SEMPENA MAJLIS PELANCARAN MBSP CALL CENTRE

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN MBSP CALL CENTRE

 

31 JANUARI 2020 LOBI MENARA BANDARAYA MBSP

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Puan Ir Hjh Rosnani bt Hj Mahmod

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ketua-ketua Jabatan

Pengerusi PUSPANITA, ANULAE, PERMAI, PESUKA, PERMAI

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas jemputan ke Majlis Pelancaran MBSP Call Centre pada pagi yang berbahagia ini.

Saya difahamkan bahawa MBSP merupakan agensi Kerajaan negeri yang kedua mempunyai call centre selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Call centre ini berperanan untuk menjadi saluran dalam mengendalikan aduan sekaligus mampu mengatasi ‘no wrong door policy’ terutama dalam pengurusan aduan kerana segala proses pengaduan berhubung perkhidmatan MBSP selepas ini adalah hanya melalui satu sahaja.

Seberang Perai mempunyai 54% jumlah keseluruhan penduduk di Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak 946,200 orang penduduk (2017) yang meliputi tiga (3) daerah di keluasan 751km persegi. Ini dapat memberi gambaran berkaitan berapa jumlah aduan yang diterima oleh MBSP setiap hari.

Sejak mula call centre ini diperkenalkan, Telekom Malaysia (TM) yang merupakan Business Process Outsourcing Services di Malaysia telah merekodkan 2197 aduan dan telah diedarkan kepada Jabatan-jabatan dalaman yang berkaitan untuk tindakan. Semua data yang dikumpulkan melalui call centre ini akan dilaporkan secara bulanan kepada pihak Pengurusan.

Sesungguhnya inisiatif yang digerakkan ini telah mencerminkan komitmen MBSP dalam meningkatkan dan memperkasakan mutu perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat secara keseluruhannya. Dalam usaha Kerajaan Negeri merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, ciri-ciri yang terkandung dalam intipati pelaksanaan call centre ini sememangnya bertepatan dan merupakan suatu usaha positif yang harus dipuji.

Pujian harus diberikan kepada MBSP atas segala inisiatif yang giat dilaksanakan seiring dengan perkembangan teknologi masa kini. Setelah melancarkan Digital @Seberang Perai dan Cyber Counter, keputusan MBSP untuk mewujudkan sebuah call centre adalah satu usaha tambahan bagi meningkakan kecekapan pengendalian aduan dan perhubungan antara MBSP dan penduduk Seberang Perai.

Saya berharap penduduk Seberang Perai akan memahami situasi ini dan MBSP akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa sehingga mencapai taraf bandaraya antarabangsa yang diimpikan.

Dengan kata-kata ini, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Call Centre MBSP.

Sekian terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang