MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2019 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2019 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

16 SEPTEMBER 2019

SP Arena, Seberang Jaya

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff atas kesudiaan melapangkan masa untuk menghadiri Majlis Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan ke majlis ini adalah amat bermakna sebagai lambang manifestasi keutuhan dan perpaduan rakyat negeri ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya turut mengalu-alukan kehadiran para tetamu dan dif jemputan yang turut melapangkan masa untuk hadir pada majlis ini.

Kerajaan Negeri telah memulakan sambutan dan kehangatan Bulan Kebangsaan ini dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 8 Ogos 2019, diikuti dengan beberapa program lain yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang.

Acara kemuncak Bulan Kebangsaan sudah semestinya Perarakan Hari Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung dengan cukup meriah pada 31 Ogos 2019 yang lalu di Dewan Pemuda Merdeka, Butterworth. Seramai 113 kontinjen telah mengambil bahagian dalam acara perarakan ini melibatkan keseluruhan 6490 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pelajar dan pasukan beruniform.

Dan penutup Bulan Kebangsaan iaitu Sambutan Hari Malaysia seperti mana yang diraikan pada petang ini tidak kurang hebatnya dan mempunyai konteks dan signifikannya yang tersendiri. Pulau Pinang bersyukur kerana kita tidak mempunyai masalah untuk menukar lokasi penganjuran dan sebagainya atas faktor cuaca dan keadaan jerebu yang melanda negara kini kerana sememangnya sambutan ini lazim diadakan di dalam kawasan tertutup.  

Negeri Sarawak telah dipilih sebagai lokasi penganjuran Majlis Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan. Dan berikutan faktor cuaca yang tidak memuaskan dan keadaan jerebu di sesetengah kawasan di Sarawak, lokasi sambutan yang pada mulanya dirancang diadakan di Padang Merdeka, Kuching telah ditukar ke Stadium Perpaduan Kuching sebagai langkah awal terhadap sebarang kemungkinan ekoran masalah jerebu.

Melihat kepada keseluruhan sambutan dan penglibatan masyarakat, Kerajaan Negeri amat bangga dengan komitmen dan semangat kerjasama yang telah ditunjukkan oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan ini. Dengan pelbagai propaganda yang ingin melihat robohnya perpaduan negara, ternyata semangat patriotisme masih utuh dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Hakikat bahawa arus teknologi dalam zaman serba canggih ini sedikit sebanyak mempengaruhi corak dan gaya hidup kita, revolusi ini perlulah ditangani dengan bijak agar kesepaduan sosial dapat terus diperkukuhkan.

Dengan tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”, ia sudah cukup menggambarkan harapan kita semua untuk terus melihat aspek perpaduan sebagai teras utama ini terus diperkukuh dan diperkasakan demi sebuah negara yang bersih. Dalam masyarakat majmuk yang diwarnai dengan kepelbagaian budaya dan latar belakang, kita masih meraikan perbezaan dan menolak titik perselisihan yang boleh merosakkan hubungan yang terjalin ini.

Sebagaimana Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, institusi keluarga yang merupakan unit kecil dalam asas pembentukan masyarakat akan menjadi intipati serta teras utama bagi merealisasikan visi bersama ini.

Pulau Pinang baru sahaja melakar satu lagi sejarah baharu pagi tadi apabila status Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) secara rasminya telah dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Saya yakin pengistiharan ini merupakan berita gembira kepada seluruh warga Seberang Perai khususnya dan akan menjadi pemangkin kepada MBSP di bawah kepimpinan Datuk Bandar, Dato’ Sr. Rozali Mohamud mengatur langkah dan strategi ke arah matlamat menjadikan Seberang Perai sebagai bandar inklusif, hijau, kompetitif dan bandar yang dipacu teknologi, selaras dengan Visi Penang2030.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada pasukan yang bakal memenangi hadiah sempena Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan sebentar nanti. Semoga semangat patriotisme yang ada dalam diri kita ini terus disemarakkan dan bukan ketika menjelang sambutan Bulan Kebangsaan sahaja.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang