MAJLIS PERASMIAN TAMAN ROBINA ECO PARK

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN TAMAN ROBINA ECO PARK

25 JULAI 2020

TAMAN ROBINA ECO PARK

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa

YB Mustafa Kamal bin Ahmad

Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Ayer Tawar

Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Puan Ir. Hajah Rosnani binti Haji Mahmod

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara

Yang Berusaha Tuan Zulkifli bin Rashid

Pegawai Daerah, Seberang Perai Utara (SPU)

Yang Berusaha Tuan Shahrul Azmir bin Ahmad

Pengarah Urusan SATH ENGINEERING SDN.BHD

Ketua-Ketua Jabatan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar, Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud serta seluruh pasukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah memberikan komitmen yang begitu tinggi dalam memastikan projek Taman Robina Eco Park ini berjaya direalisasikan seperti mana yang kita lihat pada pagi pagi yang berbahagia ini.

Dengan keluasan sebanyak 6.664 ekar, Taman Rekreasi Pantai Robina sememangnya merupakan salah satu daripada tarikan yang mempunyai potensi sebagai ‘mapping’ terbaru lokasi pelancongan Seberang Perai. Dengan kedudukan yang strategik iaitu lebih kurang 15k km dari Butterworth serta berdekatan dengan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ia menjadi tumpuan orang awam untuk melakukan aktiviti memancing, menghayati keindahan panorama matahari terbenam dan lokasi beriadah bersama keluarga.

Projek naiktaraf Taman Rekreasi Taman Robina ini telah bermula pada Oktober 2019 dengan kos keseluruhan adalah sebanyak RM1,464,000. Keluasan tapak yang dinaiktaraf adalah sebanyak 4.5 ekar dengan melibatkan kerja-kerja meroboh gerai-gerai haram, mengubahsuai jalan sedia ada kepada kawasan hijau, menanam rumput, penyediaan laluan basikal, penyediaan taman mainan, penyediaan pondok, pembinaan tembok dan pagar keselamatan, penanaman pokok-pokok renek serta penyediaan 167 tempat meletak kenderaan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MBSP dan pihak kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh yang telah ditetapkan meskipun menghadapi kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac yang lalu.

Bersesuaian dengan hasrat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memperbanyakkan persekitaran hijau, aspek kehijauan telah dititikberatkan untuk projek naiktaraf Taman Rekreasi Pantai Robina ini dengan mewujudkan ciri-ciri hijau dalam projek yang dinamakan sebagai Eco Park ini. Antara konsep hijau yang telah diterapkan adalah seperti penanaman rumput di keseluruhan tapak pembangunan dan penambahan 548 pokok renek bagi menghiasi landskap keseluruhan taman ini.

Bagi mengekalkan ciri-ciri hijau ini juga, penggunaan sistem solar telah digunakan untuk lampu serta ketetapan MBSP untuk tidak membenarkan sebarang kenderaan memasuki taman ini. Saya berharap masyarakat sekitar dapat bersama-sama mematuhi dan bertanggungjawab dalam memelihara kawasan sekitar ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dan MBSP untuk menjadikan Taman Rekreasi Pantai Robina sebagai salah satu pusat rekreasi dan pelancongan domestik di negeri ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada MBSP serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan projek ini dan pemangkin kepada usaha pembangunan dan kemajuan kawasan Seberang Perai.

Dengan kata-kata itu, saya dengan ini merasmikan Taman Robina Eco Park.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang