LARIAN MERDEKA BAYAN LEPAS 2019

TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI PULAU PINANG

LARIAN MERDEKA BAYAN LEPAS 2019

30 OGOS 2019

PERKARANGAN KOMPLEKS MAKAN DAN PASAR MBPP RAJAWALI BAYAN LEPAS

Terima kasih kepada pengacara majlis, Selamat Petang, Salam Harapan dan Salam Kemerdekaan.

Yang Berhormat Azrul Mahathir Bin Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas,

Yang Berhormat – Yang Berhormat,

Tuan Mohd Hafiz Aswad Bin Nadzri, Pegawai Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya,

Tuan OCPD Superintendan A. Anbalagan, Ketua Polis Daerah Barat Daya,

Pegawai – Pegawai Agensi Kerajaan, 

Tuan-tuan, Puan-puan, dan semua Para Peserta Larian Merdeka Bayan Lepas 2019 yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih kepada Pejabat ADUN Bayan Lepas dan MPKK KADUN Bayan Lepas dalam usaha menjayakan program Larian Merdeka ini yang membawa mesej semangat cintakan negara.

Saya difahamkan, Larian Merdeka ini juga melibatkan seramai 300 orang peserta dan sejauh tiga (3) kilometer. Larian ini juga adalah julung – julung kali dibuat pada waktu malam di dalam KADUN Bayan Lepas. Syabas dan tahniah saya ucapkan dengan penganjuran program sebegini.

Kemerdekaan Negara kita yang disambut kali ke – 62 ini amat bermakna bagi kita setelah berpuluh malah beratus tahun hidup dijajah. Oleh yang demikian, apabila kita menikmati kemerdekaan tugas utama kita adalah untuk membina kemajuan Negara kita dan memelihara keharmonian Negara supaya rakyat dapat hidup senang, bersatu dengan penuh harmoni.

Dalam konteks kemerdekaan, saya mengharapkan semua rakyat negara ini, khususnya rakyat negeri Pulau Pinang agar sentiasa menghayati sejarah kemerdekaan Negara dan menzahirkan perasaan berterima kasih serta bersyukur di atas nikmat kemerdekaan ini.

Kita seharusnya mengenang jasa-jasa pemimpin yang terdahulu, yang telah bersusah payah berjuang untuk membebaskan negara ini daripada belenggu penjajahan sehinggalah kita dapat mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Nilai kemerdekaan yang diraikan bukan sahaja merdeka daripada dijajah, namun yang paling penting, keupayaan kita semua hidup dengan bersatu-padu dalam suasana harmoni dalam negara tercinta kita.

Tuan- Tuan dan Puan- puan hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagai rakyat, marilah kita ambil semangat kemerdekaan ini untuk memupuk semangat perpaduan dan menolak segala unsur – unsur yang mahukan rakyat Malaysia berpecah – belah. Kita perlu berusaha untuk memastikan kemerdekaan yang telah dicapai selama ini dapat dipertahankan dan diisi dengan sebaik mungkin termasuk mengukuhkan hubungan baik antara kaum. Ini kerana keharmonian dan perpaduan serta toleransi yang dipupuk dapat menjamin keamanan dan kedamaian dalam negara.

Tahun ini, Kerajaan Pakatan Harapan mengangkat tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” sebagai tema Hari Kebangsaan 2019. Tema tahun ini menitik berat hasrat Kerajaan untuk memupuk semangat cintakan negara dan mengeratkan lagi jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai jati diri dan berintegriti.

Saya menyarankan agar rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Pulau Pinang untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara di dalam diri kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Saya juga menyeru agar kita dapat bersama-sama menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni yang berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, bersikap toleransi antara satu sama lain dan mempunyai semangat patriotisme yang jitu supaya kita semua dapat hidup bersatu padu tanpa sebarang sengketa.

Tuan- Tuan dan Puan- puan hadirin yang dikasihi sekalian,

Syabas saya ucapkan kepada semua peserta Larian Merdeka Bayan Lepas 2019 kerana menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini.

Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan Larian Merdeka Bayan Lepas 2019 sempena Sambutan Bulan Kebangsaan tahun 2019.

Sekian, Terima Kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang