MAJLIS PERASMIAN BANGLO HILLSIDE RETREAT

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BANGLO HILLSIDE RETREAT

BUKIT BENDERA

19 SEPTEMBER 2020

 

 

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang

Dato’ Cheok Lay Leng

Pengarah Pembinaan YSBT (M) Sdn. Bhd

Encik Ken Yeoh

Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri 2

YB Prof. Dr. Ramasamy A/L Palanisamy

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

  • YB Puan Chong Eng
  • YB Tuan Yeoh Soon Hin
  • YB Dr. Hajah Norlela Bt Ariffin

Yang Berhormat Ahli Parlimen Bukit Bendera

YB Tuan Wong Hon Wai

Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam

YB Tuan Joseph Ng Soon Siang

Yang Dihormati Ketua-Ketua Jabatan Negeri Pulau Pinang,

Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang,

Ahli-Ahli KPI Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang,

Ahli-Ahli Perjawatan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang,

Dif-dif Kehormat,

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dan pihak Pembinaan YSBT (M) Sdn. Bhd selaku pihak pengurusan penginapan Hillside Retreat atas penganjuran Majlis Perasmian Banglo Hillside Retreat Bukit Bendera pada petang yang berbahagia ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, projek pemuliharaan bangunan warisan di banglo Hillside Retreat ini adalah pertama kali diadakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai tempat peranginan pilihan di Malaysia dan di rantau Asia. Dengan lokasi dan kedudukan di kawasan puncak Bukit Bendera, banglo yang berkonsepkan kolonial yang mesra alam ini menawarkan pemandangan yang cukup indah dan mampu memberi pengalaman yang unik kepada para pengunjung.

Sejajar dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pemuliharaan bangunan ini adalah sangat bertepatan selaras dengan usaha Kerajaan Negeri yang giat mempromosikan eko-pelancongan. Diklasifikasikan sebagai Bangunan Warisan Kategori (II) yang terdapat di dalam Rancangan Tempatan Bukit Bendera Pulau Pinang 1998 dan Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2016, banglo tertua yang berusia hampir 100 tahun ini mempunyai nilai sejarah dan warisannya yang tersendiri terutama kepada pencinta alam semulajadi.

Pembinaan YSBT (M) Sdn Bhd telah dipilih untuk projek pemuliharaan banglo Hillside Retreat pada September 2017 sebagai sebahagian daripada projek perkongsian di antara agensi awam dan swasta. Dengan kos baik pulih *lebih kurang RM1 juta Pembinaan YSBT (M) Sdn Bhd telah Berjaya merubah landskap banglo Hillside Retreat dengan pelbagai kemudahan dan pelbagai ciri mesra alam yang menambahkan keunikan banglo ini termasuk tawaran tapak perkhemahan dengan pemandangan indah dan kemudahan perkhemahan yang komprehensif.

Terdapat 3 pakej penginapan yang merangkumi bilik butik, bilik bunker (katil bertingkat) dan 14 buah khemah di ruang perkhemahan dengan keseluruhan kapasiti maksimum boleh dianggarkan seramai 80 orang dalam satu masa. Pelbagai aktiviti boleh diadakan termasuklah penyewaan untuk team building dan majis perkahwinan dan keraian dengan harga pakej yang sangat berpatutan. Pengunjung dapat menikmati keindahan alam serta menikmati suasana ketenangan sambil meluangkan masa bersama orang yang tersayang tanpa perlu risau mengenai kekurangan kemudahan yang disediakan.

Pada masa kini, PBBPP turut melaksanakan projek pemuliharaan banglo Edgecliff untuk dijadikan pusat informasi dan galeri, di samping beberapa projek baik pulih di banglo warisan yang lain seperti Woodside, Convalescent dan Fernhill untuk kegunaan pada masa akan datang. Semoga dengan tarikan baharu di Bukit Bendera ini, ia dapat terus menjadi pilihan sekaligus meningkatkan pelancongan domestik Pulau Pinang yang sedikit terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Banglo Hillside Retreat Bukit Bendera.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang