KENYATAAN MEDIA OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA 20 MAC 2020 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan. Saya berharap anda berada dalam keadaan sihat dan selamat di rumah masing-masing. Terima kasih di atas kerjasama dalam menjayakan usaha mengawal perebakan wabak COVID-19.

Pada pagi ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada warga penjawat awam negeri Pulau Pinang di atas sumbangan mereka dalam usaha melawan COVID-19. Dari kakitangan pembersihan sehinggalah penguatkuasa serta barisan pegawai yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan-perkhidmatan penting, mereka tidak berhenti bekerja demi berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang. Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke pejabat, tugas terus dilaksanakan dari rumah. Malah, kepada pasukan yang bertugas di Bilik Gerakan Special Task Force COVID-19 Kerajaan Negeri dalam tempoh 24 jam, terima kasih diucapkan.

Sebagai penghargaan dan demi membantu golongan penjawat awam Negeri Pulau Pinang berhadapan dengan tempoh kesulitan ini, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membuat bayaran gaji bagi bulan Mac pada tempoh lebih awal iaitu pada hari ini, 20 haribulan Mac 2020.

Petang kelmarin, saya telah menerima jemputan untuk menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada jam 3 petang hari ini di Putrajaya. Justeru, saya akan terus bertolak ke sana selepas ini.


Mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang, saya akan membangkitkan EMPAT (4) perkara di mesyuarat berkaitan:

PERTAMA, saya meminta agar Kerajaan Pusat melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat berhubung operasi kilang-kilang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini kerana, industri pembuatan merupakan antara industri utama bagi negeri Pulau Pinang, tanpa perincian lengkap, ramai yang masih keliru dengan panduan penutupan serta pengecualian penutupan kilang.

KEDUA, saya akan memohon Kerajaan Pusat memastikan segala peralatan perubatan adalah mencukupi untuk hospital-hospital serta klinik-klinik kerajaan di Pulau Pinang.

KETIGA, saya akan membangkitkan isu kesukaran untuk mendapatkan bekalan pelitup muka (face mask), termometer, sanitizer dan lain-lain kelengkapan keselamatan diperlukan sama ada oleh pengamal perubatan swasta mahupun orang awam.

Bagi pelitup muka, saya akan mengesyorkan supaya Kerajaan Pusat mengenakan kuota eksport serta subsidi kepada pengilang tempatan agar pengeluaran boleh memenuhi keperluan domestik.

Serentak itu, saya juga akan memohon supaya Kerajaan Pusat membekalkan stok barangan tersebut kepada semua Kerajaan Negeri seluruh negara untuk diagihkan kepada sektor-sektor yang memerlukan.

KEEMPAT, saya akan mendapatkan status permohonan Kerajaan Negeri berhubung peruntukan RM30 juta daripada pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini.

Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan antara kerajaan negeri pertama yang menyahut usaha Kerajaan Pusat untuk bekerjasama dalam menghadapi wabak COVID-19. Tiada tempat bagi istilah perbezaan politik pada waktu genting ini, Pulau Pinang akan mengetepikan segala persaingan politik dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha melawan COVID-19 bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia dan Pulau Pinang yang saya kasihi khususnya.

Doakan perjalanan saya ke ibu kota selepas ini.

Penang Lawan COVID-19!!


CHOW KON YEOW

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang