SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH CINA DAN MUBALIGH TAHUN 2020

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK

KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH CINA DAN MUBALIGH TAHUN 2020

16hb Jan 2020, 10:30 pagi

Auditorium A, Tingkat 5, KOMTAR

Yang Berhormat Puan Chong Eng

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Para Pengerusi Lembaga Pengarah dan PIBG, Para Pengetua dan Guru Besar

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Tahun Baru 2020, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

1.         Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan penghargaan ke atas kehadiran para hadirin kerana dapat meluangkan masa untuk datang ke Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Cina Persendirian bagi tahun 2020.

2.         Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Tuan Wong Kah Woh, Pengerusi SEDA merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timor kerana sudi datang ke Pulau Pinang untuk memberi taklimat berkenaan dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) kepada wakil-wakil sekolah. Terima kasih juga kepada Ahli Lembaga Pengurus Sekolah, Pengetua, Guru Besar, Guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis hari ini dan memberi kerjasama semasa lawatan dan proses penilaian permohonan yang dilaksanakan oleh ADUN.

3.         Selain daripada peruntukan sebanyak RM12 juta yang disalurkan setiap tahun kepada Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina (SJKC, SMJK dan Sekolah Menengah Persendirian), Sekolah Tamil dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) untuk tujuan memperkasakan pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan 44.1 luas ekar tanah kepada beberapa sekolah yang sedang berusaha untuk kerja perpindahan atau pembinaan, misalnya SMJK Jit Sin II SPS, SMJK Heng Ee Cawangan Bayan Baru, SJKC Yang Cheng, SJKC Beng Teik Pusat, SJKC Kwang Hwa Butterworth yang telah siap dibina dan beroperasi; manakala SJKC Aik Hua, SJKC Chung Shan, SJKC Shih Chung Pusat, SJKC Heng Ee, SJKC Kuang Yu yang masih dalam perancangan. Bukan sahaja Sekolah Cina, tetapi 3 buah Sekolah Tamil iaitu SJK(T) Azad, SJKT Subramaniya Barathee, SJK(T) Ladang Valdor juga diberi 5.3 ekar bidang tanah dengan keluasan yang mencukupi untuk kerja pembinaan. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga membina sebuah bangunan baru 3 tingkat dengan kos pembinaan sebanyak RM1.3 juta di Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, di Guar Perahu, Permatang Pauh. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri prihatin kepada perkembangan pendidikan bagi semua aliran.

4.         Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, sementara menunggu kerja pembinaan sekolah SJKC Kuang Yu yang dijangka akan bermula pada pertengahan tahun ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia akan membina sebuah lagi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di Bukit Mertajam. Tujuan pembinaan sekolah baru di kawasan tersebut adalah bagi menampung bilangan murid yang ramai di 4 buah sekolah berhampiran, iaitu SJKC Sin Ya yang seramai 1775 orang pelajar, SJKC Kay Sin dengan seramai 560 orang pelajar, SJKC Kim Sen dengan 1432 orang pelajar dan SJKC Permatang Tinggi dengan seramai 906 orang pelajar. Sekolah-sekolah ini terletak dalam lingkungan jarak 7 km dengan tapak baru. Saya berharap dengan kerjasama ini, sekolah yang bakal dinamakan sebagai SJKC Tun Lim Chong Eu itu akan membawa manfaat kepada komuniti di sekitar kawasan Alma, Bukit Mertajam.   

5.         Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyumbang kepada pembinaan Sekolah Terencat Akal Pulau Pinang di Sungai Ara, Daerah Barat Daya yang melibatkan kos perbelanjaan berjumlah RM10 juta yang merangkumi sebuah bangunan sekolah 2 tingkat dengan 14 buah bilik darjah, bilik kemudahan, kantin, dewan dan bilik pejabat pentadbiran. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan menyumbang sebanyak 15 juta untuk pembinaan sebuah sekolah agama iaitu Al-Itqan yang bertempat di Teluk Kumbar.

6.         Tahun ini merupakan tahun ke-12 majlis seumpama ini diadakan sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008. Peruntukan yang disalurkan selama ini telah digunakan dengan sewajarnya untuk membina bangunan sekolah, memperbaiki dan menaiktaraf infrastrutur sekolah. Tahun ini, Makerlab dijadikan skop baru dan permohonan daripada 25 buah sekolah telah diluluskan. Penang Science Cluster akan membantu sekolah-sekolah tersebut untuk melengkapi makmal tersebut dengan mesin pencetak 3D, perisian, elektronik, kraf, bekalan perkakasan serta semua jenis alat yang dapat memupuk minat dan mencungkil bakat murid-murid untuk mencipta bahan baru.

7.         Tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3,902,000 kepada 87 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM1,280,000 kepada 12 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan RM1,120,000 kepada 22 buah Sekolah Mubaligh. Jumlah keseluruhan adalah RM6.302 juta dan daripada jumlah ini, saya difahamkan bahawa sebanyak RM120 ribu atau 1.9% diperuntukkan untuk pembinaan bangunan-bangunan baru. RM919 ribu atau 14.6% diperuntukkan untuk membaiki kerosakan struktur dan, untuk membaiki struktur sekolah yang mengancam keselamatan warga sekolah sebanyak RM1.0175 juta atau 16.1% telah diperuntukkan. Manakala 6.2% atau RM390 ribu telah diperuntukkan untuk tujuan kerja-kerja pengubahsuaian dan peruntukan sebanyak RM1.6005 juta  atau 25.4% diberi kepada sekolah untuk menaiktaraf tandas dan perparitan sekolah. Selain daripada itu, RM140 ribu atau 2.2% disalurkan untuk tujuan menaiktaraf kemudahan sekolah manakala peruntukan untuk penaiktarafan bilik darjah, tapak sukan dan kantin pula adalah sebanyak RM1.35 juta atau 16.5% dan peruntukan yang diluluskan untuk pemagaran adalah RM110 ribu atau 1.7%. Kelulusan untuk membeli kelengkapan sekolah pula adalah sebanyak RM130,000 iaitu 2.1% daripada peruntukan keseluruhan dan RM840 ribu atau 13.3% telah diluluskan untuk menubuhkan Makerlab. Disamping itu, 2 juta diluluskan kepada 5 buah Sekolah Menengah Cina Persendirian. Maka, kesemuanya peruntukan yang disalurkan pada hari ini adalah RM8.302 juta.

8.         Dengan ini saya mengakhiri ucapan saya dengan salam tahniah kepada sekolah yang mendapat peruntukan dan Selamat Tahun Baru Cina bagi mereka yang menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang