SEMPENA PROGRAM CSR SENTUHAN KASIH PETRONAS SEMPENA TAHUN BARU CINA 2020

 

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENAPROGRAM CSR SENTUHAN KASIH PETRONAS

SEMPENA TAHUN BARU CINA 2020

 

20 JANUARI 2020

KOMPLEKS PENYAYANG

Yang Berusaha En Zukifli Othman

Pengurus Kanan, Pengurusan Pihak Berkepentingan, Strategi dan Penglibatan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS

Wakil – wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang

Sukarelawan PETRONAS

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS yang telah berbesar hati memilih Pulau Pinang sebagai lokasi Program CSR Sentuhan Kasih – Tahun Baru Cina pada pagi yang berbahagia ini.

Saya difahamkan ini adalah tahun kedua PETRONAS bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Pulau Pinang bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Dan pada hari ini, seramai 100 buah keluarga daripada keluarga isi rumah berpendapatan rendah B40 telah dipilih untuk menerima sumbangan dalam bentuk keperluan asas, hamper, limau ‘mandarin’ serta angpow. Pulau Pinang merupakan lokasi ke-6 selepas KL/Selangor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan dan selepas ini ada sembilan (9) buah negeri lagi akan dikunjungi oleh PETRONAS.

Sejak tahun 2005, PETRONAS telah menganjurkan Program Sentuhan Kasih dan usaha ini telah diteruskan oleh Yayasan PETRONAS untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan terutama menjelang musim perayaan. Tahniah dan syabas kepada Yayasan PETRONAS kerana telah berjaya menyambung tradisi untuk melanjutkan usaha konsisten menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan masyarakat dalam pelbagai bentuk program yang telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan pada masa akan datang.

Sebagai sebuah syarikat multinasional negara yang kaya dengan khazanah minyak dan gas di Malaysia, usaha PETRONAS yang sentiasa berkongsi rezeki telah memberikan kesan yang meluas dan mendalam kepada seluruh komuniti di Malaysia secara keseluruhannya.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita menghargai dan sentiasa mengalu-alukan usaha dan inisiatif murni daripada semua pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan korporat yang komited terutama dalam pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti yang mampan dan berkesan, dengan tumpuan adalah kepada kumpulan sasaran yang terdiri daripada keluarga B40.  

Atas dasar itu jugalah, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan institusi keluarga dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Kita percaya keluarga yang kukuh dapat mencorak dan mewujudkan sistem sokongan masyakarakt yang lebih kukuh. Perbezaan yang wujud seharusnya tidak menjadi penghalang tetapi menjadi titik persamaan yang perlu diraikan.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada PETRONAS dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif murni ini. Semoga program sedemikian akan diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak manfaat dapat diberikan kepada golongan yang disasarkan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang