuma CAT.

PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG (PIP)

 

PIL 1

  1. Berkenaan persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penaga, didapati pihak pembangkang sedang mengkitar semula soalan-soalan lama mungkin disebabkan tiada isu-isu baru untuk dibangkitkan. Soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu selama beberapa tahun ini kini diulangi lagi dan Kerajaan Negeri sudah pun memberikan jawapan melalui pelbagai sesi sidang media dan kenyataan akhbar sebelum ini. Walau bagaimanapun, saya akan sekali lagi menjawab isu-isu ini.
  1. Pembinaan PIL1 akan dibuat melalui tender terbuka agar Kerajaan Negeri mendapat tawaran dan nilai yang terbaik bagi projek tersebut. PIL1 yang panjangnya 19.5km tidak boleh dibandingkan dengan lebuhraya lain kerana ia mempunyai ciri-ciri yang tidak ada pada projek lebuhraya lain. Rekabentuk PIL1 secara at-grade telah diminimakan dan rekabentuk bertingkat dan terowong telah diperkenalkan untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar. Daripada keseluruhan panjang PIL1 sejauh 19.5km, 10.1km panjang atau 52% adalah terowong manakala 7.6km atau 39% adalah bertingkat dengan ketinggian 31 meter untuk meminimakan pemotongan bukit dan hanya 1.8km atau 9% adalah embankment. Bilangan dan saiz terowong-terowong ini adalah 3 kali lebih besar daripada landasan kereta api seperti projek Laluan Rel Pantai Timur. PIL1 juga mempunyai jambatan kabel penahan sepanjang 250m dengan ketinggian 31m, bertujuan untuk meminimakan impak sosial dan alam sekitar serta jejambat di kawasan-kawasan bukit dan bandar yang didiami penduduk. Perlu difahami juga bahawa skop kerja dan kepakaran teknikal ini tidak boleh dibandingkan dengan projek-projek lain malah kaedah tender terbuka akan digunakan untuk memastikan projek PIL1 dilaksanakan dengan nilai yang terbaik.
  1. Dakwaan berkenaan PIL1 hanya boleh mereda kesesakan jalan raya untuk 7 hingga 10 tahun selepas projek tersebut siap sepenuhnya adalah tidak benar. Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci yang telah diluluskan tidak mempunyai data mengenai hal ini. PIL1 dilihat akan menjadi pelengkap kepada semua komponen lain di dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), seperti LRT, projek 3 jalan utama, monorail dan trem untuk menyediakan infrastruktur pengangkutan yang menyeluruh bagi Pulau Pinang.
  1. Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa projek lebuhraya ini sangat diperlukan pada masa hadapan bagi mengalihkan dan mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Ee dan Jalan Masjid Negeri, Pengkalan Weld, Jalan Jelutong dan Jalan Sultan Azlan Shah.
  1. Kerajaan Negeri percaya pembinaan lebuhraya masih perlu dilaksanakan meskipun terdapat perancangan pelaksanaan LRT kerana peralihan daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sahaja tidak berupaya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Malah perubahan ini tidak boleh dijangka akan berubah dalam tempoh masa yang pendek.
  1. Ini adalah kerana pertambahan kenderaan persendirian tidak dapat dielakkan sepenuhnya walaupun kualiti perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkatkan dan penambahan bilangan penduduk serta pembangunan baru akan memerlukan perhubungan jalan-jalan baru dengan jalan-jalan yang sedia ada. Oleh yang demikian, jalan-jalan masih perlu dibina atau dinaiktaraf untuk menampung peningkatan dalam aktiviti perniagaan, perkhidmatan serta pekerjaan.
  1. Kita tidak boleh mengasingkan satu komponen PTMP daripada komponen yang lain dan mendakwa komponen itu akan gagal. PTMP secara keseluruhannya adalah satu pelan jangka masa panjang. Setiap komponen akan melengkapi satu sama lain untuk membentuk satu infrastruktur pengangkutan yang menghubungkan semua kawasan penting di Pulau Pinang, termasuk Seberang Prai. Pelan induk ini akan dilaksanakan dalam beberapa fasa.

LRT

  1. Infrastruktur pengangkutan adalah perkhidmatan awam yang tidak bermotifkan keuntungan. Hampir kesemua sistem pengangkutan rel bandar di dunia adalah perkhidmatan awam yang disubsidi oleh pihak kerajaan. Sistem LRT ini akan diwujudkan dalam satu pelan pembangunan yang berorientasikan pengangkutan untuk memastikan hasil kutipannya boleh menampung kos operasi, selain dari penjualan tiket.
  1. Unjuran penumpang LRT Bayan Lepas sebanyak 42 juta adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencapai nisbah modal (mode share) 40:60, bagi penggunaan pengangkutan awam dan penggunaan kenderaan persendirian menjelang tahun 2030. Matlamat ini akan tercapai sekiranya langkah-langkah sewajarnya diperkenalkan semasa operasi dalam menggalakkan pengunaan pengangkutan awam.
  1. Berkenaan dengan unjuran di bawah senario nisbah modal awal sebanyak 10% dan meningkat secara progresif kepada 40% di jangka masa panjang, untuk tahun 2027; unjuran penumpang tahunan adalah sebanyak 7 juta dengan pendapatan sebanyak RM20 juta dan untuk tahun 2032; unjuran penumpang tahunan adalah sebanyak 16 juta dengan pendapatan sebanyak RM50 juta. Berdasarkan unjuran terkini bagi kos operasi & penyelenggaraan (O&M), pada tahun 2027; kos adalah sebanyak RM32 juta dan pada tahun 2032; kos adalah sebanyak RM40 juta. Defisit pada tahun pertama operasi dianggarkan sebanyak RM11 juta dan dijangka akan menghasilkan lebihan (surplus) daripada tahun ke-5 operasi dan seterusnya.
  1. Pengangkutan awam termasuk perkhidmatan kereta api adalah perkhidmatan awam, di mana capital expenditure harus ditanggung oleh kerajaan. Pelaksanaan pengangkutan awam yang lestari seperti yang terdapat di bandar-bandar maju yang ada faktor tolak dan tarikan (pull and push factors) yang perlu dilaksanakan, termasuk harga kenderaan persendirian dan perhubungan first and last mile. Satu contoh ialah sistem London’s Tube, yang masih digunakan walaupun sudah 150 tahun dan masih dibiayai oleh kerajaan tersebut. 
  1. Model transit yang berjaya seperti di Singapura bergantung kepada sokongan kerajaan untuk menyelenggara dan menaik taraf aset pengangkutan awam. Begitu juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada mulanya akan menanggung perbelanjaan operasi defisit bagi jajaran LRT ini.
  1. Kerajaan Negeri juga akan mengkaji dan meneliti model operasi pengangkutan awam yang lestari dan model pembiayaan yang sesuai bagi perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX) untuk memastikan perkhidmatan LRT dapat menyediakan servis yang berkualiti dan aset-asetnya diselenggara serta diuruskan dengan baik, efisien dan selamat.
  1. Kerajaan Negeri melalui PTMP berhasrat membina infrastruktur yang memberi perkhidmatan kepada pengguna pengangkutan awam dan pengguna kenderaan persendirian. Di samping menggalakkan 40% penggunaan pengangkutan awam, Kerajaan Negeri juga perlu menyediakan jaringan jalan raya yang baik bagi kegunaan pengguna kenderaan persendirian yang 60% itu.
  1. Bandaraya seperti Hong Kong, di mana penggunaan pengangkutan awamnya adalah tertinggi di dunia pada 90%, juga masih membina jalan raya dan lebuh raya baru. Kos pembinaan projek jalan di Hong Kong pada masa ini adalah lebih kurang RM45 bilion, iaitu hampir sama dengan jangkaan kos keseluruhan PTMP.
  1. Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menyediakan jaringan jalan raya yang baik dan membina sistem pengangkutan awam pada masa yang sama. Kerajaan Negeri tidak boleh hanya memberi fokus terhadap penyediaan pengangkutan awam sahaja dan tanpa mengenepikan isu kesesakan lalu lintas yang dihadapi rakyat. Malah, Singapura yang telah mencapai penggunaan pengangkutan awam sebanyak 60% juga masih membina lebuh raya.

 

PSR

 

  1. Penang South Reclamation (PSR) adalah pelan transformasi bagi 50 tahun akan datang. Pertumbuhan penduduk akan bergantung kepada tarikan sesesuatu destinasi/ lokasi. Pada tahun 1970-an, jumlah penduduk hanya 776,000. Kini, jumlah penduduk Pulau Pinang telah mencecah 1.77 juta orang, iaitu kenaikan 128% dalam tempoh masa 50 tahun. Dari mana datangnya pertumbuhan penduduk yang 128% ini? Dari Pulau Pinang sendiri dan kawasan-kawasan berhampiran?. Kerajaan Negeri perlu merancang masa depan pada ketika ini demi menjamin kelestarian Pulau Pinang di masa hadapan.
  1. Oleh yang demikian, infrastruktur pengangkutan kita perlu cekap dan land bank Pulau Pinang tidak mencukupi untuk kegunaan generasi akan datang. Dakwaan bahawa kepadatan penduduk di pulau yang ditambak tidak sesuai untuk didiami juga tidak benar. Unjuran kepadatan penduduk optima bagi pulau tambakan itu adalah lebih kurang sama dengan kepadatan penduduk di Pengkalan Kota yang mempunyai 20,000 pengundi dalam kawasan keluasan 1km per segi. Pengkalan Kota tetap menjadi satu lokasi yang meriah dan menarik untuk dihuni dan dilawati. Membandingkan kepadatan penduduk Pulau Pinang dengan bandaraya lain seperti London adalah tidak realistik. Bandaraya London mempunyai ciri-ciri dinamiknya yang berbeza.
  1. Yang Berhormat Penaga juga boleh merujuk kajian mengenai unjuran penduduk di bandar-bandar utama, seperti yang dilakukan oleh Global Cities Institute di University Ontario, dan unjuran oleh Greater London Authority untuk mendapatkan maklumat yang lebih realistik.
  1. Persoalan Yang Berhormat Kebun Bunga sama ada PSR akan dijadikan tempat awam atau diswastakan pula, hak milik kawasan tambakan adalah tertakluk kepada perjanjian-perjanjian yang akan ditandatangani di antara Kerajaan dengan pihak pelabur.
  1. Untuk Projek PSR, ianya merupakan satu projek Kerajaan Negeri di mana Kerajaan Negeri akan memiliki semua kawasan yang ditambak. Kerajaan Negeri akan menetapkan Pelan Induk PSR, terutamanya berkenaan jenis-jenis pembangunan yang dirancang bersama dengan kemudahan-kemudahan awam akan ditetapkan. Plot-plot pembangunan akan dijual kepada pihak-pihak yang berminat berdasarkan jenis pembangunan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Hasil pendapatan daripada jualan tersebut akan digunakan untuk pembangunan Negeri Pulau Pinang, termasuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.
  1. Selain daripada pembiayaan PIP, projek PSR memainkan peranan penting untuk pembangunan masa hadapan Pulau Pinang di mana PSR akan membentuk sebuah hub perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang teguh dengan menjana lebih 300,000 pekerjaan baharu dan seterusnya memantapkan ekonomi Pulau Pinang. Melalui projek ini, dijangka pelaburan dalam bidang baharu akan meningkat dan dapat merealisasikan impian untuk rakyat hidup di dalam persekitaran yang bersih, hijau, selamat dan penggunaan rangkaian pengangkutan bersepadu serta memiliki peluang pendidikan dan pekerjaan.

 

 

PERKHIDMATAN WATER TAXI

  1. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat Berapit dan Yang Berhormat Bagan Dalam berkenaan pelaksanaan perkhidmatan water taxi dan sememangya Kerajaan Negeri telah mula meneliti kebolehlaksanaannya. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah baik perkhidmatan feri yang menjadi salah satu pengangkutan awam utama bagi penduduk di negeri ini termasuk memperkenalkan perkhidmatan water taxi. Rancangan untuk mewujudkan perkhidmatan water taxi merupakan salah satu cadangan yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
  1. Namun begitu, beberapa kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan serta permintaan terhadap perkhidmatan ini sebelum ianya dapat dilaksanakan. Justeru, perancangan water taxi di bawah pelaksanaan PTMP merupakan perancangan jangka panjang bagi mengintegrasikan kesemua link penghubung di Pulau Pinang supaya satu sistem pengangkutan yang mampan dan tersusun dapat direalisasikan.
  1. Tetapi ingin ditekankan bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri kecil tetapi besar peranannya di utara Malaysia, dan perancangan Pulau Pinang untuk mempelbagaikan mod perkhidmatan pengangkutan awam akan dilaksanakan secara berfasa.

PAKEJ 2 JALAN PINTASAN AYER ITAM KE LEBUHRAYA TUN DR. LIM CHONG EU

  1. Sebagaimana yang semua sedia maklum, projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (Pakej 2) sedang dalam fasa pembinaan selepas Majlis Pecah Tanah diadakan pada 2 November 2019. Perancangan pelaksanaan Projek Pakej 2 ini telah melalui penelitian oleh agensi-agensi teknikal kerajaan dan pihak Independent Consulting Engineer (ICE) pada fasa pra-pembinaan.
  1. Seterusnya, rekabentuk terperinci dan laporan teknikal yang berkaitan telah dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan Tanah Berisiko yang merangkumi agensi-agensi teknikal Kerajaan Negeri antaranya seperi Majlis Bandaraya Puau Pinang (MBPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia. Peralihan pelaksanaan projek ke fasa pembinaan hanya dapat diteruskan setelah kelulusan jawatankuasa ini diperolehi.
  1. Bagi fasa pembinaan projek Pakej 2, pemantauan aktiviti pembinaan di tapak terutamanya pembinaan struktur sementara atau temporary structure akan dilaksanakan oleh pasukan sepenuh masa dari Ibu Pejabat JKR yang akan dibantu oleh pihak Independent Consulting Engineer (ICE) bagi tempoh pelaksanaan pembinaan. Di samping itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melaksanakan OPS LUMPUR bertujuan memantau serta memastikan pihak kontraktor melaksanaan kerja-kerja tanah berdasarkan Laporan Pengurusan Impak Alam Sekeliling (EMP) yang telah diluluskan.
  1. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan untuk mengadakan laluan basikal pada jajaran projek Pakej 2. Walau bagaimanapun, cadangan ini telahpun diteliti di peringkat awal perancangan projek iaitu semasa Kajian Kebolehlaksanaan dan didapati tidak sesuai dilaksanakan atas faktor keselamatan. Ini adalah kerana jajaran Pakej 2 ini akan menyambung dua buah lebuhraya utama iaitu Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Lebuhraya Thean Teik di mana, kedua-dua lebuhraya sedia ada ini tidak mempunyai lorong khas bagi penunggang basikal serta keadaan jalan yang mempunyai pergerakan isipadu trafik yang tinggi. Maka tidak praktikal bagi lorong khas bagi pengguna basikal dilaksanakan atas faktor keselamatan pengguna lebuhraya di jajaran jalan Pakej 2 ini.

PERKHIDMATAN BAS

  1. Kerajaan Negeri memandang serius berkenaan perkhidmatan bas di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri bersama Rapid Penang sedang mengenalpasti masalah dan bersedia untuk membuat penambahbaikan terutama terhadap operasi bas. Penambahbaikan terhadap jadual bas pada waktu malam juga akan dibincangkan bersama Rapid Penang untuk ditambahbaik, termasuklah dengan mengambil kira laluan jalan-jalan utama di kawasan sekolah.
  1. Kerajaan Negeri telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan inisiatif subsidi bas melalui Pas Mutiara My50 yang juga boleh dinikmati oleh golongan B40 termasuk pelajar sekolah. Berhubung cadangan pemberian subsidi tambahan kepada pelajar sekolah, ianya perlu diteliti dengan lebih terperinci agar subsidi ini betul-betul bermanfaat kepada semua pelajar.
  1. Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses pemantauan dan penilaian prestasi operasi bagi 12 laluan bas percuma CAT serta mengadakan sesi Focus Group Discussion (FGD) untuk mengenal pasti isu dan langkah penambahbaikan yang perlu diambil terhadap perkhidmatan ini terutamanya dari segi connectivitydan frequency bagi meningkatkan lagi kadar penggunaan perkhidmatan bas CAT di semua laluan. Dijangkakan semua FGD ini akan diselesaikan pada penghujung tahun 2019. Perubahan penambahbaikan akan dibuat secara berperingkat bermula pada tahun 2020.
  1. Cadangan penggunaan bas mini juga sedang diperhalusi oleh Rapid Penang dan Prasarana Malaysia Berhad. Buat masa ini, cadangan menggunakan bas mini di Pulau Pinang masih dalam peringkat kajian oleh Rapid Penang. Ujian percubaan laluan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk meneliti kesesuaian bas mini.
  1. Rapid Penang juga sedang mengkaji penggunaan bas mini ini di beberapa laluan terpilih di Lembah Klang. Ujian percubaan laluan sedang dijalankan selama tiga (3) bulan. Berdasarkan data dan maklum balas daripada kajian ini kelak, pertimbangan ujian percubaan ini boleh dilanjutkan ke Pulau Pinang.
  1. Berkaitan cadangan Yang Berhormat Bukit Tambun agar satu (1) terminal bas dibangunkan di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS), Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan ini dan akan meneliti secara terperinci agar pembinaan terminal bas ini kelak akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan SPS dan sekitarnya.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

KOMUNIKASI DAN PENERANGAN

  1. Secara umumnya, agihan/ edaran naskah Buletin Mutiara adalah tertakluk kepada beberapa faktor. Ini termasuk jenis penempatan sesebuah kawasan, populasi majoriti dan berdasarkan permintaan daripada pihak/serta organisasi-organisasi tertentu. Selain edaran dari rumah ke rumah iaitu kawasan penempatan, naskah Buletin Mutiara turut diedarkan di pejabat-pejabat kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO); institusi pengajian termasuk sekolah-sekolah berdasarkan permintaan semasa; pusat-pusat khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN); masjid dan lain-lain.
  1. Sebagai makluman Yang Berhormat Bayan Lepas, syarikat-syarikat yang dilantik adalah mengikut proses ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan ia dipantau pihak-pihak tertentu dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan tidak diingini. Bagi mempertingkatkan perkhidmatan sedia ada, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri akan membuat siasatan dalaman sekiranya menerima makluman-makluman bahawa naskah-naskah berkaitan disalahgunakan.
  1. Justeru, adalah diharapkan supaya Yang Berhormat atau pihak-pihak lain dapat bersama berkongsi serta menyalurkan maklumat-maklumat berkenaan bagi tindakan lanjut pihak pentadbiran. Ini kerana adalah amat penting naskah penerbitan Kerajaan Negeri tersebut sampai kepada kumpulan sasaran agar polisi-polisi Kerajaan Negeri dapat dikongsi oleh seluruh rakyat negeri ini.
  1. Selain cetakan penerbitan, platform secara talian (online) Buletin Mutiara turut diperkasakan dari semasa ke semasa demi sebaran maklumat-maklumat terkini. Semua laporan yang dimuat naik adalah yang terkini dan dipelbagaikan dengan laporan-laporan khas terutamanya dalam mengetengahkan pencapaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi penerbitan video serta info-info grafik khas yang dipaparkan di laman-laman sosial sebagai panduan semua pihak. Di samping, di bawah MMK Komunikasi juga, turut dianjurkan program-program penerangan berbentuk perpaduan dan sosial memfokuskan kepada komuniti setempat tanpa mengira latar belakang lapisan masyarakat dari semasa ke semasa.
  1. Sebagai tambahan, saya ingin berkongsi dengan Dewan ini mengenai situasi terkini ancaman siber di Pulau Pinang. Dari tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Mei 2019, laporan statistik insiden keselamatan siber mencatatkan 21 kes dengan hanya membabitkan jenis insiden penghosan perisian merbahaya (malware hosting) daripada enam (6) jenis insiden keselamatan siber yang tersenarai. Justeru, dalam kita berjinak-jinak dengan media sosial terutamanya dalam menggunakan ia sebagai saluran penyebaran maklumat, semua pihak perlu memahami ancaman keselamatan yang dibawanya. Ancaman keselamatan adalah seiring dengan pembangunan negara dan ia merupakan satu bidang yang luas serta dinamik. Justeru, saya menyeru supaya semua pihak meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kesedaran berhubung keselamatan siber demi mengekalkan keharmonian di negeri Pulau Pinang.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

68 JANJI MANIFESTO KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

 

  1. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menepati 43 janji manifesto, 20 sedang dilaksanakan, 2 ditangguhkan selepas kajian semula, manakala 3 manifesto memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
  1. Antara manifesto yang telah ditepati antaranya ialah menghadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua (2) penggal sahaja, melantik Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC, peruntukan RM150 juta untuk pelaksanaan projek-projek tebatan banjir, peruntukan RM15 juta untuk perkhidmatan bas percuma dan lain-lain lagi. Manakala, antara manifesto yang sedang dilaksanakan adalah Projek Tiga (3) Lebuhraya Utama dan Terowong Di Pulau Pinang dengan Pakej 2 iaitu Lebuhraya Dari Ayer Itam Ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu telahpun dimulakan pada 31 Oktober 2019, pelaksanaan Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, pemasangan 20,000 tiang lampu LED menjelang tahun 2020, mewujudkan Penang Arts District dan lain-lain lagi.
  1. Dua (2) manifesto yang ditangguhkan ialah Program Penang Sihat dan bantuan kos sara hidup RM1,000.00 kepada kaum wanita dan ibu dari keluarga berpendapatan kurang dari RM2,000.00 sebulan kerana terdapat pertindihan dengan program-program yang telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti Program MySalam dan Peka B40.
  1. Manakala, manifesto yang melibatkan persetujuan Kerajaan Persekutuan dan masih dalam tindakan Kerajaan Negeri adalah menuntut pengagihan hasil cukai yang saksama, memohon kebenaran supaya Kerajaan Negeri dapat meluluskan hak milik kekal untuk rumah kos rendah dan sederhana rendah secara percuma dan pembangunan sekolah menengah Tamil pertama di Malaysia di negeri ini.

PEMBANGUNAN HOTEL BUKIT BENDERA

  1. Kerajaan Negeri mengambil maklum akan petisyen yang telah digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) berhubung pembangunan hotel di Bukit Bendera, sebagaimana yang telah diumumkan oleh saya pada November, 2018.
  1. Sememangnya Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan produk pelancongan yang berkualiti dan persekitaran yang kondusif demi keselesaan dan menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun antarabangsa ke Bukit Bendera. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri juga peka dengan keperluan untuk melindungi keindahan semula jadi flora dan fauna di Bukit Bendera.
  1. Untuk pengetahuan semua, Kerajaan Negeri akan meneliti semula konsep pembangunan banglo-banglo di atas Bukit Bendera dengan low-density, eco-friendly boutique hotel melalui pelawaan RFP. Selain itu, komponen pembangunan akan berpandukan kepada Sustainable Development Goals (SDG) selaras dengan MOU yang telah dimeterai antara Kerajaan Negeri (CMI) dengan pihak UN Habitat untuk pembangunan mampan.

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PERPUSTAKAN DIGITAL PULAU PINANG

 

  1. Ramai Ahli-ahli Yang Berhormat telah memuji inisiatif dan kejayaan Kerajaan Negeri dalam menyediakan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) yang pertama dan satellite PDL di setiap daerah dan terkini dengan pelancaran Perpustakaan Digital Batu Maung pada 2 November 2019 bagi Daerah Barat Daya. Manakala, Perpustakaan Digital Butterworth telah siap 85 peratus dan dijangka dirasmikan pada awal tahun 2020.
  2. Selaras dengan saranan Yang Berhormat Air Putih berkenaan Revolusi Industri 4.0 dan jalur lebar 5G, CMI dengan kerjasama Syarikat Keysight Technologies dan Huawei akan membangunkan sebuah makmal IoT berinovasi yang menggabungkan Artificial Intelligent dan Virtual Reality sebagai pusat pembelajaran di PDL Fasa 2. Bagi menjawab persoalan Yang Berhormat KOMTAR untuk penyediaan Perpustakaan Digital di KOMTAR, Kerajaan Negeri akan menelitikannya.

 

SAIZ PERKHIDMATAN AWAM

  1. Selaras dengan inisiatif Penang2030 dan mengambilkira dasar kawalan saiz perkhidmatan awam (KSPA) di peringkat persekutuan, kaedah yang dilaksanakan bagi kawalan saiz Perkhidmatan Awam adalah melalui pemansuhan 1% jawatan yang telah kosong melebihi dua (2) tahun pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, pemansuhan 95 jawatan pada tahun ini tidak melibatkan pemberhentian jawatan sedia ada. Penyampaian perkhidmatan tidak akan terjejas kerana pelaksanaan langkah pengagihan semula beban tugas.
  1. Pada masa ini, maklumat perjawatan di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sejumlah 3,680 perjawatan di Agensi Negeri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,451 perjawatan telah diisi dan masih berbaki 229 kekosongan. Manakala bagi Badan Berkanun Negeri pula, jumlah adalah sebanyak 483 perjawatan, daripadanya 401 perjawatan telah diisi dan masih berbaki 82 kekosongan. Bagi Pihak Berkuasa Tempatan pula jumlah perjawatan adalah sebanyak 5,341 perjawatan. Daripadanya 4,694 perjawatan telah diisi dan masih berbaki 647 kekosongan. Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 9,504 perjawatan dan sebanyak 8,546 perjawatan (90%) telah diisi.
  1. Antara langkah drastik yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menuju kecemerlangan adalah dengan mengemaskini, mengetat dan memperkukuhkan sistem pentadbiran dan insitusi supaya ianya lebih efektif dan efisien dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Langkah ini adalah selaras dengan Inisiatif Strategik C4 dalam Visi Penang2030 iaitu mempercepatkan penyampaian program dan pembaharuan institusi.
  1. Media sosial dan jaringan internet yang luas telah mengubah cara masyarakat berinteraksi dan berkomunikasi. Sehubungan itu, dengan kesediaan teknologi pintar seperti Artificial Intelligence, Data Terbuka (Open Data), Data Raya (Big Data) dan Data Analitik, pembaharuan dari segi digital perlu dilakukan. 
  1. Dengan bantuan teknologi-teknologi pintar ini, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan berkemampuan untuk menjalankan semakan peranan, tanggungjawab serta SOP yang penuh bagi mempercepatkan penyampaian program bagi semua inisiatif kerajaan. Inisiatif ini hanya dapat dicapai dengan memasikan tiga faktor kejayaan kritikal dilaksanakan secara konsisten iaitu:
  1. Memastikan dan memperkukuhkan tadbir urus yang baik;
  2. Mengkordinasi projek dan memastikan sebarang perubahan mahupun inisiatif kerajaan disampaikan secara berkesan kepada rakyat;
  • Mempelbagaikan penglibatan pihak berkepentingan untuk memastikan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan budaya secara holistik.
  1. Sehubungan itu, penekanan akan diberikan kepada penyusunan semula dan pembangunan kepasiti agensi kerajaan negeri bermula dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pinang Pinang. Sistem penyampaian dan perekodan usaha-usaha Kerajaan Negeri perlu diintegrasi dan diletakkan dalam satu saluran supaya ianya boleh diakses dan disemak dengan cepat, pintar dan telus.

INDEKS KEMAKMURAN

  1. Kerajaan Negeri telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama UN Habitat pada 6 Oktober 2018 dan saya bersama delegasi Kerajaan Negeri telah menghadiri Persidangan Pertama United Nation’s Human Settlements Programme (UN Habitat) di Nairobi, Kenya pada bulan Mei 2019. UN Habitat akan berkolabrasi untuk penyediaan serta pelaksanaan Indeks Kemakmuran Bandaraya (City Prosperity Index CPI) bagi menilai impak sesuatu projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan Sustainable Development Goals (SDGs) dan New Urban Agenda (NUA) agar dapat mencapai Visi Penang 2030.
  1. Satu bengkel telah diadakan oleh UN Habitat di Pulau Pinang bersama jabatan/ agensi Kerajaan Negeri pada bulan Jun 2019. Perbincangan CPI ditumpukan kepada enam (6) dimensi kemakmuran (Dimension of Prosperity) iaitu Urban Governance, Environment Sustainable, Equality and Social Inclusion, Quality of Life, Infrastructure Development and Productivity.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PENUTUP

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan bagi persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini, saya benar-benar berharap agar Belanjawan 2020 yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri ini akan berjaya mencapai tema “Penang2030 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama” yang telah ditetapkan.
  1. Di kesempatan ini juga, izinkan saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua barisan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, jentera Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan seluruh rakyat negeri ini yang selama ini bersama-sama mendokong aspirasi Kerajaan Negeri dan membolehkan kejayaan demi kejayaan dikecapi bersama.
  1. Akhir sekali, saya juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar sentiasa bersatu-padu, berganding bahu dan hormat-menghormati di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Sesungguhnya, keharmonian yang dikecapi oleh rakyat ketika ini sangat mahal harganya dan wajib dipertahankan sampai bila-bila.

 

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Terima kasih.

 

 

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang