UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TAHUN 2020

10 JANUARI 2020

DEWAN BANDARAYA, PULAU PINANG

YB Dato Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar & Desa

YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato' Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang


Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Dato’ Ir. Addnan bin Mohd Razali

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ahli-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada 24 orang yang akan dilantik secara rasminya sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada pagi yang berbahagia ini.

Kesemua 24 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada 11 muka baharu dan 13 pelantikan semula ini telah melalui beberapa proses saringan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976, termasuklah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan tapisan keselamatan.

Suka untuk Kerajaan Negeri ingatkan bahawa jawatan yang dipegang bermula 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 ini turut dilengkapi dengan pakej tanggungjawab besar yang harus disempurnakan. Sesi ‘engagement’ bersama masyarakat dan digabungkan dengan nilai peribadi dan integriti yang tinggi adalah teras utama dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada rakyat.

Setiap Ahli Majlis mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri di kawasan pentadbiran masing-masing. Bagi memastikan amanah ini dapat disempurnakan dengan jayanya, aktiviti turun ke padang harus dijadikan rutin utama bagi melihat sendiri dan memahami keperluan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat, dan seterusnya menyelesaikannya dalam kadar yang segera.  

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan peringkat kerajaan yang paling dekat dengan rakyat. Segala keputusan yang diambil dan perkhidmatan yang diberikan akan membawa kesan secara langsung dan memberi impak kepada kehidupan pembayar cukai di kawasan pentadbiran MBPP. Pengurusan yang berwibawa sahaja tidak memadai untuk mengukur kejayaan MBPP, sebaliknya ia memerlukan penglibatan, komitmen serta sokongan bersepadu daripada semua kelompok organisasi dan komuniti.

Dengan urus tadbir berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) sebagai asas pentadbiran, MBPP telah berjaya memulihkan prestasi kewangan yang suatu ketika dahulu pernah berada di tahap yang paling merisaukan. Kejayaan MBPP dalam mengekalkan prestasi kewangan yang baik membolehkan perkhidmatan serta pelaksanaan projek dan program pembangunan bagi memenuhi kehendak rakyat dan pelanggan dapat dilaksanakan. Meskipun belanjawan defisit dianggarkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM96.41 juta, tetapi MBPP terus optimis dan komited terutama dalam membiayai beberapa projek menaiktaraf infrastruktur awam.

Peruntukan kewangan sebanyak RM465.96 juta telah disediakan pada tahun 2020 bagi mengemudi rancangan pembangunaan Kerajaan Negeri  yang lestari, seiring Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Cabaran dan pengadaptasian jaringan digital dalam Revolusi Industri 4.0 masa kini menuntut kerja keras yang lebih daripada semua pembuat dasar.

Dalam merealisasikan bandaraya mampan (liveable city) yang diimpikan, tumpuan kepada kerja-kerja penyediaan kemudahan awam harus diberi keutamaan. Pelbagai projek pembangunan telah dirancang dan dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM27.96 juta. Di antara projek yang dicadangkan untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat termasuklah pengubahsuaian dan menaiktaraf Pasar Lebuh Campbell dan Pasar Batu Lanchang, pembinaan Pasar Awam/Kompleks Makanan Teluk Kumbar, pemasangan Bumbung Kanopi di sepanjang Jalan Chrowrasta, pembinaan Pusat Penyimpanan dan Pengedaran Ayam dan sebagainya 

Di samping itu, program menaiktaraf tandas awam (KOMTAR Tingkat 11-17), tandas premis kediaman Taman Free School (Blok A-K) dan balai rakyat serta ruang pejabat MBPP (termasuk pembinaan bangunan pejabat 5 tingkat di Jalan Timah - Pejabat Jabatan Penguatkuasa) untuk keselesaan pelanggan dalaman dan luaran (orang awam) akan diteruskan lagi dengan peruntukan kewangan sebanyak RM14.48 juta. MBPP juga turut memperuntukkan sebanyak RM73.73 juta bagi tahun 2019 dan RM71.15 juta bagi tahun 2020 untuk kedua-dua pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Dengan segala komitmen dan usaha keras yang ditonjolkan, adalah tidak mustahil untuk MBPP mencipta kejayaan yang lebih unggul dan menjadi salah sebuah bandaraya yang terbersih di Malaysia dan rantau ASEAN.

Kerajaan Negeri menyanjung tinggi kerja-kerja pembersihan awam yang sebahagian besarnya adalah diuruskan secara dalaman oleh kakitangan MBPP seramai 832 orang sebagai Green Crusader bagi memenuhi hasrat menjaga kebajikan dan kebersihan rakyat di kawasan pentadbiran ini.  Sungguhpun kos perbelanjaan untuk aspek kebersihan adalah sebanyak 33.56% berbanding dengan lain-lain aspek, ia adalah satu inisiatif berdasarkan kepada dedikasi rakyat tempatan yang mempunyai kesanggupan untuk melaksanakan cabaran tugas menjaga kebersihan Bandaraya. Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada 832 orang di bawah Green Crusader yang telah menunjukkan daya tahan (resilient) yang sebenarnya dalam menghadapi cabaran tugas yang amat mencabar terutama ketika berdepan dengan risiko bencana.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) diukur berdasarkan kepada projek-projek yang diluluskan oleh MBPP mengikut Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta telah mempunyai Notis Mula Kerja, yang mana ia menggambarkan nilai sebenar nilai pembangunan di bahagian Pulau. GDV di bahagian Pulau adalah berjumlah RM4,422,043,676 bagi tahun 2018 dan RM  RM2,567,999,520 bagi tahun 2019. Jumlah ini dijangka akan berkekalan bagi keseluruhan tahun 2020.

Dalam usaha untuk merealisasikan persekitaran pintar (smart environment), saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meletakkan asas untuk memperkukuhkan hala tuju bagi mencapai kadar kitar semula sebanyak 50% dalam jangka masa sehingga 2030, berbanding 42.9% pada masa kini. Saya juga dimaklumkan bahawa MBPP turut melaksanakan program-program penghijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja-kerja landskap, menaiktaraf taman dan kawasan permainan kanak-kanak serta penyelenggaraan pokok teduhan. Bagi tujuan penghijauan dan keceriaan bandar, peruntukan sebanyak RM9.1 juta telah disediakan.

Bagi memperkasa mobiliti pintar, MBPP akan meneruskan projek pembinaan dan menaiktaraf jalan termasuk menambahbaik saliran serta menaiktaraf laluan pejalan kaki seperti Projek Pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong serta membina sebahagian jalan dari Jalan Thean Teik ke Jalan Kg Pisang, menaiktaraf dan menyelenggara laluan pejalan kaki di mana RM37.75 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Sebagaimana yang semua sedia maklum, penggunaan basikal telah menjadi aktiviti harian yang popular di kalangan rakyat di negeri ini. Selaras dengan seruan Cleaner Greener Penang, MBPP telah berusaha untuk menggalakkan penggunaan basikal yang mesra alam. Jaringan sedia ada kini telah diperluaskan, dan MBPP kini dalam perancangan untuk melaksanakan Projek Pembinaan Laluan Basikal di kawasan perindustrian FIZ Bayan Lepas dan Tanjung Tokong dengan kos sebanyak RM3.90 juta.

Penyelenggaraan jalan, parit, bahu jalan dan laluan pejalan kaki merupakan satu perkhidmatan yang turut mendapat perhatian serius oleh MBPP. Peruntukan sebanyak RM0.15 juta telah disediakan untuk tujuan menaiktaraf parit di kawasan George Town serta RM1.03 juta untuk menaiktaraf bahu jalan dan laluan pejalan kaki mengikut konsep reka bentuk sejagat. MBPP juga turut merancang untuk menaiktaraf lampu jalan awam di seluruh bahagian pulau. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM8.50 juta telah disediakan untuk penyelenggaraan lampu jalan awam.

MBPP juga menyediakan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk menjalankan projek tebatan banjir seperti menaiktaraf sistem saliran di Lencongan Sungai Jelutong dan Jalan P Ramlee.

Bagi memantau kegiatan jenayah dan masalah trafik serta pelanggaran meletak kederaan dan pembuangan sampah haram serta kerja tanah, sebanyak 935 buah kamera CCTV yang boleh dipantau dari pusat kawalan MBPP di KOMTAR, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut telah dipasang. Pada tahun 2020, peruntukan sebanyak RM11.37 juta akan disediakan oleh MBPP bagi pemasangan dan penyelenggaraan kamera-kamera CCTV. Sebanyak 100 buah kamera CCTV tambahan akan dipasang pada tahun 2020.

Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan, MBPP telah memperolehi dana tambahan sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk projek-projek inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 NKRA Bandar Selamat - Pemutihan Kawasan Black Spot.

Bagi memastikan PBT sentiasa berdampingan dengan pembayar cukai, dialog dan forum yang melibatkan pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) hendaklah diadakan lebih kerap dan meluas dengan objektif memberi maklumat dan pengetahuan mengenai perkhidmatan yang disediakan di samping menggembleng idea dan pandangan rakyat ke arah memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Ini juga dapat meningkatkan ketelusan dan integriti perkhidmatan, selain memperolehi maklum balas daripada pembayar cukai.

Dengan Bandar Raya George Town diikiltiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, George Town dan Pulau Pinang telah menjadi satu tarikan bagi destinasi pelancongan warisan. George Town dan Pulau Pinang berupaya mempamerkan kualiti hidup yang tinggi dan mempunyai impak yang positif. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan MBPP dalam mengekalkan status George Town sebagai bandaraya warisan yang lestari dan hijau. Kerajaan Negeri dan MBPP bersama agensi-agensi lain yang terlibat adalah berperanan melindungi dan memelihara kepelbagaian warisan yang terdapat di negeri ini. Peruntukan kewangan sebanyak RM5.66 juta disediakan untuk projek pemuliharaan dan keceriaan kawasan warisan.

Kesedaran dan rasa bangga terhadap George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO juga perlu dipertingkatkan. Langkah-langkah pengawalan seperti pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menangani isu warisan berkaitan pembangunan, infrastruktur, aktiviti dan sebagainya dalam Tapak Warisan dan seluruh kawasan pulau perlu diteruskan melalui program, kempen, seminar, bengkel dan sesi khidmat nasihat yang diadakan dari semasa ke semasa. Penglibatan MBPP bersama komuniti setempat juga mampu menjana kerjasama di antara kerajaan bersama penduduk bagi mencapai aspirasi dan mewujudkan bandar raya terancang yang mampan untuk  didiami oleh generasi kini dan masa depan.

Dalam kita memperkukuhkan rangkaian kerjasama strategik dengan negara-negara luar dalam usaha menjadi Bandaraya Pintar, Mampan dan Sejahtera, salah satu perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan selaras dengan kehendak arus pembangunan industri semasa. Sektor pelancongan hanya dapat berkembang jika adanya daya tarikan dan kemudahan awam diselenggara dengan baik. Dalam hai ini, penekanan juga harus diberikan kepada aspek peningkatan tahap kebersihan, keindahan serta penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam di bawah tanggungjawab MBPP.

Segala agenda ini akan hanya dapat dilaksanakan dengan jayanya jika semua pihak melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Semangat berpasukan perlu terus kekal di antara pasukan MBPP dan Ahli Majlis untuk menghasilkan

kecemerlangan ke arah mewujudkan sebuah bandar raya yang bersih, ceria dan indah demi kesejahteraan dan keselesaan semua penduduk di kawasan pentadbiran ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang