Biografi

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Malaysia

PENGENALAN

 

YAB Tuan Chow Kon Yeow ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima. Beliau mengambil alih tampuk pimpinan tertinggi negeri selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 Malaysia pada Mei 2018. Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) sejak 2008.

Dilahirkan pada November 1958, YAB memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Sains Sosial daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau kemudiannya berkahwin dengan Puan Tan Lean Kee dan pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata.

YAB memulakan tugas sebagai seorang wartawan sebelum menjadi Setiausaha Politik kepada mantan Setiausaha Agung DAP yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong, YB Lim Kit Siang antara Oktober 1986 hingga 1990. Setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota pada 1990, beliau kemudiannya menjadi Ahli Parlimen bagi Tanjong pada tahun 1999. Beliau mempertahankan kerusi Tanjong selama dua penggal (2004 dan 2008). Pilihan raya 2008, menyaksikan pentadbiran baharu DAP di bawah Pakatan Rakyat, yang mana beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Kota dan menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan bagi portfolio Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik.

Kemenangan berterusan DAP dalam pilihan raya 2013 menyaksikan YAB mengekalkan kerusi bagi kawasan Padang Kota. Beliau meneruskan khidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan tambahan portfolio sedia ada iaitu Tebatan Banjir.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang penuh bersejarah, YAB berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Kota dan memenangi kerusi Parlimen Tanjong. Beliau telah menjadi Pengerusi DAP Pulau Pinang sejak tahun 2000 dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP sejak tahun 2004.

Dalam temu ramah baru-baru ini selepas upacara mengangkat sumpah, Ketua Menteri Pulau Pinang kelima berkenaan tekad memberi komitmen dalam pentadbirannya bagi memastikan penyampaian tiga projek mega, iaitu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), rancangan tebatan banjir dan perumahan mampu milik. Tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi, beliau memikulnya sebagai satu cabaran untuk memberi khidmat kepada rakyat Pulau Pinang dan mencari inisiatif terbaik dalam menjadikan negeri ini sebagai kediaman yang lebih baik dihuni untuk semua.

Malah, YAB turut menginspirasikan Visi Penang2030 sebagai tonggak pemerintahannya iaitu dengan bertemakan ‘Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga yang Menginspirasikan Negara’ yang menjadi fokus Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang