SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN PENGUSAHA BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 1/2020 PADA 18 JANUARI 2020

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN PENGUSAHA BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 1/2020 PADA 18 JANUARI 2020

Yang Berhormat Dato' Ir. Hj Zakiyuddin Bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Prof P.Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Dato’ Abdul Razak Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Ahli-ahli Majlis MBPP dan MBSP

Ketua-ketua Jabatan

Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Pulau Pinang

Rakan-rakan media

Dan yang diraikan

Pemandu-pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam Harapan kepada semua.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Seksyen Pengangkutan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana telah bertungkus lumus dalam menganjurkan dan menguruskan majlis pada pagi yang berbahagia ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemandu-pemandu teksi di Pulau Pinang dan pengusaha-pengusaha bas sekolah Pulau Pinang yang telah hadir pada hari ini untuk menerima insentif daripada pihak Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri sememangnya mengiktiraf sumbangan oleh pemandu-pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang telah memberikan khidmat yang terbaik di negeri ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri telah mula menyalurkan sumbangan insentif ini sejak tahun 2013 lagi. Tahun ini merupakan tahun ke 8 sumbangan ini diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di negeri Pulau Pinang. Sehingga tahun 2019, jumlah keseluruhan insentif yang telah diberikan kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah adalah berjumlah RM9.096 juta.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang sah berdaftar dan aktif menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang. Terima kasih atas kerjasama yang baik selama ini.

Pada sesi pemberian Bilangan 1 tahun 2020 ini, semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300.00 setiap seorang. Jumlah besar kesemua penerima pada hari ini adalah seramai 2571 orang.

Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 2061 orang. Seramai 1428 orang pemandu di bahagian Pulau dan 633 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini.

Manakala bagi pengusaha bas sekolah, seramai 510 pengusaha bas sekolah dengan permit yang sah layak untuk insentif kali ini dengan 248 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 262 operator bas di Seberang Perai.

Jumlah keseluruhan insentif yang diberi  kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah pada kali ini ialah sebanyak RM771,300.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Tujuh Puluh Satu Ribu Tiga Ratus Sahaja).

Kerajaan Negeri berharap sumbangan insentif ini dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh pemandu teksi dan pengusaha bas di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga berharap agar semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pengguna. Sebagai duta kecil kepada Kerajaan Negeri diharapkan semua pemandu teksi dapat menjaga imej baik Kerajaan Negeri terutama ketika membawa pelancong dari dalam dan luar negera. Bagi pengusaha bas sekolah pula, berilah perkhidmatan yang terbaik kepada semua murid-murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas. Pandulah dengan cermat dan sentiasa menjaga keselamatan di jalan raya.

Sedikit maklumat berkaitan perlindungan daripada PERKESO bagi semua pemandu teksi dan bas sekolah. PERKESO telah memulakan perlindungan kepada semua pemandu teksi pada bulan Julai 2017 manakala untuk pemandu bas sekolah ia bermula pada bulan Februari 2019. Perlindungan ini sangat berguna kepada pemandu itu sendiri kerana ianya melindungi pemandu yang sedang bertugas. Sekiranya apa-apa terjadi ke atas pemandu, pemandu akan dilindungi dari segi kewangan dan kebajikan. Saya menyeru agar semua pemandu teksi dan bas sekolah yang masih belum mencarum agar segera mencarum untuk kebajikan diri sendiri dan keluarga.

Saya juga berharap insentif yang diberi hari ini dapat digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah dalam urusan seharian. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tuan-tuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri. Terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis ini.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua penganut Cina.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang