MAJLIS SAMBUTAN HARI KELUARGA 2020 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI KELUARGA 2020

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

20 JUN 2020

Yang Berhormat Puan Chong Eng
EXCO Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam
merangkap Pengerusi Penang Women’s Development Corporation (PWDC)

Yang Berhormat Puan Kasthuriraani Patto
Ahli Parlimen Batu Kawan

Yang Berhormat Puan Lim Siew Khim
ADUN Sungai Pinang

Yang Berhormat Tuan Lee Khai Loon
ADUN Machang Bubok

Yang Berhormat Tuan Goh Choon Aik
ADUN Bukit Tambun

Yang Berhormat Tuan H’ng Mooi Lye
ADUN Jawi

Yang Berhormat Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ AR Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ SR Haji Rozali Bin Haji Mohamad
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai

Yang Berusaha Puan Ong Bee Leng
Ketua Pegawai Eksekutif PWDC

Pegawai-pegawai dan wakil daerah

Ahli-ahli Lembaga PWDC

Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga (JPWK)

Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang

Ketua Pegawai Eksekutif Entopia by Penang Butterfly Farm

Rakan-rakan Media

Puan-puan dan tuan-tuan

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Sejak penularan wabak COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang lalu sehingga kini, rutin kehidupan setiap daripada kita telah berubah hampir 100 peratus. Kebebasan yang dinikmati terbatas seketika bagi memastikan kita sama-sama mengawal penularan wabak COVID-19.

Sepanjang tempoh tersebut, banyak aktiviti luar terpaksa dihentikan. Kita diwajibkan untuk duduk di rumah bersama ahli keluarga yang lain. Semua aktiviti ‘outdoor’ terpaksa ditukar kepada ‘indoor’. Semua sudah rindu untuk beriadah di luar, begitu juga dengan saya.

Kalau dulu kita boleh ‘food hunting’ – makan pasembor, laksa, char koey teow dan cendol sambil bersembang santai, tetapi kini bilangan pelanggan di setiap meja makan terpaksa dihadkan dan kita lebih digalakkan untuk ‘tapau’ atau membuat ‘order delivery’. Di permulaan normal baharu ini mungkin sukar tetapi saya pasti, kini sebahagian daripada kita sudah berjaya mengikut perubahan semasa ini.

Saya bangga melihat kadar pematuhan rakyat Pulau Pinang kepada normal baharu ini. Dengan pengamalan Prosedur Operasi Standard (SOP) penuh disiplin, Pulau Pinang berjaya mengekalkan kes aktif sifar COVID-19 selama 46 hari berturut-turut. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Kini, kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Banyak kelonggaran diberikan tetapi itu tidak bermakna kita boleh leka dengan keadaan semasa ini. Kini tanggungjawab diletakkan dalam diri setiap daripada kita. Terus amalkan penjarakkan sosial kerana itu adalah ‘vaksin’ terbaik masa kini.

Saudara dan saudari sekalian,

Berbalik kepada program kita pada pagi ini. Pada hari ini kita ‘berkumpul’ sempena Sambutan Hari Keluarga anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Meskipun tidak dapat dianjurkan secara besar-besaran, tetapi ia tidak menghalang untuk Pulau Pinang terus mempromosikan nilai kekeluargaan demi masyarakat sejahtera, aman dan progresif dan seterusnya menjadi penyumbang utama dalam pembangunan negeri dan negara.

Tema sambutan Hari Keluarga pada tahun ini ialah hormat-menghormati – nilai asas dalam membina keluarga bahagia. Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) telah dipertanggungjawabkan untuk merangka dan menyusun pelbagai program untuk disesuaikan dengan keadaan semasa ‘new norm’ ini. Pelbagai aktiviti untuk keluarga akan diadakan di kesemua 40 kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) oleh Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) KADUN masing-masing.

Melahirkan keluarga yang bahagia menjadi usaha utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memenuhi keperluan pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Semoga asas ini dapat diperkasakan dan menjadi tunjang kejayaan dalam kepelbagaian komuniti masyarakat negeri ini.

[Jemput YB Chong Eng untuk memberi ucapan]

 

[Sambung berucap]

Dengan kata-kata itu, saya merasmikan Hari Keluarga 2020 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang