MAJLIS PERASMIAN PENUTUP FIESTA PULAU AMAN 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP FIESTA PULAU AMAN 2019 DI DEWAN PULAU AMAN PADA 19 OKTOBER 2019

Salam Sejahtera

Bersyukur kita kepada Tuhan kerana dapat berhimpun bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Perasmian Penutup Fiesta Pulau Aman Tahun 2019.

Saya berasa amat bertuah kerana dapat sekali lagi menjejak kaki ke Pulau Aman setelah pertama kali ke sini 37 tahun yang lalu sewaktu menjalankan program sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM). Ternyata sekali keunikan dan identiti Pulau Aman masih lagi dikekalkan sehingga hari ini.

Melihat kepada keunikan dan potensi pulau ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengiktiraf Pulau Aman sebagai salah satu daripada produk eko-pelancongan di negeri ini. Serta, bagi memperkenalkan Pulau Aman kepada pelancong tempatan dan luar negara, Kerajaan Negeri telah menganjurkan buat pertama kalinya Fiesta Pulau Aman pada tahun lalu dan menjadikannya sebagai acara tahunan. Lebih penting lagi, acara ini juga dimasukkan di dalam kalendar pelancongan Pulau Pinang yang menjadi rujukan utama para pelancong bagi merancang kunjungan mereka ke Pulau Pinang berdasarkan minat mereka terhadap acara yang akan dianjurkan.

Acara pada tahun ini adalah penganjuran bersama oleh pelbagai pihak yang merangkumi Pihak Rakan-rakan Strategic, Pihak Penajaan serta Pihak Penganjur Utama iaitu Pejabat Daerah & Tanah Seberang Perai Selatan dan Pejabat ADUN Bukit Tambun. Pelbagai acara diadakan bersempena program ini iaitu; Simulasi Operasi Menyelamat di Laut (APAM & Polis Marin), Jungle Trekking, Perkhemahan Fun Camp, Sukan Rakyat serta banyak lagi bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Menerusi visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Pulau Pinang 2030, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang diberi keutamaan kerana kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi popular di Malaysia. Sektor ini mempunyai chain effect yang tinggi, iaitu daripada sektor penginapan, pengangkutan, food & beverages (F&B), merchandising dan lain-lain. Justeru, Kerajaan Negeri yakin bahawa Pulau Aman juga patut menikmati limpahan ekonomi ini kerana mempunyai keunikan and tarikannya yang tersendiri, seperti makanan (udang lipan & mee udang), tempat bersejarah (Telaga Emas) dan lain-lain lagi.

 

Bagi menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2 Jun 2019 lalu telah melancarkan “Experience Penang Year (EPY) 2020” dengan tagline Kepelbagaian Asia. Melalui EPY 2020, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa. Selain itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen pemasaran yang juga disasarkan untuk pasaran domestik dan atarabangsa seiring dengan visi Pulau Pinang 2030 bagi menarik pelancong bernilai tinggi dan meningkatkan tempoh penginapan serta purata perbelanjaan pelancong.

Berdasarkan Kajian Pelancong Pulau Pinang 2018 oleh USM, pada masa ini, purata perbelanjaan setiap pelancong bagi setiap kali lawatan adalah RM934.88 dengan purata tempoh penginapan selama 4.86 malam. Ini merupakan data yang menarik dan perlu dijadikan asas kepada strategi peningkatkan perkhidmatan dalam produk pelancongan.

Hadirin sekalian,

Pada tahun 2018 sahaja, industri pelancongan Malaysia menikmati perkembangan positif dengan mencatat 25.9 juta kedatangan pelancong asing yang menyumbang 14.9 peratus kepada ekonomi negara dan bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang akan datang, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mensasarkan peningkatan kunjungan kepada 30 juta pelancong antarabangsa dan domestic. Berdasarkan trend terkini, pelancong amat berminat kepada sektor pelancongan eko dan budaya.

Ini merupakan sebuah kelebihan kepada kita kerana negara Malaysia adalah sememangnya kaya dengan alam semulajadi, budaya, warisan, pelbagai makanan istimewa, taman tema, pusat membeli-belah dan banyak lagi yang dapat menarik kunjungan pelancong. Oleh yang sedemikian, kita di negeri ini, khususnya yang di Pulau Aman, perlu mengambil kesempatan ini dengan merancakkan lagi aktiviti yang ditawarkan dan meningkatkan lagi kemudahan serta mutu produk pelancongan supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Saya dimaklumkan terdapat 11 homestay, 11 kampung satay, 1 chalet dan 1 bajet hotel di Pulau Aman ini yang saya yakin dapat menawarkan pengalaman dan perkhidmatan yang menarik kepada para tetamu.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya berharap pada tahun-tahun akan datang, Fiesta Pulau Aman akan terus mendapat sambutan hangat daripada pengunjung-pengunjung serta sokongan daripada semua pihak. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjemput semua pengunjung khasnya rakyat Negeri Pulau Pinang untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program Fiesta Pulau Aman 2019.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang