SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KERJA-KERJA NAIK TARAF LIF DAN PENGGANTIAN SISTEM BOMBA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KERJA-KERJA NAIK TARAF LIF

 DAN PENGGANTIAN SISTEM BOMBA

 

 

2 JANUARI 2020 (KHAMIS)

BLOK 305, GAT LEBUH MACALLUM

YB Daniel Gooi

ADUN Pengkalan Kota

Encik Henry Oh

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Blok 350, Gat Lebuh Macallum

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Pengkalan Kota, YB Daniel Gooi, Perbadanan Pengurusan serta penduduk-penduduk Blok 350, Gat Lebuh Macallum atas kerjasama yang telah ditonjolkan dalam memastikan majlis pada hari ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Blok 350, Gat Lebuh Macallum merupakan sebuah projek perumahan yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada tahun 1983 dan telah pun menerima Sijil Layak Menduduki (CCC) pada tahun 1984. Projek perumahan ini mengandungi 96 unit di mana 88 unit adalah unit kediaman manakala baki 8 unit adalah unit kedai.

Sebagaimana skim Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang (TPM80PP) yang dikendalikan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantu penyelenggaraan projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah khususnya dari segi penyelenggaraan kritikal seperti lif, tangki air, bumbung dan sebagainya, PDC juga turut menyediakan skim penyelenggaraan yang sama.

Oleh itu, pada Mac 2018, PDC telah meluluskan permohanan penduduk untuk menggantikan 2 buah lif penumpang di blok ini dengan jumlah kos sebanyak RM651,900. Polisi dasar perkongsian kos telah dipraktikkan untuk kerja-kerja naik taraf lif ini di mana PDC telah menanggung kos sebanyak RM575,301.75 (88.25%) manakala Perbadanan Pengurusan (MC) Blok 35, Gat Lebuh Macallum pula menangung kos sebanyak RM76,598.25 (11.75%). Kerja-kerja pemasangan telah dilakukan pada November 2018 dan siap sepenuhnya pada Jun 2019.  

Secara keseluruhan, sejumlah RM6.8 juta telah dibelanjakan untuk membiayai 42 projek penyelenggaraan seperti mengecatan, pembaikan kritikal dan penggantian lif untuk projek-projek perumahan di bawah kendalian PDC.

Dan secara khususnya, di kawasan Gat Lebuh Macallum sahaja, 7 projek penggantian lif telah disiapkan sepenuhnya dengan jumlah kos peruntukan sebanyak RM3.7 juta. Ini adalah testimoni usaha Kerajaan Negeri dalam menjamin kelestarian dan kesejahteraan penduduk selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri yang berteraskan kekeluargaan, hijau, pintar dan mampu menginspirasikan negara.

Selain lif, pada hari ini juga, Blok 350, Gat Lebuh Macallum bakal menerima sistem bomba yang baru bertujuan utuk memastikan bekalan air dapat disalurkan ke setiap tingkat sekiranya berlaku insiden kebakaran. Susulan daripada itu, saya selaku Ahli Parlimen telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk tujuan tersebut.

Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa Perbadanan Pengurusan Blok 350, Gat Lebuh Macallum yang sentiasa proaktif dan komited terutama melibatkan penyelenggaraan dan keselamatan bangunan demi keselesaan dan kelangsungan penduduk di kawasan ini.  Kerajaan Negeri berharap usaha ini akan berterusan dan mampu menjadi contoh kepada Perbadanan Pengurusan (MC) yang lain.

Sekian, terima kasih.  

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang