UCAPAN YAB. KETUA MENTERI DI MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN THAIPUSAM TAHUN 2020

UCAPAN YAB. KETUA MENTERI DI MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN THAIPUSAM TAHUN 2020

8 Februari 2019, Perkarangan Perkarangan Kuil Waterfall Hilltop

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Subramaniam Ramalinggam

Pengerusi Jawatankuasa Kuil Arulmigu Balathandayuthabani Devasthanam

En. Ramachandran Muthiah

Ketua Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang

En. Surentharan Ramadas

Setiausaha Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang

 

Pesuruhjaya-Pesurhjaya Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, Dato'-Dato', Rakan-Rakan Media, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian

Selamat petang, salam sejahtera dan Vanakam. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur terutamanya kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam atau lebih dikenali sebagai Waterfall Hilltop Temple dan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Queen Street ke atas segala persiapan yang telah dilaksanakan bagi menjayakan perayaan Thaipusam di Pulau Pinang pada tahun ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan program ‘High-Tea’ bersempena perayaan Thaipusam pada tahun ini.

Waterfall Hilltop Temple sememangnya sangat terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia sebagai salah satu destinasi tumpuan sambutan perayaan Thaipusam. Saya difahamkan juga bahawa kuil ini merupakan Kuil Dewa Murugan yang terbesar di luar India. Pada tahun ini, dijangka hampir 1,000,000 penganut dan pelancong menyertai sambutan ini di Pulau Pinang memandangkan perayaan pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu dan kemeriahannya dirancakkan lagi dengan sambutan perayaan Chap Goh Mei yang jatuh pada hari yang sama.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha untuk memajukan negeri ini sebagai sebuah bandar pintar dalam jangka masa yang terdekat. Pelan Tindakan Penang2030 merupakan rancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup, ekonomi, penyertaan awam serta pembangunan yang seimbang. Pelan tindakan ini bersifat holistik dan inklusif untuk semua masyarakat serta bertujuan untuk meningkatkan tahap kebahagiaan umum penduduk Pulau Pinang. Melalui Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri komited untuk terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan wawasan pembangunan masa depan Pulau Pinang menjelang tahun 2030 nanti menjadi agenda terbaik untuk setiap lapisan masyarakat di negeri ini.

Program-program iSejahtera juga akan diteruskan dan sebanyak RM50.0 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menaikkan bayaran penghargaan warga emas dan bantuan OKU daripada RM130.00 kepada RM150.00. Kenaikan ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada 178,000 warga emas dan hampir 10,000 penerima untuk kategori OKU.

Dari aspek penyediaan perumahan pula, sebanyak 180,000-unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah disasarkan menjelang tahun 2030. Bagi kes-kes kegagalan mendapatkan pinjaman bank pula, Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) agar proses pinjaman perumahan dapat dipermudahkan agar visi ‘1 Keluarga, 1 Rumah’ dapat dicapai. Kerajaan Negeri juga sedang meningkatkan usaha pemilikan RMM secara sewa beli di mana sebanyak 1,000-unit akan dilaksanakan sebagai permulaan.

Segala perincian, perancangan serta pelaksanaan ini dapat dilaksanakan apabila semua golongan rakyat memikul tanggungjawab dengan penuh rasa tanggungjawab berasaskan prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi. Kerajaan Negeri percaya dengan semangat iltizam dan kekuatan yang ditunjukkan, Pulau Pinang dapat mencipta lebih banyak kejayaan demi masa depan yang lebih cemerlang, untuk generasi akan datang.

Di samping usaha perpaduan, umat Hindu di Pulau Pinang dan di negara ini harus berganding bahu dengan kaum-kaum lain dan meningkatkan usaha bagi pembangunan dan kemajuan negeri dan negara kita. Kaum India di Pulau Pinang harus melibatkan diri dalam merealisasikan Visi Penang2030 ini. Visi Kerajaan Negeri ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup hidup rakyat serta meningkatkan penyertaan rakyat dan kemudahan awam yang turut membawa kepada pembangunan institusi kekeluargaan dan aspek negeri hijau dan pintar. Visi Penang2030 merangkumi semua lapisan masyarakat dan juga adalah sejajar dengan Visi Kemakmuran Bersama 2030 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun lepas.    

Saya juga bangga bahawa Kerajaan Negeri telah memberi perhatian yang sewajarnya kepada keperluan isu-isu masyarakat India di Pulau Pinang. Sebagai contohnya, Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang telah berjaya memantapkan lagi kemudahan-kemudahan pembelajaran bukan sahaja di Sekolah-Sekolah Tamil di Negeri Pulau Pinang malah juga di tadika-tadika yang wujud di Sekolah-Sekolah Tamil ini.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YB. Prof. Dr. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II bagi mewakili masyarakat India dan sentiasa menasihati Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India di Pulau Pinang.

Selain itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) di bawah pimpinan YB. Prof. Dr. P. Ramasamy atas komitmen yang telah diberikan untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini bagi melaksanakan pelbagai projek khas dari segala aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Sejak 2008, PHEB telah memainkan peranannya yang tersendiri dalam memberi bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil pula, peruntukan telah dinaikkan dari RM100,000.00 kepada RM150,000.00; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000.00 kepada RM150,000.00) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000.00 kepada RM90,000.00).

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM200,000 kepada Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam atau lebih dikenali sebagai Waterfall Hilltop Temple. Semoga sumbangan ini dapat membantu dalam kelancaran perayaan Thaipusam 2020.

Selamat Menyambut Hari Thaipusam!

Terima kasih. Nandri. Vanakam.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang