SIDANG AKHBAR REQUEST FOR PROPOSAL (RFP) TEBUS GUNA TANAH OLEH PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI SIDANG AKHBAR REQUEST FOR PROPOSAL (RFP) TEBUS GUNA TANAH

OLEH PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

23 JUN 2020

BILIK GERAKAN

 

 

YB Profesor P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Dato’ Mohd Bazid bin Haji Abdul Kahar

Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

Ketua-Ketua Jabatan

Pihak Pengurusan PDC

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke sidang media berkaitan cadangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk mengiklankan Request For Proposal (RFP) bagi pembangunan bersepadu dan cadangan tebus guna tanah.

PDC sebagai agensi pembangunan unggul Kerajaan Negeri bercadang untuk mentransformasikan semula kawasan dengan tema Linear Waterfront bermula dari pusat beli-belah Queensbay Mall di sepanjang Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu hingga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berhadapan Pulau Jerejak.

Tujuan utama pembangunan adalah untuk:-

  • Mengukuhkan konurbasi bandar Bayan Baru dan menyokong tema dan inisiatif strategik Penang2030;
  • Mewujudkan kawasan pembangunan baru yang berdaya maju serta melengkapkan kawasan perindustrian Bayan Lepas;
  • Menambah bank tanah Kerajaan Negeri untuk pembangunan projek berimpak tinggi di samping menarik pelaburan masa hadapan.

Antara pembangunan yang telah dikenal pasti oleh PDC untuk kawasan ini adalah :-

  • Jenis pembangunan bertemakan ‘waterfront’ yang merangkumi sektor perkhidmatan seperti hotel, restoran (food and beverage) dan perubatan, komersial serta pembangunan bercampur;
  • Menyediakan rangkaian infrastruktur dan cadangan perhubungan awam yang komprehensif dan lebih terancang;
  • Mewujudkan kawasan rekreasi dan pelancongan mengadap laut serta pulau (Pulau Jerejak) terpanjang di Pulau Pinang;
  • Menyediakan kemudahan dan fasiliti kepada rakyat Pulau Pinang untuk dinikmati pada masa hadapan;
  • Mengaktifkan cadangan aktiviti pelancongan perairan seperti water taxi & boat ride dalam mempromosi potensi pesisiran Negeri Pulau Pinang; dan
  • Membangunkan semula pusat nelayan dan pusat makanan MBPP yang lebih terancang, moden dan lebih kondusif.

Sebahagian kawasan yang terlibat adalah kawasan astaka pantai Seagate, Balai Nelayan dan Jeti Nelayan di sepanjang kawasan ini. Pada masa ini semasa air surut, kemudahan nelayan terutama jeti tidak dapat digunakan sepenuhnya. Sementara gerai makan pula didapati sudah usang. Adalah dijangkakan bahawa pembangunan semula kawasan ini akan lebih terancang, moden dan lengkap dengan fasiliti yang lebih baik. Oleh itu aktiviti ekonomi penduduk terlibat akan dapat ditingkatkan serta dipelbagaikan apabila pembangunan ini siap kelak.

Saya dimaklumkan bahawa PDC telah bekerjasama rapat dengan beberapa agensi teknikal yang berkaitan bagi tujuan perancangan untuk panggilan RFP ini demi untuk memastikan keperluan dan kepentingan semua pihak yang terlibat diambil kira serta berjalan lancar. Antara jabatan tersebut ialah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri, Pejabat Tanah & Galian (PTG), Pejabat Daerah & Tanah Timur Laut (PDTDTL), Pejabat Daerah & Tanah Barat Daya (PDTDBD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, PLANMsia@PP dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Adalah dijangkakan, iklan untuk RFP ini akan dibuka pada 31 Julai 2020 dan tarikh tutup ialah pada 30 September 2020. Ingin juga saya maklumkan di sini bahawa segala pematuhan syarat-syarat perancangan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dipatuhi oleh penender semasa di peringkat perancangan dan pelaksanaan. Cadangan pembangunan yang mempunyai keseimbangan keperluan kawasan terlibat dan secara holistik merupakan salah satu kriteria utama dalam menilai keupayaan projek. Manakala perancangan jadual pelaksanaan akan dimuktamadkan semasa di peringkat rundingan RFP.

Berbalik kepada sejarah pembangunan Pulau Pinang, sekitar tahun 1975, PDC telah melaksanakan tebus guna tanah untuk tujuan pembangunan ekonomi Pulau Pinang dari Jambatan Pulau Pinang ke Batu Maung. Keluasan kawasan yang ditebus guna ialah 1,120 ekar dan telah digunakan untuk tujuan perindustrian, produk pelancongan, komersial, infrastruktur dan pembangunan bercampur.

Tebus guna tanah ini telah membolehkan sektor perindustrian Pulau Pinang berkembang maju dengan pelbagai kilang-kilang ternama membuat pelaburan besar di kawasan tersebut. Selain daripada itu, terdapat juga pembangunan perumahan, komersial serta di sini jugalah terletak pusat membeli-belah terbesar di Wilayah Utara iaitu Queensbay Mall. Malah sehingga kini, kawasan inilah yang telah menyokong serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi sehingga meletakkan Pulau Pinang antara penyumbang utama KDNK negara.

Oleh itu, saya ingin menjemput dan menyeru kepada pihak yang berpengalaman, kreatif, inovatif dan berkelayakan untuk merebut peluang ini bagi bersama-sama membangunkan Pulau Pinang yang lebih maju dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang