LAWATAN YAB KETUA MENTERI KE HELPDESK PENANG CONTACT TRACER (PGCARE)

LAWATAN YAB KETUA MENTERI KE

HELPDESK PENANG CONTACT TRACER (PGCARE), PENANG DIGITAL LIBRARY 2

PADA 23 MEI 2020, SABTU; JAM 12.30 TENGAH HARI

__________________________________________________

 

YB. Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar & Desa

YB. Sanisvara Nethaji Rayer A/L Rajaji

Ahli Parlimen Jelutong

YB. Dato' Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dato' Azhar bin Haji Arshad

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

YBhg. Dato' Sr. Hj. Rozali bin Hj. Mohamud

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai

YBhg. Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan Bharathi A/P Suppiah

Timbalan Pengurus Besar CMI

Yang Berusaha Encik Praburaajan A/L Selvarajan

Ketua Pegawai Eksekutif Madison Technologies

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Selamat tengahari dan Selamat sejahtera kepada semua.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang menyertai untuk lawatan ke Helpdesk Penang Contact Tracer (PGCare) di Penang Digital Library (PDL).

Sehingga 22 Mei 2020, jumlah kes positif COVID-19 di keseluruhan Malaysia ialah sebanyak 7,059 kes. Manakala, sebanyak 5,796 kes telah sembuh sepenuhnya dan sebanyak 114 kes kematian telah direkodkan (sumber data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM pada 22 Mei 2020). Manakala Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 121 kes positif COVID-19 dan sebanyak 120 kes telah pulih dengan satu (1) kematian.

Negeri Pulau Pinang telah diumumkan sebagai Negeri zon Hijau pada 5 Mei 2020 dengan tiada sebarang kes COVID-19 bagi tempoh 14 hari secara berturut-turut. Walau bagaimanapun, trend penularan wabak COVID-19 adalah tidak menentu dan langkah untuk memutuskan rantaian COVID-19 perlu disediakan dengan segera bagi mencegah penularan wabak ini melalui aplikasi pintar untuk mengesan pergerakan penduduk.

Untuk makluman semua, Aplikasi PGCare ini merupakan projek usaha sama PPP iaitu Public, Private, Partnership antara Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan Syarikat Madison Technologies yang telah menyediakan platform untuk PGCare secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Kerajaan Negeri. Projek ini juga disokong oleh Maxis Malaysia.

Di pihak Kerajaan Negeri, pangkalan data adalah diuruskan oleh CMI. Umumnya, maklumat tersebut hanya akan diakses sekiranya terdapat permintaan daripada KKM untuk tujuan pengesanan kontak ataupun contact tracing bagi wabak COVID-19. Malah, pangkalan data maklumat hanya akan disimpan untuk 30 hari sahaja dan bakal dilupus selaras dengan saranan dan persetujuan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Manakala daripada segi bantuan teknikal dan pertanyaan untuk platform PGCare, Helpdesk PGCare telah diwujudkan dan berpusat di Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2. PDL dipilih sebagai lokasi bagi Helpdesk kerana PDL mempunyai kemudahan Internet yang pantas dan stabil, perkakasan komputer yang mencukupi dan mengambil kesempatan dengan penutupan PDL untuk tempoh PKP supaya boleh mengoptimumkan penggunaannya. Segala pertanyaan dan bantuan teknikal akan diuruskan oleh kakitangan PDL juga turut dibantu oleh Madison Technologies secara atas talian dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan juga melalui talian telefon Helpdesk PGCare 04-2951521 dan 04-2951527.

Sehingga 22 Mei 2020 sebanyak 9,335 pendaftaran perniagaan dan 207,158 pendaftaran pengguna direkodkan di dalam aplikasi PGCare. Manakala Daftar Masuk (check-in) ke premis perniagaan berdaftar direkodkan sebanyak 396,902 kali. Peningkatan angka pendaftaran menunjukan bahawa rakyat Pulau Pinang cakna akan inisitiatif dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan juga MKN.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Datuk Bandar MBPP dan MBSP yang telah memastikan dan memantau pelaksanaan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri serta mempromosikan penggunaan aplikasi  PGCare.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Prabhurajan dari Madison Technologies yang telah membangunkan applikasi contact tracer ini secara CSR dan kos ditanggung sepenuhnya oleh beliau, serta pihak Maxis Malaysia yang menyokong pelaksaanan PGCare dengan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB SUK dan pentadbiran CMI bersama PDL yang telah berjaya melaksanakan PGCare dengan  jalinan kerjasama Public, Private, Partnership dan bantuan teknikal PDL secara inhouse.

Serentak itu, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Pulau Pinang dan pastikan anda semua mengamalkan 4P bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti sekeliling daripada perebakan wabak COVID-19 iaitu Penjarakan sosial; Pakai pelitup muka; Pencucian tangan dengan sabun serta Perhatikan gejala COVID-19. Marilah kita bersama-sama memerangi wabak ini.

PENANG LAWAN COVID-19!

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang