Articles

Print

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU PEMANDU TEKSI BAJET, TEKSI LAPANGAN TERBANG, TEKSI EKSEKUTIF, TEKSI MEWAH, LIMOUSIN DAN KERETA SEWA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU PEMANDU TEKSI BAJET, TEKSI LAPANGAN TERBANG, TEKSI EKSEKUTIF, TEKSI MEWAH, LIMOUSIN DAN KERETA SEWA DI PULAU PINANG 1/2015 PADA 14 & 15 FEBRUARI 2015

Salam Sejahtera, Salam Bersih dan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua.

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana berjaya menguruskan proses pemberian insentif kali ke lima sejak tahun 2013 kepada semua pemandu teksi di Pulau Pinang untuk pembayaran bagi kali pertama pada bagi tahun 2015.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih juga kepada semua pemandu-pemandu teksi Pulau Pinang yang sudi hadir pada hari ini untuk menerima insentif daripada pihak Kerajaan Negeri sungguhpun ada yang telah bercuti sempena Tahun Baru Cina. Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti pemandu-pemandu teksi kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang selama ini. Ini merupakan bayaran insentif kali pertama bagi tahun ini seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri. Kali ini kita membuat penambahbaikan dengan memberikan insentif perkhidmatan teksi sebanyak RM 300 atau RM 600 setahun seorang kepada pemandu pertama dan pemandu kedua yang memandu teksi dari jenis teksi bajet, teksi lapangan terbang, teksi eksekutif, teksi mewah, limousin dan juga kereta sewa. Ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri yang bersifat people centric yang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan dan kesusahan rakyat.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Terima kasih saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang yang telah menyediakan jambatan untuk menghubungi golongan pemandu teksi dengan Kerajaan Negeri. Saya berharap Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan komitmen perkhidmatan selamat dan cemerlang kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri telah memutuskan insentif akan diberikan kepada pemandu pertama dan kedua setiap teksi. Ini bagi memastikan insentif ini benar-benar sampai kepada pemandu yang aktif memandu dan memberikan perkhidmatan.

Pada hari yang bersejarah ini, semua pemandu teksi yang sah berdaftar akan menerima RM300.00 setiap seorang. Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 1,699 orang pemandu. Seramai 1,317 orang pemandu di bahagian Pulau dan 382 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini. Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM509,700.00.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Menjelang tahun 2030 nanti, Pulau Pinang akan mencapai tahap bandar antarabangsa dan satu aspek penting adalah kemampuan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampan dan efisyen.

Saya difahamkan Pihak SPAD telah mengumumkan satu kadar baru khas untuk teksi di Pulau Pinang pada tahun lepas. Kerajaan Negeri berpendapat perkara ini adalah selaras dengan hasrat untuk mengurangkan kadar penggunaan kenderaan persendirian dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 40% menjelang tahun 2030.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Gunakanlah meter rasmi teksi yang disediakan daripada mengenakan bayaran sesuka hati. Ini dapat memberi kepercayaan dan keyakinan kepada semua pengguna teksi.

Pemandu teksi merupakan duta kecil Kerajaan Negeri yang mencerminkan budaya dan cara hidup orang Pulau Pinang. Berilah perkhidmatan terbaik dan layanan yang mesra kepada mereka selaras dengan menyambut Tahun Melawat Pulau Pinang 2015 pada tahun ini.
Bayaran insentif kali ini sekali lagi membuktikan kerajaan negeri cakap serupa bikin dan tunaikan janji. Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang membuat bayaran RM 600 kepada setiap pemandu teksi – tidak ada negeri lain di Malaysia yang berikan bayaran serupa ini. Kerajaan negeri dapat menunjukkan penghargaan kepada pemandu teksi kerana kita jalankan kerajaan bersih menerusi pentadbiran CAT - Cekap, Akauntabel dan Telus. CAT membolehkan kerajaan negeri mencatat lebihan setiap tahun. Malah dalam 6 tahun sejak 2008 ke 2013, lebihan Belanjawan mencatat RM 453 juta sedangkan lebihan Belanjawan untuk 50 tahun sebelum 2008 adalah RM 373 juta. Dengan kata lain, prestasi kerajaan negeri PR bagi lebihan Belanjawan dalam 6 tahun ini adalah lebih baik daripada prestasi 50 tahun sebelum ini. Lebihan Belanjawan RM 453 juta telah digunakan untuk rakyat di mana RM 287 juta diberikan sebagai wang sumbangan sedangkan bakinya adalah untuk projek infrastruktur.

Prestasi menarik pelaburan pun lebih menyerlah. Pelaburan untuk tempoh 6 tahun dari 2008-2013 adalah sebanyak RM 40 bilion di mana 90% lebih tinggi daripada tempoh yang sama sebelum ini pada tahun 2002-2007 sebanyak RM 21 bilion. Malah kos lawatan luar negara adalah 90% lebih murah – RM 2.8 juta bagi tempoh 2008-2013 berbanding dengan RM 5.3 juta bagi 2002-2007. Jelas sekali hasil adalah lebih baik 90% sungguhpun kos turun 90%!

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tuan-tuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Selamat Tahun Baru Cina & Gong Xi Fa Cai

Sekian, Terima Kasih