MAJLIS PERASMIAN PESTA PADI ANTARABANGSA PULAU PINANG 2.0

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA PADI ANTARABANGSA PULAU PINANG 2.0

17 OGOS 2019

KAMPUNG TERUS, GUAR PERAHU

---------------------------------------------------------------------------------------

YB Dr. Norlela Ariffin

ADUN Penanti

Dato’ Rozali Mohamud

YDP MPSP

Puan Noor Mazirah Binti Teh

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang

En. Mohd. Muhaimin Ibrahim

Pengarah Pertanian Negeri

Puan Noraisyah Binti Abu Bakar

Pengarah Perikanan Negeri

En. Kamarul Haizal Bin Koderat

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

En Baharuddin Abdullah

Pengerusi MPKK Kampung Terus selaku tuan rumah

Wakil-wakil JPS dan JKR Negeri

Pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan dan barisan penganjur bersama.

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur di bawah kepimpinan ADUN Penanti, YB Dr. Norlela Ariffin di atas kesudiaan menjemput saya untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Perasmian Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 2.0 serta Majlis Perasmian Jeti Kampung Terus dan Balai Lintang pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, ini merupakan tahun kedua majlis seumpama diadakan di tapak warisan padi yang tertua di kawasan Seberang Perai sejak tahun 1800, apabila Al-Marhum Sultan Kedah pada masa itu telah menghantar adinda baginda, Tengku Sulaiman bersama-sama 45,000 pesawah terbaik dari Kedah untuk menanam padi berdekatan kawasan ini yang mana Sungai Terus telah dijadikan laluan pengangkutan utama.

Melihat kepada kejayaan yang telah dicapai ketika penganjurannya pada tahun pertama, saya percaya ia telah menjadi titik tolak kepada penambahbaikan dalam penganjurannya pada tahun ini. Bukan sekadar suka-suka, festival ini mempunyai objektif yang cukup jelas terutama dalam menentukan hala tuju dan mengekalkan sektor pertanian khususnya tanaman padi di kawasan ini.

Dengan tema iaitu PadiKu WarisanKu Rezekiku, festival yang akan berlangsung selama tiga (3) hari bermula pada 16-18 Ogos di Laman Padi Jeti Kampung Terus, Penanti ini akan dimeriahkan dengan pelbagai program, aktiviti dan pengisian bertemakan sawah padi seperti pameran seni arca artwork jerami padi pertama di Malaysia, aktiviti menangkap ikan dalam bendang, lukisan pemandangan oleh pelukis tempatan serta pelbagai lagi.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya akan terus memberi sokongan yang padu dan menyeluruh atas kesungguhan Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah, ADUN Penanti, YB Dr. Norlela bersama-sama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kelab Rekreasi Nelayan Kampung Terus serta seluruh penduduk Kampung Terus dan Guar Jering yang berterusan mempertahankan tanah-tanah warisan ini melalui penganjuran pelbagai program untuk membantu menaik taraf ekonomi para pesawah, nelayan sungai dan penduduk setempat di 33 kampung tradisi untuk mempelbagai pendapatan dan membangunkan pelancongan warisan padi, pelancongan sungai, agro-tourism dan pelancongan desa sebagai aset keindahan serta kehijauan semulajadi untuk negeri yang tercinta ini.

Kerajaan Negeri akan terus melakukan apa yang terdaya terutama dalam penyediaan peruntukan, infrastruktur asas dan awam serta pelaksanaan undang-undang bagi membendung aktiviti tambakan tanah-tanah bendang serta tukar guna tanah yang sering berlaku pada masa ini.

Kawasan penanaman padi telah ditanda sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 dan keluasan tanaman padi menurut Jabatan Pertanian Negeri ialah seluas 12,782 hektar. Hasil purata pengeluaran padi menunjukkan Negeri Pulau Pinang meskipun kecil dan dimonopoli oleh sektor pembuatan tetapi menduduki tempat kedua di Malaysia selepas Selangor dengan pengeluaran sebanyak 5.8 ton per hektar pada musim 2015/2016.

Ini menunjukkan kepentingan tanaman padi masih diperlukan di negeri ini bagi menjamin kelangsungan pengeluaran makanan (food security) terutama jika berlaku musim kemarau dan pengurangan hasil padi seperti yang berlaku baru-baru ini. Kita khuathir situasi yang pernah berlaku di mana negara lain memberhentikan eksport beras untuk menampung keperluan makanan negara mereka sendiri apabila berlaku pengurangan hasil padi akibat kemarau dan perubatan iklim.

Atas sebab itu, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk melaksanakan Syor-Syor Laporan Jawatankuasa PAC Negeri Pulau Pinang yang dianggotai oleh ADUN Penanti, YB Dr. Norlela sendiri mengenai tanah-tanah bendang yang ditambun dan telah dibentangkan pada Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri 2019 baru-baru ini.

Akhir kata, semoga festival ini mencapai sasarannya yang tersendiri sekaligus mewujudkan sinergi yang terbaik untuk kawasan Seberang Perai terutamanya dan Pulau Pinang keseluruhannya.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Majlis Perasmian Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 2.0 serta Majlis Perasmian Jeti Kampung Terus dan Balai Lintang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang