MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM DAN SPM TAHUN 2019 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI,

TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM DAN SPM TAHUN 2019 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

6 OGOS 2020 (KHAMIS)

AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR

 

 

YB Prof. Dr. P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II

Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Pulau Pinang

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Pengetua-Pengetua & Guru-Guru Sekolah

Rakan-rakan media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

Pertama sekali saya ingin melahirkan rasa gembira kerana pada petang ini, kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang berjaya mencapai tahap cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Tahun 2019.

Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua kerana majlis anugerah ini merupakan penghargaan istimewa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar. Saya percaya sokongan dan pengiktirafan yang diberikan ini akan meningkatkan lagi semangat semua pelajar termasuk guru-guru serta ibu bapa dan seterusnya memberi motivasi untuk terus berusaha bagi mencatat kejayaan di masa akan datang.

Sidang hadirin sekalian,

Buat julung kalinya, Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan SPM berlangsung tanpa kehadiran para pelajar sebagai salah satu langkah pencegahan terhadap penularan wabak COVID-19. Walaupun Pulau Pinang merupakan negeri Hijau atau negeri sifar kes aktif sejak 8 Mei 2020, Kerajaan Negeri sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang gelombang baharu pandemik berkaitan. Justeru, saya berharap pendekatan ini turut dapat dikongsi bersama-sama ibu bapa dan barisan pelajar yang terlibat.

Umumnya, insentif serta sijil tetap disediakan meskipun majlis tidak berlangsung sebagaimana tahun lepas dan selepas ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan menguruskan pengedaran cek dan sijil kepada pelajar-pelajar cemerlang melalui sekolah-sekolah. Saya dimaklumkan bahawa seramai 80 pelajar cemerlang STPM, dan 251 pelajar cemerlang SPM bagi tahun 2019 akan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada hari ini.

Insentif sebanyak RM1,000 akan disampaikan kepada setiap pelajar cemerlang dalam STPM manakala insentif RM500 kepada pelajar cemerlang SPM. Begitu juga bagi pelajar istimewa, insentif yang sama akan diberikan kepada 10 pelajar cemerlang Kategori Khas bagi STPM dan juga SPM.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kecemerlangan para pelajar tidak lahir daripada usaha individu sahaja tanpa bantuan guru serta pendidik. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengambil peluang ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada warga pendidik yang menunjukkan kegigihan mereka dalam memastikan pelajar-pelajar ini mendapat ilmu dan diterapkan juga dengan nilai-nilai murni yang bakal membentuk sahsiah mereka kelak.

Selaras itu juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut meneruskan penganugerahan penghargaan kepada enam (6) buah sekolah cemerlang dalam STPM dan juga SPM bagi tahun lalu.

Malah, jutaan tahniah juga diucapkan kepada para ibu bapa pelajar-pelajar cemerlang. Mereka merupakan tulang belakang kejayaan anak-anak kita pada hari ini. Kepada para pelajar, hargailah setiap keringat ibu bapa anda demi memastikan kejayaan anda pada hari ini dan hari-hari yang akan datang.

Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang dilancarkan pada Ogos 2018 merupakan hala tuju Kerajaan Negeri dalam memastikan segala perancangan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh demi kelangsungan negeri tercinta.

Visi cetusan daripada saya sendiri, penekanan diberikan terhadap institusi kekeluargaan kerana saya melihat ia sebagai asas hubungan seseorang insan kepada semua aspek dalam kehidupan. Daripada asas kekeluargaan yang kukuh, barulah lahirnya seseorang insan yang penuh dengan nilai-nilai murni yang seterusnya memberi impak secara langsung kepada pembangunan negeri secara holistik. Aspek ini adalah amat penting kepada Pulau Pinang yang mana modal insan kita sentiasa dicemburi pihak-pihak pelabur asing yang terus melihat negeri ini sebagai lokasi strategik pelaburan mereka.

Sidang hadirin sekalian,

Sejajar dengan perkembangan teknologi yang menggalakkan penggunaan internet secara maksimum, Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan lain untuk turut menguasai gelombang Revolusi Industri 4.0 (Industrial Revolution 4.0) yang merangkumi Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things.

Justeru, ekoran perkembangan Revolusi Industri 4.0, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.24 juta bagi menubuhkan MakerLab di 89 sekolah yang terdiri daripada 65 buah sekolah rendah dan 24 sekolah menengah. Inisiatif ini secara tidak langsung telah membuka peluang pendedahan kepada generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi tinggi.

Serentak itu, dalam mengelakkan pengaliran keluar bakat-bakat tempatan, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif mewujudkan Penang Future Foundation (PFF) iaitu program biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar dalam negara yang cemerlang dan berkelayakan dengan keutamaan diberikan kepada anak negeri ini. Semua penerima biasiswa adalah perlu kembali menabur bakti di Pulau Pinang selepas tamatnya pengajian. Sehingga tahun 2019, sejumlah RM29.4 juta biasiswa kepada pelajar layak menerusi PFF.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai penghujung kata, terima kasih kepada tenaga penggerak majlis hari ini dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kepada semua pihak yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Harapan saya adalah agar kita semua akan terus bersama-sama mencipta dan mengukir kejayaan dalam semua bidang yang sedang dan bakal diceburi demi terus meletakkan nama Pulau Pinang di persada dunia.

Dalam pada itu, terus amalkan amalan 4P iaitu, Penjarakan fizikal; Pakai pelitup muka; Pencucian tangan menggunakan sabun dan Perhatikan gejala COVID-19.

Dengan ini, saya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan SPM Tahun 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang