PROGRAM PENANAMAN POKOK

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM PENANAMAN POKOK

 

23 OKTOBER 2019

PENANG SCIENCE PARK-NORTH

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas kesudian untuk menjemput saya bagi bersama-sama dalam Program Penanaman Pokok di Penang Science Park- North pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, PDC meraikan sambutan ulang tahun yang ke-50 pada tahun ini dengan slogan ‘Spearheading Growth’. Pelbagai program telah diatur dan direncanakan sepanjang tahun ini oleh pihak pengurusan PDC bagi memeriahkan sambutan ini.

Pada bulan Ogos yang lepas satu program yang sama telah dijalankan di Persiaran Cassia Barat 3, Bandar Cassia di mana sebanyak 100 batang pokok telah ditanam pada program tersebut.

Dan pada hari ini bersempena program penanaman pokok di kawasan Penang Science Park- North, sebanyak 100 batang pokok yang terdiri daripada 50 pokok Tembusu (Fagraea fragrans) dan 50 pokok Penaga Laut (Calophyllum innophyllum) akan ditanam sebagai simbolik bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-50 PDC.

Secara keseluruhannya, 506 batang pokok teduhan akan ditanam di sepanjang jalan ini melibatkan pokok-pokok teduhan daripada spesies Calophyllum innophyllum (Penaga Laut)   sebanyak 81 batang, Cratoxyllum cochinchinense (Kayu Arang)  sebanyak 58 batang, Fagraea fragrans (Tembusu)   sebanyak 104 batang, Ormosia pinnata sebanyak 42 batang, Syzygium antisepticum (Gelam Tikus) sebanyak 24 batang, Samanea saman (Hujan-Hujan)  sebanyak 59 batang, Jacaranda obtusifolia   sebanyak 24 batang dan Wodyetia bifurcata (Foxtail Palm) sebanyak 114 batang.

Kos keseluruhan bagi kerja-kerja landskap di Road 1 & 3, Penang Science Park – North ini termasuklah kerja-kerja pengindahan bulatan, laluan pejalan kaki/basikal dan ‘entrance signage’ melibatkan peruntukan sebanyak RM936,398.00.

Kerja-kerja landskap ini telah pun bermula sejak 25 September 2019 yang lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Februari 2020. Jalan yang terlibat dengan pengindahan ini merupakan laluan baru yang menghubungkan Juru ke Bukit Tambun, dan seterusnya ke Batu Kawan. Jalan ini merupakan laluan alternatif di mana PDC telah membuka laluan di kawasan kejiranan yang berhampiran ini bagi menghubungkan laluan di kawasan perindustrian sekaligus telah membantu menjimatkan masa perjalanan para pengguna.

Saya difahamkan bahawa program hari ini merupakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk meningkatkan kualiti hidup dan menjadikan Penang Science Park sebuah kawasan yang hijau, bertepatan dengan misi dan visi Kerajaan Negeri bagi merealisasikan Penang2030 sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Tahniah dan syabas kepada PDC!

Akhir kata, semoga program pada hari ini dapat mencapai objektifnya dan seterusnya mewujudkan persekitaran semula jadi yang lebih hijau dan segar untuk negeri tercinta kita ini.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan PROGRAM PENANAMAN POKOK DI JALAN PENANG SCIENCE PARK- NORTH

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang