Pencapaian terhebat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan ancaman besar kepada cengkaman kuasa Kerajaan Barisan Nasional adalah bukti yang menunjukkan bahawa polisi yang betul dapat menjadikan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya bersaing secara sihat dan berjaya menjadi yang terbaik.
Pencapaian terhebat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan ancaman besar kepada cengkaman kuasa Kerajaan Barisan Nasional adalah bukti yang menunjukkan bahawa polisi yang betul dapat menjadikan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya bersaing secara sihat dan berjaya menjadi yang terbaik di dunia. Sejak Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pada bulan Mac 2008, integriti dan urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) telah menjadi prinsip di dalam pentadbiran kewangan negeri.
Pendekatan baru yang dilaksanakan termasuklah persaingan secara sihat dan tender terbuka, bayaran secara terus kepada penerima tanpa melalui orang tengah, keutamaan diberikan kepada kontraktor dari Pulau Pinang, sistem e-tender melalui laman web dan masa bantahan selama 2 minggu bagi memastikan bahawa kontraktor yang berjaya adalah melalui ‘kable komputer’ dan bukan melalui ‘kable politik’ seperti sebelum ini. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa sememangnya sistem tender terbuka ini telah berjaya menjimatkan kos dan menambahbaik kualiti.
Ramai kontraktor telah mendapat peluang secara adil melalui pelaksanaan sistem tender terbuka di semua peringkat. Melalui sistem tender terbuka, kontraktor kelas F yang mana hanya diberikan kepada golongan bumi sahaja, buat pertama kalinya memberi peluang kepada mereka yang bukan kroni UMNO untuk mendapatkan kontrak di Pulau Pinang. Sebelum ini, kontrak-kontrak hanya diberikan kepada kroni-kroni UMNO dan mereka dari luar Pulau Pinang sahaja. Jelaslah bahawa persaingan melalui tender terbuka yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat adalah lebih telus dan akauntable serta telah memberi manfaat kepada semua golongan berbanding sistem rundingan terus Kerajaan Barisan Nasional kepada kroni-kroninya.
Apa yang lebih memeranjatkan adalah hasil daripada pelaksanaan sistem tender terbuka kepada semua bangsa ini. Tanggapan bahawa kontraktor Melayu tidak boleh bersaing dengan kontraktor bukan Melayu melalui system tender terbuka adalah salah sama sekali. Sejak Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah melaksanakan 23 tender terbuka di mana 7 (30%) daripada 23 dimenangi oleh kontraktor bukan Melayu dan 16 (70%) dimenangi oleh kontraktor Melayu. Manakala bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang telah mengeluarkan 66 tender terbuka, 22(33%) dimenangi oleh kontraktor bukan Melayu dan 44 (67%) dimenangi oleh kontraktor Melayu.
Melalui sistem tender terbuka ini telah menunjukkan dengan jelas bahawa kontraktor Melayu dapat bersaing dengan kontraktor bukan Melayu dan berjaya memperolehi kontrak tersebut melalui merit dan kebolehan mereka sendiri. Jelaslah kepada kita bahawa bukan kebolehan sesuatu bangsa yang menjadi persoalannya sekarang tetapi polisi yang salah yang telah menjadikan mereka bergantung hidup terutamanya apabila ianya membantu Kerajaan Barisan Nasional mengekalkan genggaman kuasa yang dimilikinya.
Contoh terbaik adalah Negara China yang mengalami kebuluran dan keadaan ekonomi yang teruk disebabkan oleh polisi makan daripada “periuk besi tunggal” (a single iron pot) tanpa mengira sejauh mana mereka bekerja keras atau tidak. Walau bagaimanapun, semenjak Negara China membuka pintu ekonominya dan membenarkan seseorang itu menentukan kejayaan dan pulangannya melalui kesungguhan dan kerja keras, Negara China telah berjaya mentransformasikan negaranya daripada sebuah Negara yang “sakit di rantau Asia” dalam tahun 1960an kepada kedudukan ekonomi kedua terbesar di dunia menjelang tahun 2011.
Barisan Nasional telah mengamalkan polisi yang menyekat inisiatif, kerja keras, kesungguhan dan produktiviti yang mana ianya hanya memberi faedah kepada segelintir kroni-kroni Barisan Nasional sahaja. Contohnya, kuota sebanyak 30% saham terbitan syarikat yang disenaraikan di bursa Malaysia diberikan kepada orang Melayu hanya memanfaatkan segolongan orang Melayu sahaja, sedangkan golongan kebiasaan yang lain tidak pernah mendapat saham/pulangan daripada Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Negeri berasa kesal dengan unsur-unsur yang bersekutu dengan Barisan Nasional yang terdapat di kalangan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam menentang usaha kerajaan melaksanakan sistem tender terbuka dan urus tadbir CAT. Kita mestilah terus teguh bersama kerana apa yang dilaksanakan adalah berlandaskan pencapaian. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya menjadikan budget defisit sebanyak RM35 juta dalam tahun 2008 kepada lebihan sebanyak RM88 juta.
Anggaran defisit sebanyak RM40 juta untuk tahun 2009 telah berjaya menjadi lebihan sebanyak RM77 juta. Sepatutnya lebihan yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM92 juta sekiranya kerajaan tidak perlu membayar RM14.7 juta di atas kecuaian kerajaan lama dalam skandal tanah kes Tang Hak Ju.
Pulau Pinang berasa bangga kerana menjadi negeri pertama yang mengamalkan sistem tender terbuka di dalam semua kontrak dan pembelian kerajaan melalui internet (e-tender). Dengan mengamalkan prinsip CAT, Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama yang mana belum pernah ada mana-mana negeri atau Kerajaan Persekutuan yang menerima pujian dan pengiktirafan daripada Transparency International.
Dalam politik, kita perlukan lebih kawan daripada musuh. Tetapi kita bersedia untuk kehilangan kawan dan menambah musuh sekiranya kita mampu menukar cara fikiran/minda rakyat dengan memberikan peluang yang saksama, keyakinan, bergantung pada diri sendiri dan mendapat piawaian antarabangsa. Pencapaian terhebat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan ancaman besar kepada cengkaman kuasa Kerajaan Barisan Nasional adalah bukti yang menunjukkan bahawa polisi yang betul dapat menjadikan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya bersaing secara sihat dan berjaya menjadi yang terbaik.
LIM GUAN ENG

| < Sebelum | Selepas > |
|---|











