SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN KASIH MESRA TAHUN BAHARU CINA ONE HOPE CHARITY 2020

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN KASIH MESRA TAHUN BAHARU CINA ONE HOPE CHARITY 2020

9 FEBRUARI 2020 HOTEL VANGOHH EMINENT

Yang Berusaha Encik Chua Sui Hau

Pengerusi One Hope Charity & Welfare

Yang Berbahagia Dato’ Seri R. Arunasalam

Penasihat One Hope Charity & Welfare

Yang Berbahagia Encik Ang Beng Hock

Penasihat One Hope Charity & Welfare

Para jemputan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada One Hope Charity & Welfare Berhad (One Hope) atas jemputan sempena Majlis Sambutan Kasih Mesra Tahun Baru Cina 2020 pada petang yang berbahagia ini.

Seperti mana yang dimaklumkan, sempena perayaan tahun baru cina kali ini, lebih kurang 800 orang yang pernah menerima bantuan disatukan dan dihimpunkan dalam satu majlis yang cukup bermakna pada hari ini bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara para penerima dan warga One Hope.

Sejak penubuhan pada tahun 2002, One Hope sebagai badan kebajikan paling aktif di negeri ini telah membantu ratusan ribu orang, bukan sahaja dalam membantu mendapatkan dana perubatan seperti menampung kos pembedahan, pemberian kerusi roda, katil khas serta ubat-ubatan tetapi turut memberikan galakan semangat dan sokongan moral terutama kepada pesakit untuk melawan penyakit demi kelangsungan kehidupan yang lebih baik.

Saya telah menghadiri beberapa program yang telah dilaksanakan oleh One Hope dan secara peribadinya, saya amat mengagumi komitmen yang telah diberikan oleh keseluruhan pasukan One Hope. Rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza latar belakang kaum dan agama dibantu secara sama rata dan dilayan secara adil seperti sebuah keluarga besar yang cukup harmoni.

Daripada sebuah organisasi yang hanya mempunyai 20 orang sukarelawan, kini tidak hairanlah selepas 18 tahun bertapak, One Hope telah mempunyai lebih 2,000 sukarelawan di seluruh negara. Malah ada dalam kalangan bekas penerima bantuan turut terlibat dalam membantu One Hope bagi mencari dana untuk membantu pesakit lain yang memerlukan.

Saya masih ingat ketika ucapan di Majlis Penyerahan Sumbangan Aset Kritikal kepada hospital dan klinik kesihatan di negeri ini pada 28 November 2019, saya secara spontan telah melontarkan sesuatu kepada Encik Chua Sui Hau dan Dato’ Seri R. Arunasalam di penghujung ucapan saya iaitu ‘never wait for perfect moment to do charity but make every moment perfect to do charity’.

Tanpa saya sedar, ayat tersebut telah meninggalkan kesan dan memberi makna yang besar sehingga One Hope telah membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah slogan kepada pertubuhan ini. Bertitik tolak daripada itu, maka terciptalah slogan “Make Every Moment Charity Perfect” yang akan dilancarkan sebentar nanti. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua!

One Hope bukan sahaja telah menjadikan kerja kebajikan itu sempurna, tetapi turut menyempurnakan kehidupan mereka yang memerlukan. Setiap dana dan sumbangan yang masuk ke dalam tabung pertubuhan ini telah dimanfaatkan mengikut proses dan prosedur yang terperinci, sekaligus membuktikan ketelusan dan kepercayaan pihak pengurusan dalam pengurusan dana awam. Tahun lalu sahaja, hampir RM8 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan kerja kebajikan meliputi pelbagai aspek dan saya percaya ia telah meninggalkan kenangan yang amat bermakna kepada mereka yang telah diberi bantuan.

One Hope mempunyai beberapa perancangan baharu seperti pembukaan kaunter khas di hospital kerajaan dan bercita-cita tinggi untuk menubuhkan hospital kebajikan di negeri ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya sentiasa menyokong usaha kebajikan ini dan berharap ia mampu dilaksanakan sebagaimana yang direncanakan demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada One Hope atas penganjuran majlis yang cukup bermakna pada petang ini. Semoga ia dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang