MAJLIS PERASMIAN PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG @BATU MAUNG

 

 

2 NOVEMBER 2019

PLAZA SOUTHBAY

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan kepada YB Dato’ Abdul Halim bin Haji Hussain dan jentera pentadbirannya yang telah memastikan Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang @Batu Maung pada petang ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Saya baru sahaja selesai menghadiri Pameran Sains Pulau Pinang (Penang International Science Fair 2019) di Arena SPICE yang mana sambutannya amat positif di kalangan pemain industri, para pelajar dan orang awam. Dan majlis pada hari ini sangat tepat pada masanya sebagai salah satu usaha dalam membantu Kerajaan Negeri menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0 yang penuh mencabar pada masa kini.

Sebagaimana semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mewujudkan Perpustakaan Digital. Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL 1) telah dilancarkan pada 1 Oktober 2016 manakala PDL 2 dengan kapasiti yang lebih besar telah dilancarkan pada 27 Januari 2019, dengan rekod pengunjung bagi kedua-dua perpustakaan ini menghampiri 240,000 pelawat dari dalam mahupun luar negeri ini sejak ia dilancarkan.

Sebagai sebuah negeri perindustrian dan bergantung kepada modal insan yang berbakat dan berkemahiran tinggi, tumpuan kepada pengkhususan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sangat diperlukan dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan dan teraju utama dalam pendidikan STEM ini.

Diilhamkan dengan menggunakan konsep dan inisiatif yang sama daripada projek yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri, maka Perpustakaan Digital Pulau Pinang @Batu Maung ini bakal menjadi evolusi perpustakaan digital di Daerah Barat Daya (DBD) dan mungkin akan dibangunkan di daerah-daerah lain di negeri ini.

Konsep perpustakaan ‘komuniti’ seperti ini mungkin idea baru kepada Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform dan rangkaian yang lebih luas ke setiap pelosok di negeri ini dengan kos pembinaan dan operasi yang minimum. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri akan terus kekal menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan pemain-pemain industri dengan konsep Public Private Professional Partnership (PPPP) demi manfaat bersama.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada syarikat-syarikat swasta seperti Intel, Inari, SNS dan TM yang tampil menyumbang dari segi idea, software dan hardware. Terima kasih juga kepada syarikat pemaju, Mah Sing yang telah menyediakan reka bentuk dalaman dan memberikan 3 lot kedai dengan sewaan secara percuma untuk tahun pertama dan dengan sewa minimum untuk tahun-tahun berikutnya, dan saya difahamkan hanya tempoh 4 bulan diperuntukkan untuk menyediakan lokasi perpustakaan ini.

Syabas dan tahniah kepada semua.

Saya percaya Perpustakaan Digital @Batu Maung ini dengan keluasan 5,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan konsep reka bentuk kontemporari, sambungan jalur lebar serta pelbagai kelengkapan yang canggih dan sebuah kafe yang akan dibuka tidak lama lagi mampu menjadi daya tarikan baru di sini. Saya berharap lebih banyak pembelajaran dan pengajaran seperti pengekodan, kelas matematik dan pelbagai program STEM lain dapat dijalankan.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Perpustakaan Digital @Batu Maung.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang