SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BAHARU TAHUN 2020

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BAHARU TAHUN 2020

17hb Jan 2020

SJKC MAK MANDIN

 

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan penghargaan ke atas kehadiran para hadirin kerana dapat meluangkan masa untuk datang ke Majlis Pelancaran Program Baharu bagi tahun 2020.

SJK(C) Mak Mandin merupakan sekolah Transformasi yang memenuhi keperluan pendidikan moden mengikut peredaran zaman di mana ia memainkan peranan yang penting dalam memantapkan sistem pendidikan negara demi mencapai Visi Penang 2030 dan mengharungi cabaran Revolusi Industri 4.0.

SJKC Mak Mandin juga merupakan sekolah pertama di Malaysia Utara yang menubuhkan STEM Lab tiga tahun yang lalu dan baru-baru ini juga mengambil initiatif dengan mengadakan program Web Cam dengan pelajar Korea. Selain itu, pelajar-pelajar juga digalakkan untuk melakukan kerja rumah masing-masing secara online.

Pada pagi yang mulia ini, saya difahamkan bahawa empat(4) program yang berteraskan pendidikan moden bakal dilancarkan hari ini. Salah satu daripadanya ialah, Program Mata Smart Campus Mobile App SJK(C) Mak Mandin yang merupakan mesin pengimbas wajah yang direka untuk merekodkan kedatangan pelajar dan guru secara “live” bagi mengutamakan keselamatan pelajar dan secara langsung menyampaikan notifikasi dari sekolah kepada waris-waris pelajar. 

Program kedua iaitu Makmal Sains Artificial Intelligence (AI) berteknologi tinggi turut ditubuhkan di mana Pelaksanaan Kursus AI akan diadakan untuk memberi peluang kepada generasi muda kita untuk memahami dan menerokai pendekatan AI dan melangkah ke dunia berteknologi moden. Ini merupakan persediaan kepada generasi muda kita ke arah Revolusi Industri 4.0 yang melibatkan teknologi automasi untuk kekal berdaya saing.

Program seterusnya yang akan dilancarkan ialah Sistem Akuaponik Berteknologi Baru yang menggunakan aplikasi untuk mengawasi tahap pH dan pengaliran air.  Sistem ini akan membekal makanan 4 kali sehari secara automatik dan sekiranya bekalan elektrik terputus, pihak bertugas akan menerima notifikasi melalui aplikasi dalam telefon bimbit. Ini akan memastikan sistem ini dapat berfungsi dengan baik pada setiap masa. Maka, murid-murid juga akan terdedah kepada teknologi pertanian yang baru.

Program terakhir merupakan program yang yang memberi penekanan dari segi kesihatan pelajar iaitu Program Hidangan Berkhasiat yang dijalankan di sekolah ini. SJKC Mak Mandin juga merupakan sekolah yang pertama untuk melaksanakan program ini di bawah seliaan Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Utara (PPDSPU). Lembaga Pengurus Sekolah akan mengikut menu makanan berkhasiat dan berkualiti tinggi ini di bawah latihan dan bimbingan Pegawai Kesihatan PPDSPU supaya kesihatan murid-murid terjamin dan BMl murid-murid dapat memenuhi piawaian.

Program-program seperti di atas merupakan program ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti, mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Program sebegini sememangnya merupakan inisiatif yang baik demi melahirkan modal insan yang berkualiti dan berbakat serta berkemahiran tinggi melalui pendidikan pengkhususan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam usaha untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan dan teraju utama dalam pendidikan STEM ini.

Terutamanya dalam usaha untuk memupuk, mendedahkan dan menggalakkan para pelajar dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang tentang kepentingan sains dan teknologi bagi menghadapi cabaran revolusi industri 4.0.

Menyedari akan tanggungjawab sosial ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaburan sejumlah RM68 juta bagi memperkenal dan mempromosikan pendidikan STEM melalui penubuhan beberapa organisasi STEM seperti Penang Science Cluster (PSC), Tech Dome Penang (TDP), Penang Skills Development Centre (PSDC), Penang Math Platform dan Penang Digital Library (PDL) sebagai persediaan awal kepada anak-anak di negeri ini.

Akhir kata, semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan jurang yang mungkin wujud di kalangan para pelajar di bahagian pulau dan seberang perai dalam aspek pendedahan awal pendidikan STEM ini dapat dikurangkan.

Sekian terima kasih dan semoga maju.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang