MAJLIS PELANCARAN WARDEN LALU LINTAS JABATAN PENGUATKUASAAN

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN WARDEN LALU LINTAS JABATAN PENGUATKUASAAN

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)
16 JANUARI 2020

Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Dihormati DCP Datuk Roslee bin Chik

Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Addnan bin Mohd. Razali

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Dihormati ACP Soffian bin Santong

Ketua Polis Daerah Timur Laut

Encik Ahmad Azrizal bin Tahir

Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP)

Encik Mohd Azizan bin Md. Desa

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ahli-ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan


Anggota-anggota Penguat Kuasa MBPP

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang telah memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu sebagai usaha tambahan untuk memastikan aliran lalu lintas di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan lancar dan terkawal.

Bersempena dengan Majlis Pelancaran Warden Lalu Lintas Jabatan Penguatkuasaan pada pagi ini, seramai 70 anggota dan seorang pegawai yang telah dipilih ini akan membantu memperkasakan penguatkuasaan ke atas kesalahan lalu lintas di seluruh kawasan pentadbiran MBPP. Kesemua warden ini secara langsung telah membantu dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengatasi masalah trafik di negeri ini.

Pelantikan ini adalah sah di sisi undang-undang, sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 3 (4B) Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) yang membenarkan Datuk Bandar sesuatu Majlis Bandaraya untuk melantik sekian bilangan orang dalam perkhidmatan Majlis Bandaraya untuk menjadi warden lalu lintas.

Kerajaan Negeri menyokong penuh hasrat MBPP yang telah mengambil pendekatan yang sewajarnya ini. Sememangnya diakui keadaan trafik di kebanyakan kawasan tumpuan dan sekitarnya sudah banyak berubah dan menjadi bertambah rumit dengan sikap pemandu kenderaan yang sewenangnya meletakkan kenderaan di bahu jalan tanpa memikirkan impaknya kepada pengguna yang lain.

Seiring dengan pembangunan dan kemajuan infrastruktur, pertambahan jumlah kenderaan saban hari memaksa perancangan yang lebih terperinci dan teliti dilaksanakan. Dengan itu, ianya jelas bahawa kawalan dan penguatkuasaan adalah tepat pada masanya dan relevan bagi memastikan aliran lalu lintas berada dalam keadaan terkawal dan memuaskan.

Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan penyelesaian pelan jangka panjang kepada segala permasalahan ini. Bagi tujuan tersebut, projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akan terus direncana dan direalisasikan bagi memastikan sistem pengangkutan yang moden, komprehensif, cekap dan bersepadu. Jaringan pelbagai sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), monorel, transit aliran bas (BRT), trem, teksi, e-hailing, feri dan teksi diharap mampu mengubah landskap pengangkutan sedia ada sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas yang saban hari membelenggu rakyat dan pelancong yang datang ke negeri ini.

Oleh itu, saya berharap kesemua warden yang akan memulakan tugas secara rasminya pada hari ini mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sempurna, profesional dan penuh integriti. Aspek keselamatan perlu diberikan perhatian dan keutamaan agar penguatkuasaan yang diambil ini menepati ekspektasi rakyat secara keseluruhannya. Akan ada masanya kritikan dan tohmahan akan dilemparkan, teruskan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan dan SOP yang ditetapkan berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).  

Kerajaan Negeri sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang bukan suatu tugas yang mudah. Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. ‘Public engagement’ perlu diperbanyakkan agar masyarakat dapat memahami dan lebih berpengetahuan terhadap inisitif yang diperkenalkan.

Dengan kata-kata ini, saya dengan ini melancarkan Warden Lalu Lintas Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang