SEMPENA MAJLIS PERTUKARAN PERJANJIAN DI ANTARA BIOPOLIS RESOURCES SDN BHD

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERTUKARAN PERJANJIAN

DI ANTARA BIOPOLIS RESOURCES SDN BHD

& PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

 

 

20 JANUARI 2010

BILIK GERAKAN

 

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli EXCO

YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu

Pegawak Kewangan Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Bazid bin Haji Abdul Kahar

Pengurus Besar PDC

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri H’ng Bok San

Pemegang Saham Biopolis Resources Sdn Bhd

Yang Berbahagia Dato’ Ar Jong East Full

Pengarah Biopolis Resources Sdn Bhd

Wakil-wakil Pengarah Biopolis Resources Sdn Bhd

Wakil-wakil Biopolis Resources Sdn Bhd

Pihak Pengurusan PDC

Para jemputan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Pertukaran Perjanjian di antara Biopolis Resources Sdn Bhd dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada petang yang berbahagia ini.

 

Seperti mana yang semua sedia maklum, syarikat Biopolis Resources Sdn Bhd telah dipilih untuk menerajui projek pembangunan asrama pekerja di atas tapak tanah seluas 4.9781 ekar di Jalan PSPN 1, North Penang Science Park, Mukim 13, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kerja-kerja pembinaan akan mengambil masa selama empat (4) tahun dan hanya akan dimulakan sebaik sahaja pihak syarikat Biopolis Resources Sdn Bhd memperolehi kelulusan Notis Mula Kerja (COW).

Projek pembangunan ini mempunyai lima (5) fasa melibatkan pembinaan 684-unit asrama (dengan anggaran pekerja seramai 12,313 orang), 8-unit kedai-pejabat, ruang kemudahan pengangkutan awam, sebuah surau dan juga rumah ibadat bukan Islam (RIBI).

Projek pembangunan asrama pekerja yang bertaraf antarabangsa ini dirancang bagi menyediakan tempat penginapan/kediaman kepada warga tempatan dan warga asing yang bekerja di kawasan perindustrian yang berdekatan.

Tujuan utama perancangan pembangunan asrama pekerja ini adalah untuk menyelesaikan isu/masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri seperti: -

  • Mengawal dan menyelesaikan isu keselamatan dan keselesaan penduduk tempatan apabila terdapat warga asing yang menetap di sesuatu kawasan perumahan dengan kepadatan yang tinggi;
  • Kekurangan rumah kos rendah dan kenaikan kadar sewa kediaman;
  • Menangani isu susut nilai hartanah apabila kawasan perumahan tertentu menjadi pusat tumpuan pendudukan pekerja asing;
  • Konflik demografi kependudukan di antara masyarakat tempatan dan asing. mencetuskan masalah sosial bagi kawasan terlibat; dan
  • Kebanjiran warga asing yang tidak berdaftar serta penempatan haram yang menyukarkan kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Saya pasti projek ini akan dapat menyediakan kawasan kediaman yang tersusun dan teratur beserta segala kemudahan yang selesa untuk para pekerja kawasan perindustrian di sekitarnya. Pembangunan ini akan dapat juga membantu para majikan mengurus kakitangan mereka dengan lebih baik yang secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran operasi mereka.

Kerajaan Negeri melihat projek pembangunan asrama pekerja asing ini dari satu sudut yang positif di mana isu-isu penting seperti isu keselamatan, isu sosial, kebersihan dan kejutan budaya di kalangan pekerja asing dapat ditangani dengan lebih sistematik.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang