Plogging Bersama Ketua Menteri di Taman Tunku

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Ucapan Perasmian oleh Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council

pada 10 Jun 2018

semasa Plogging Bersama Ketua Menteri di Taman Tunku, Seberang Jaya:

 

Selamat petang diucapkan kepada para hadirin yang dihormati sekalian!

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para hadirin kerana sudi hadir aktiviti “Plogging bersama Ketua Menteri” yang diadakan oleh Penang Green Council sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) 2018. Aktiviti ini turut mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua pihak ini atas segala kerjasama dalam menjayakan acara ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada C&P Screen Tech Enterprise yang menajakan beg ‘upcycle’ yang dibuat daripada banting dan poster untuk aktiviti ini. Aktiviti ini telah mendapati sambutan yang hangat dari orang ramai, ada yang minta supaya aktiviti sedemikian juga diadakan di Kawasan Pulau, kita akan bertimbang dan berharap aktiviti sukarelawan begini boleh sentiasa diadakan.

Untuk makluman para hadirin sekalian, tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini - Perangi Pencemaran Plastik (Beat Plastic Pollution) sangat bermakna bagi Negeri Pulau Pinang. Memandangkan tema yang ditetapkan adalah demi mengakhiri pencemaran plastik, aktiviti “Plogging” yang menggabungkan joging dengan memungut sampah ini dianjurkan untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap alam sekitar dan juga memperkenalkan gaya hidup mesra alam yang baru iaitu, ‘plogging’ kepada orang awam supaya dapat dijadikan sebagai initiatif baru terhadap aktiviti kesukarelaan.

Negeri Pulau Pinang melancarkan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” di semua pusat membeli-belah dan pasaraya pada tahun 2009. Kutipan caj 20 sen setiap beg plastik akan disalurkan untuk pelaksanaan program Agenda Ekonomi Saksama negeri dalam usaha membasmi kemiskinan di Pulau Pinang. Pengenaan caj beg plastik hanya merupakan langkah kecil untuk meningkatkan kesedaran awam dalam pengurusan sisa buangan yang betul dan mengurangkan sisa plastik. Kita juga telah menyediakan Garis Panduan Penguatkuasaan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma pada tahun 2017.

Pulau Pinang juga akan mengetatkan pendidikan dan penguatkuasaan alam sekitar kita demi menjayakan pelaksanaan Pengasingan Sisa di Punca. Satu-satunya cara untuk memastikan Pulau Pinang tidak memerlukan insinerator dalam 60 tahun yang akan datang adalah dengan WSAS yang berjaya dengan mencapai kadar kitar semula sebanyak 40% atau lebih menjelang 2020.

Ketika itu, kita sedar masalah kekurangan rawatan sisa dan kemudahan kitar semula semasa pelaksanaan Pengasingan Sisa di Punca. Di bawah ekonomi hijau, ribuan pekerjaaan baru yang bernilai tinggi boleh diwujudkan dalam sektor sisa. Kita harap mengeratkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan untuk membawa Dasar Pengasingan Sisa di Punca di Pulau Pinang dan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dengan meningkatkan pengurusan sisa pepejal, sistem kutipan sampah, kitar semula dan kemudahan rawatan serta kerja pembersihan awam. Hasrat untuk meningkatkan kadar kitar semula tempatan dan nasional hanya akan tercapai apabila sisa baki dan kitar semula dikutip dengan betul dan sisa kitar semula berhenti dibuang ke tapak pelupusan sampah. Kita berharap Kerajaan Persekutuan akan mendalami dasar Pencemar Membayar (Polluters Pay) di seluruh negara dan mewajibkan “pengurusan kitaran hayat produk” (Product Life Cycle) ke atas pengeluar-pengeluar untuk mengurangkan impak alam sekitar pada peringkat akhir kitaran hayat. Dengan menggabungkan usaha Kerajaan Persekutuan, saya berharap Pulau Pinang dapat menerima pertumbuhan hijau dengan teknologi dan sektor baru.

Pelancaran Jambatan Harapan baru-baru ini membawa kita lebih dekat ke arah menjadi negeri yang rendah karbon dan mesra basikal. Kita jugga telah melengkapkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang untuk meningkatkan penyambungan melalui pengangkutan karbon rendah; Di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang, kita juga telah merancang untuk melengkapkan laluan basikal sepanjang 350km (bahagian pulau - 179km, seberang perai - 171km) di negeri ini.

Kita tidak pernah membenarkan pembalakan di hutan simpan kekal dan kita berasa bangga kerana Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Malaysia di mana tidak seinci persegi pun disentuh. Dan kita telah menanam lebih daripada 271,000 pokok baru di Pulau Pinang sejak tahun 2008. Kita sedang di dalam proses untuk mewartakan Bukit Bendera sebagai rizab biosfera Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO. Kita berharap Hutan Simpan Ulu Muda dapat dilingdungi, ialah kawasan tadahan air terbesar yang paling penting di wilayah utara, membekalkan sebanyak 80% air mentah harian Pulau Pinang, akan digondolkan sepenuhnya dalam masa 12 tahun sekiranya tiada tindakan diambil untuk menghentikan aktiviti pembalakan.

Dalam menyahut cabaran berkaitan isu-isu perubahan iklim global dan peralihan paradigma perkembangan lestari, Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA) sedang membangunkan satu rangka kerja dan pelan tindakan yang koheren berdasarkan visi yang dikongsi bersama seperti berikut:

  • Menjelang tahun 2030, Pulau Pinang bercita-cita untuk menjadi negeri yang paling hijau di Malaysia dipacu oleh ekonomi hijau, tadbir urus inovatif dengan rakan perkongsian 4P – Public (Awam), Private (Swasta), People (Rakyat) dan Profesional serta pembangunan agenda yang berkemampanan.
  • Menjelang tahun 2050, Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, penyayang, inklusif, rendah karbon dan berdaya tahan yang menekankan integriti rakyatnya dan alam sekitar, termasuk memperkayakan dan memulihkan budayanya yang kaya dan ekosistem semula jadi.

Pada tahun bertransformasi ini, kita menggesa kerajaan, industri, komuniti dan individu untuk datang bersama mencari alternatif yang mampan, mengutamakan polisi, tindakan dan penyelesaian demi kemajuan jangka masa panjang untuk alam sekitar, ekonomi dan masyarakat kita. Marilah kita berganding bahu dan berusaha membawa Pulau Pinang ke puncak yang lebih tinggi, bukan saja dari segi pertumbuhan ekonomi, malah menjadi negeri yang paling hijau di Malaysia!

 

Sekian, terima kasih.

 

Chow Kon Yeow

ADVOKASI KHAS MAJLIS KESELAMATAN JALAN RAYA (MKJR) PULAU PINANG SEMPENA MUSIM PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN

YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

ADVOKASI KHAS MAJLIS KESELAMATAN JALAN RAYA (MKJR) PULAU PINANG SEMPENA MUSIM PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018

8 JUN 2018 (JUMAAT)

10.00 pagi

PLAZA TOL JURU, PULAU PINANG

 

 

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian para hadirin pada pagi ini untuk bersama-sama dalam Majlis Advokasi Khas Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang Sempena Sambutan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2018.

 

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, pihak penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pihak PLUS, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dan tidak lupa sektor swasta di atas kerjasama yang berterusan diberikan bagi menjayakan majlis ini. Sesungguhnya, komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak bagi menghadirkan diri di majlis ini merupakan simbolik kepada uasah keras berterusan dan tanpa jemu bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan khususnya perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang ini.

 

Hadirin sekalian,

Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Pelaksanaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah adalah keutamaan bagi memastikan jalan raya yang kita guna setiap hari selamat. Pelbagai kempen keselamatan jalan raya dan inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan mahupun sektor swasta dan NGO bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mengikut undang-undang jalan raya dan menghormati hak-hak pengguna jalan raya lain. Jalan raya yang dibina adalah untuk memudahkan mobiliti kenderaan bukan mencederakan atau menyebabkan kematian.

 

Sejak tahun 2014, angka kematian akibat kemalangan jalan raya di Pulau Pinang merekodkan penurunan dengan rekod pada tahun lepas (2017) mencatatkan 401 kematian. Pada tahun 2016 data oleh PDRM merekodkan sebanyak 411 kematian iaitu penurunan sebanyak 10 kematian. Namun, tanpa usaha-usaha pelbagai pihak, ia tidak akan membuahkan hasil.

 

Seperti tahun-tahun sebelum ini, motosikal masih menjadi penyumbang utama angka kematian di jalan raya. Kerajaan memandang serius akan perkara ini. Pelbagai program, inisiatif dan kempen telah dijalankan bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang tinggi. Kumpulan sasaran utama termasuk anak-anak muda yang harus didekati supaya kempen secara langsung dan bersemuka dapat dijalankan bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan fokus semasa di jalan raya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Menjelang setiap musim perayaan atau cuti panjang, ia sepatutnya menjadi pengalaman indah kepada kita kerana dapat berjumpa dengan keluarga tercinta. Namun sebaliknya berlaku di setiap musim perayaan kita diselubungi kesedihan akibat kemalangan jalan raya yang meragut nyawa atau mengalami kecederaan parah.

 

Berdasarkan laporan PDRM, punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya. Punca kemalangan yang utama dikesan adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan mengantuk.

 

Hadirin sekalian,

Salah satu dasar Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 adalah mengalakkan pengguna jalan raya menggunakan pengangkutan awam.

 

Beberapa inisiatif telah dilaksanakan iaitu Pelaksanaan Bas BEST Komtar, BEST FIZ dan Congestion Alleviation Transport (CAT) yang mendapat sambutan yang sangat baik kepada pengguna.

 

Justeru, saya menyeru supaya tuan-tuan, puan-puan dan para pengguna jalan raya supaya pulang ke kampung halaman menggunakan pengangkutan awam supaya perjalanan anda ke kampung lebih selamat memandangkan terdapat diskaun yang diberikan kepada pengguna yang menggunakan pengangkutan awam pada musim perayaan ini.

 

Saya juga berharap pihak PDRM dan JPJ sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan Ops Selamat (PDRM) dan Ops Bersepadu (JPJ) sepanjang musim perayaan ini.

 

Saya dimaklumkan program advokasi khas musim perayaan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang diadakan empat (4) kali setahun bagi setiap musim perayaan. Begitu juga dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang yang sentiasa berusaha keras dalam memastikan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan bagi mencapai sasaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 10 peratus setiap tahun di Pulau Pinang tercapai.

 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama-sama menggerakkan pasukan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya di peringkat negeri.

 

Akhir bicara, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya supaya memandu dengan berhemah dan patuhilah praturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas yang bertugas sepanjang Hari Raya Aidilfitri supaya bekerja secara berhemah dalam memastikan pengguna jalan raya kita selamat di atas jalan raya.

Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua.

 

Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.

 

Pandu Cermat Sampai Selamat”

 

Sekian, terima kasih.

 

Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang

8 Jun 2018 (Jumaat)

MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG

5 JUN 2018 (SELASA)
Grand Ballroom, Paras 5, The Top KOMTAR, Pulau Pinang

 

Selamat Pagi dan Salam Ramadhan al-Mubarak.

 

  1. 1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua rakan-rakan Muslim kita dan kepada yang beragama Buddha pula, Selamat menyambut Hari Wesak yang baru sahaja berlalu pada minggu lepas. Sudah hampir sebulan berlalu PRU ke-14 yang melakar sejarah Negara Malaysia dan sudah hampir sebulan itulah juga tampuk kepimpinan Negara mengalami perubahan-perubahan yang akan membawa kepada kebaikan untuk kita semua. Tidak dapat dinafikan, tuan-tuan dan puan-puan sebagai pentadbir adalah pihak yang secara langsung akan merasai perubahan tersebut.

 

  1. 2. Namun di Pentadbiran Kerajaan Negeri, telah lama kita memulakan perubahan iaitu selama satu dekad yang lepas. Sejak 2008, telah banyak yang kita lakukan demi kebaikan semua. Sepanjang sedekad yang lepas, Kerajaan Negeri telah menunjukkan prestasi yang amat baik sekali. Rangsangan ekonomi yang telah kita laksanakan telah berjaya meyakinkan para pelabur luar. Daripada sebuah Negeri yang kecil dan kurang popular, Pulau Pinang telah menjadi sebuah Negeri yang terkenal dengan produk-produk pelancongannya. Status bandar Warisan Dunia oleh UNESCO yang menjadi pelonjak kepada kemasyhuran Negeri Pulau Pinang yang telah pun diketahui oleh seluruh pelosok dunia. Pelancongan kesihatan juga memainkan peranan yang hebat dalam kemajuan ekonomi negeri malahan produk-produk makanan jalanan (Street Food) yang suatu ketika dahulu hanya dipandang sebelah mata oleh kebanyakan orang, kini telah menjadi buruan pelancong tidak kira tempatan mahupun antarabangsa.

 

  1. 3. Perubahan di Pulau Pinang tidak setakat itu sahaja, inisiatif-inisiatif yang berteraskan keusahawanan dan kebajikan juga telah menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Kerajaan Negeri. Kita telah melaksanakan kerjasama awam, swasta dan rakyat melalui 4Ps Partnership : Public, Private, People and Professionals dan ternyata jalinan kerjasama sebegini telah memangkinkan perubahan dari segi pembangunan dan infrastruktur di Pulau Pinang. Program-program kebajikan yang telah kita laksanakan juga sedikit-sebanyak telah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat termasuk kita semua dan ini juga telah melegakan kerisauan sebilangan besar masyarakat yang dahulu amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup masing-masing.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

  1. 4. Pada hari ini saya ingin melahirkan rasa terima kasih kepada kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan kepada saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru. Sebagai Ketua Menteri dan juga mantan EXCO, saya tahu dan telah merasai pengalaman berkerjasama dengan tuan-tuan dan puan-puan. Percayalah, tanpa kerjasama, komitmen dan juga perkongsian ilmu dan pengalaman daripada tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan-kejayaan yang telah saya sebutkan sebentar tadi tidak mungkin akan dicapai. Negeri Pulau Pinang yang tersohor adalah hasil daripada sumbangan keringat dan kebijaksanaan tuan-tuan dan puan-puan juga sebagai Penjawat Awam. Terima kasih dan syabas saya ucapkan. Saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baharu ini amat mengharapkan jalinan kerjasama yang serupa malahan lebih baik lagi dapat diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan demi memastikan kita dapat terus menjadikan negeri yang tercinta ini sebagai sebuah negeri yang terbaik dari segi pembangunan dan infrastruktur namun masih selesa dan selamat untuk didiami.

 

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

 

  1. 5. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini telah pun menyatakan kekecewaan beliau terhadap pentadbiran Negara yang kini tidak lagi dipandang tinggi oleh dunia luar dan Negara kita tidak lagi dihormati. Sehubungan itu, adalah menjadi tugas kita semua termasuk barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru dilantik ini untuk bersama-sama memulihkan keadaan ini. Saya amat yakin dengan kerjasama yang erat daripada kedua-dua pihak ini akan menjadikan tanah air kita kembali ditadbir dengan baik dan berjaya. Pulau Pinang telah pun membuktikannya.

 

  1. 6. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Farizan Bin Darus serta urusetia daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas kejayaan penganjuran majlis ini pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah hadir pada Majlis ini. Majlis sebegini mencerminkan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited untuk mewujudkan hubungan silaturrahim yang baik dengan Anggota Perkhidmatan Awam di Negeri Pulau Pinang disamping berusaha untuk memartabatkan imej penjawat awam ke arah yang lebih tinggi. Sesungguhnya majlis sebegini adalah amat penting bagi saya dan ianya menjadi suatu platform untuk mempertemukan antara Pegawai-pegawai Persekutuan dan Negeri. Adalah menjadi harapan saya agar majlis ini menjadi satu medan pertemuan yang positif dan akhirnya membawa kepada pembentukan satu pasukan yang kuat antara Pegawai-pegawai Persekutuan dan juga Negeri. Sekali lagi saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang beragama Islam.

 

  1. 7. Akhir kata, sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma dalam 10 hari lagi, saya dengan ini berbesar hati mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (Bonus) berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri Pulau Pinang. Semoga bantuan khas ini dapat membantu dalam persiapan perayaan kali ini.

 

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 2/2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 2/2018 PADA 2 DAN 3 MEI 2018

 

Salam Sejahtera dan Salam Ramadhan kepada semua.

 

 

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana telah bertungkus lumus dan telah berjaya menguruskan proses pemberian insentif dengan jayanya. Untuk makluman, insentif teksi telah mula diberikan sejak tahun 2013 manakala kepada operator bas baru sahaja mula diberikan pada awal tahun 2017.

 

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang di atas kerjasama yang baik bersama dengan Kerajaan Negeri dalam membantu dan melicinkan majlis ini sejak dari dahulu lagi. Diharapkan kerjasama baik ini akan berterusan di masa akan datang.

 

Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pemandu-pemandu teksi Pulau Pinang dan operator-operator bas sekolah Pulau Pinang yang sudi hadir pada hari ini untuk menerima insentif daripada pihak Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti pemandu-pemandu teksi kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang selama ini juga khidmat bakti operator-opertaor bas sekolah dalam mengambil dan mengangkut para pelajar setiap hari.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang. Terima kasih atas kerjasama yang baik selama ini.

 

Pada hari ini, semua pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300.00 setiap seorang. Jumlah besar kesemua penerima adalah seramai 2995 orang.

Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 2342 orang. Seramai 1652 orang pemandu di bahagian Pulau dan 690 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini.

 

Manakala bagi operator bas sekolah, seramai 653 operator bas sekolah dengan permit yang sah layak dengan 312 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 341 operator bas di Seberang Perai.

 

Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM898,500.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Sembilan Puluh Lapan Ribu Lima Ratus Sahaja).

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

 

Kerajaan Negeri akan terus membantu meneruskan pemberian insentif ini sekiranya masih di pilih untuk menerajui Negeri Pulau Pinang ini. Kerajaan Negeri ingin membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pemandu teksi dan operator bas di Pulau Pinang. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri mahu semua pemandu teksi, kereta sewa dan operator bas sekolah di Pulau Pinang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua rakyat Pulau Pinang terutama dari segi keselamatan dan keselesaan mereka.

 

Marilah kita sama-sama menghormati antara satu sama lain dan sama sekali tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Memandulah secara berhemah dan mesra pelanggan. Sebagai pemandu teksi, berilah perkhidmatan sebagai duta kecil Negeri Pulau Pinang dengan penuh toleransi dan sopan. Sesungguhnya, budi bahasa budaya kita. Bagi operator bas, teruskan usaha murni memberikan perkhidmatan kepada anak-anak untuk ke sekolah dengan selamat.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

Akhir sekali Kerajaan Negeri berjanji akan sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan semua pemandu teksi dan operator bas di Pulau Pinang. Tidak ada golongan yang akan diketepikan daripada aliran pembangunan negeri. Kerajaan Negeri akan terus membela dan berusaha memberikan yang terbaik kepada semua pemandu teksi dan operator bas. Saya berharap hubungan yang baik di antara pemandu teksi dan operator bas dengan Kerajaan Negeri dapat dikekalkan dan ditingkatkan dari masa ke semasa.

 

Saya juga berharap insentif ini dapat digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan operator bas sekolah didalam urusan seharian. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tuan-tuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya.

 

Sekian, Terima Kasih.