Selaras dengan hasrat menjadikan prinsip pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai ikutan, Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Syura bagi membantu memantapkan lagi pengurusan hal ehwal agama Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abu Kassim berkata, keanggotaan Majlis Syura terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang kepakaran ilmu tanpa mengira kedudukan, pangkat dan fahaman politik, wakil badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat.
Menurutnya, majlis yang julung kali ditubuhkan itu berperanan sebagai penasihat dan pencetus idea kepada pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri ini di samping mampu memberi pandangan bagi mengemukakan sebarang penambahbaikan terhadap pentadbiran itu.
“Selain itu, Majlis Syura turut berperanan sebagai wadah jalinan kerjasama serta perkongsian idea dan maklumat antara umara' di negeri ini dan para intelektual Islam daripada pelbagai cabang displin ilmu.
“Kerajaan Negeri juga melihat potensi penubuhan Majlis Syura mampu merapatkan hubungan antara badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika ditemui media pada Pelancaran Majlis Syura di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) , semalam.
Abdul Malik juga menolak tanggapan objektif penubuhan Majlis Syura akan mengakibatkan berlaku percanggahan fungsi dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp) kerana fungsi Majlis Syura hanya untuk memberikan pandangan dan idea semata-mata, manakala fungsi Mainpp lebih meluas.
“Kebanyakan ahli Majlis Syura turut dianggotai oleh wakil Mainpp termasuk Yang Dipertua Mainpp, Ellias Zakaria dan Timbalan Yang Dipertua Mainpp, Mohd Salleh Man sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri komited dalam menangani permasalahan umat Islam di negeri ini dengan menambahkan peruntukan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam daripada RM20.5 juta bagi tahun 2009 kepada peruntukan RM24.3 juta pada tahun ini.

| < Sebelum | Selepas > |
|---|











