MAJLIS PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN PEJABAT BAHARU JABATAN LANDSKAP DAN JABATAN KHIDMAT KEMASYARAKATAN

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN PEJABAT BAHARU

JABATAN LANDSKAP DAN JABATAN KHIDMAT KEMASYARAKATAN

17 JANUARI 2017 (HARI SELASA), JAM 9.00 PAGI
TAMAN BANDARAYA, PERSIARAN KUARI, PULAU PINANG

 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Saya ucapkan terima kasih kepada MBPP dan Yang Berusaha Ar. Yew Tung Seang serta lain-lain jemputan dalam Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Pejabat Baharu Jabatan Lanskap dan Jabatan Khidmat Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang telah siap sepenuhnya pelaksanaan kerja pembinaan. Kos projek ini adalah sebanyak RM5,158,666.00 dan kerja-kerja pembinaan bermula pada 1 Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada 16 September 2016.

Bangunan ini adalah bangunan hijau dan direkabentuk khas agar penggunaan penghawa dingin dikurangkan disebabkan oleh ventilasi yang baik dengan dinding melintang hijau atau “Vertical Green wall”. Ia boleh digunakan disepanjang bangunan sebagai peranti teduhan semula jadi daripada pancaran matahari. Bangunan ini juga mengamalkan rekabentuk tanpa sempadan dalam ruang kerja.

Bangunan ini bukan saja berfungsi sebagai pusat pentadbiran malah akan menjadi satu Pusat Informasi kepada para pengunjung untuk mendapat pelbagai maklumat mengenai Taman Bandaraya ini. Dengan satu suasana yang begitu nyaman, udara yang segar dengan kehijauan yang terdapat disekelilingnya adalah selaras dengan konsep ‘Pejabat dalam Taman’.

Pulau Pinang hanya boleh berjaya mencapai status negeri bertaraf antarabangsa dan hijau sekiranya ia juga adalah bersih dan hijau. Kerajaan negeri komited kepada usaha menjadi negeri hijau dengan merupakan negeri pertama di Malaysia memimpin beberapa inisiatif hijau seperti kempen kurangkan penggunaan beg plastik sejak tahun 2009, mengharamkan penggunaan beg polisterin, menanam 271,000 pokok baru di Pulau Pinang sejak tahun 2008, memastikan tidak ada pembalakan dalam hutan simpanan kekal yang tidak langsung dikurangkan dan mencatatkan kadar kitar semula yang paling tinggi di Malaysia sebanyak 32% berbanding dengan hanya 12% untuk seluruh negara.

Dengan kata-kata ini saya merasmikan Pejabat baharu Jabatan Landskap dan Jabatan Khidmat Kemasyarakatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Semoga dengan pembukaan rasmi bangunan ini bukan saya melahirkan suasana kodusif kepada kakitangan malah terus menyalurkan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat Negeri Pulau Pinang .

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT PELANTIKAN JKKK TAHUN 2017/2018 (BAHAGIAN SEBERANG PERAI)

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT PELANTIKAN JKKK TAHUN 2017/2018
(BAHAGIAN SEBERANG PERAI)

16 JANUARI 2017
DEWAN MILLENIUM, KEPALA BATAS

 

Selamat sejahtera.

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran kerana pada malam yang berbahagia ini, kita dapat bertemu dalam Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Ahli JKKK Peringkat Negeri Pulau Pinang (Bahagian Seberang Perai) bagi Penggal 2017/2018.

Ucapan terima kasih saya tujukan kepada Jawatankuasa Pemilihan JKKK Peringkat Daerah dan Peringkat Negeri di atas penganjuran majlis pada malam ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua yang terpilih sebagai Pengerusi, Setiausaha dan ahli JKKK untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini. Saya ingin mengingatkan pelantikan ini merupakan suatu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu ditunaikan dan perlu bertanggungjawab.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Umumnya, JKKK di Pulau Pinang mewakili suara Kerajaan di peringkat akar umbi iaitu di peringkat kampung atau komuniti. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan ekonomi di kawasan bandar, luar bandar dan desa diurus dengan sebaik mungkin dengan bantuan yang padu daripada JKKK.

Keseluruhannya, terdapat 299 JKKK bagi kelima-lima daerah di negeri ini. Ini berikutan Kerajaan Negeri telah meluluskan tambahan sembilan (9) Kawasan JKKK berbanding 290 JKKK sebelum ini.

Terkini, sebanyak 287 JKKK Peringkat Negeri Pulau Pinang telah diperakukan bagi Penggal 2017/2018 dengan bilangan ahli seramai 4059 orang dan daripada jumlah tersebut seramai 953 orang wanita telah dicalonkan.

Untuk makluman hadirin sekalian, di Bahagian Seberang Perai terdapat sebanyak 58 JKKK di Daerah Seberang Perai Utara, 64 JKKK di Daerah Seberang Perai Tengah dan 42 JKKK di Daerah Seberang Perai Selatan telah dipertimbangkan bagi penggal 2017/2018 dengan jumlah ahli keseluruhan yang dilantik di Bahagian Seberang Perai seramai 2334 orang ahli dan daripada jumlah tersebut, pencalonan wanita di ketiga-tiga daerah yang terlibat adalah seramai 520 orang ahli.

Fungsi, peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari serta ahli-ahli JKKK adalah luas dan berat. Maka, perlulah setiap JKKK menjalankan fungsi-fungsi dan memainkan peranan dan memikul tanggungjawabnya sebaik mungkin demi memastikan matlamat pembangunan negeri khususnya dan negara amnya tercapai.

Suka saya tekankan di sini beberapa aspek yang perlu dititikberatkan dalam memastikan semua JKKK yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh berhemah dan berdisiplin. Semua ahli JKKK perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah 3A (Available, Accessible,Affordable) agar tanggungjawab yang diberikan dapat disampaikan secara 3B (Bersih,Bijak,Berani) dalam usaha untuk mengatasi permasalahan utama negeri ini iatu 3C (Crime, Cleanliness, Congestion of Traffic). Semua ini merangkumi kerja 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) agar kita dapat menjadi Kerajaan Negeri berjiwa rakyat yang berasaskan 3E (Enable,Empower, Enrich The People) iaitu memperkasakan rakyat, memperkuasakan rakyat dan memperkayakan rakyat. Semua ahli JKKK juga harus bersifat 3F (First, Fast, Faithful) agar kita dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan pantas dan sentiasa setia kepada Kerajaan Negeri dan rakyat dalam usaha untuk memastikan Negeri Pulau Pinang sentiasa 3G (Green, Gender Sensitive, Generation-rated agar menggunakan teknologi terkini).

Kerajaan Negeri sedar akan peranan penting yang dimainkan oleh JKKK sebagai penyelaras pelaksanaan dasar, program dan projek pembangunan di dalam sebuah komuniti. Justeru, sebagai galakan untuk mempertingkatkan lagi prestasi Pengerusi dan Setiausaha JKKK, elaun bulanan akan dinaikkan sebanyak RM50 daripada RM650 kepada RM700 untuk Pengerusi dan RM550 kepada RM600 untuk Setiausaha berkuatkuasa 1 Januari 2017.

Bagi elaun Pengerusi dan Setiausaha untuk 299 JKKK yang terlibat, peruntukan setahun yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi kedua-dua jawatan tersebut adalah sebanyak RM4,664,400.00.

Bagi ahli JKKK biasa pula, elaun mesyuarat akan ditambah sebanyak RM10 daripada RM40 kepada RM50 sebulan mulai 1 Januari 2017 dengan peruntukan keseluruhan setahun adalah RM1,332,200. Langkah ini akan memastikan ahli JKKK tidak tercicir daripada layanan yang sepatutnya daripada Kerajaan Negeri.

Untuk makluman, perbelanjaan keseluruhan JKKK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM6,470,360.00 dan dengan kenaikan dan penambahan elaun yang baharu ini akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM7,295,600.00 setahun dengan peningkatan sebanyak 12.75% kepada 299 JKKK yang disenaraikan.

Anda adalah penghubung di antara Kerajaan Negeri dan rakyat/ masyarakat setempat. Sekiranya anda gagal, mungkin kita juga akan tumbang dalam pilihanraya besar akan datang. Tingkatkan usaha untuk terus kekal sebagai organisasi yang penting dan relevan kepada masyarakat supaya anda boleh membantu Pakatan Harapan menang penggal ketiga dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Pilihanraya Umum (PRU-14).

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK KERJA-KERJA TEBATAN BANJIR DAN MENAIKTARAF SISTEM SALIRAN S22 BAGI MENGATASI MASALAH BANJIR DI LORONG PERAK DAERAH TIMUR LAUT, PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI
SEMPENA MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK KERJA-KERJA
TEBATAN BANJIR DAN MENAIKTARAF SISTEM SALIRAN S22 BAGI MENGATASI MASALAH BANJIR DI LORONG PERAK
DAERAH TIMUR LAUT, PULAU PINANG

PADA 16 JANUARI 2017


Selamat pagi dan salam sejahtera.

Syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana dapat mengadakan Majlis Perasmian Penyempurnaan Projek Tebatan Banjir dan Menaiktaraf Sistem Saliran S22 Di Lorong Perak pada pagi yang sungguh bermakna ini.

Kerajaan Negeri melalui MBPP telah membelanjakan sebanyak RM3,230,295.95 pada tahun 2014 untuk menjalankan projek-projek naiktaraf sistem perparitan di Lebuhraya Pykett, Jalan Logan, Jalan Cantonment, Jalan Residensi, Jalan Macalister dan di Gat Lebuh Pasar.

Manakala pada tahun 2015, Kerajaan Negeri, juga melalui MBPP telah membelanjakan sejumlah RM5,293,491.08 bagi menjalankan kerja-kerja naiktaraf sistem perparitan di Jalan Burma, Jalan Kelawei, Jalan Pengkalan Weld, Jalan Residensi, Jalan Anson dan Lintang Bayan Lepas.

Para hadirin sekalian,

Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8,865,919.90 bagi membiayai projek menaiktaraf sistem perparitan dan tebatan banjir oleh MBPP.

Sebahagian daripada peruntukan RM8,865,919.90 tersebut adalah melibatkan pembiayaan projek yang kita rasmikan pada pagi ini iaitu Projek Tebatan Banjir dan Menaiktaraf Sistem Saliran S22 Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Lorong Perak yang melibatkan kos sebanyak RM2.5 juta.

Komponen – komponen projek ini adalah melibatkan kerja-kerja pemasangan pembentung bersaiz di antara sehingga saiz 0.9 meter lebar hingga 2.7 meter lebar, pengalihan utiliti, roadworks, serta kerja-kerja pembinaan laluan pejalan kaki.

Para hadirin sekalian,

Banjir besar sungai atau limpahan sungai berlaku apabila sungai menerima jumlah air hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan dan mustahil untuk air dari longkang mengalir. Ini berlaku seperti di Sungai Pinang apabila hujan lebat turun sepanjang 3 hari berturut-turut sebanyak 300mm menyebabkan banjir besar berlaku termasuk di tempat yang tidak pernah banjir.

Oleh kerana banjir besar sungai ini, ia memerlukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berskala besar atau mega. Itulah sebabnya RTB Sungai Pinang memakan kos sebanyak RM350 juta.

Sungguhpun Kerajaan Persekutuan hanya meluluskan RM150 juta, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan dan akan terus meminta baki RM200 juta untuk melengkapkan RTB Sungai Pinang yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri juga memainkan peranannya dengan memperuntukkan sebanyak RM220 juta bagi tujuan pencegahan banjir kilat di seluruh Pulau Pinang, iaitu jumlah yang paling besar oleh Kerajaan Negeri dalam sejarah Pulau Pinang.

RM 150 juta diperuntukan kepada JPS atau agensi Kerajaan Negeri, RM 50 juta oleh PBA Holdings untuk meyambung paip air di antara Empangan Air Itam ke Empangan Air Teluk Bahang agar air lebihan boleh dialihkan ke Teluk Bahang serta RM 20 juta oleh MBPP dan MPSP untuk projek tebatan banjir masing-masing.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun 2017 kepada JPS untuk menjalankan projek-projek seperti berikut:

i. Projek Tebatan Banjir di Sungai Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM12.6 juta

ii. Projek Tebatan Banjir di Padang Lalang/Kampung Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM19.1 juta

iii. Projek Tebatan Banjir di Bukit Tengah, Daerah Seberang Perai Tengah, berjumlah RM19 juta

iv. Projek Tebatan Banjir di Taman Mangga/Jalan Juru, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM11.5 juta

v. Projek Tebatan Banjir di Alma, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM9.6 juta

vi. Projek Tebatan Banjir di Mak Mandin Daerah Seberang Perai Utara berjumlah RM 40 juta

vii. Projek Tebatan Banjir di Sungai Relau, Bayan Baru berjumlah RM20.1 juta

viii. Projek Tebatan Banjir di Taman Iping Daerah Barat Daya berjumlah RM13.6 juta

ix. Projek Tebatan Banjir di Kampung Naran, Daerah Barat Daya berjumlah RM4.5 juta

Kami percaya projek-projek RM220 juta dan projek Kerajaan Persekutuan RTB Sungai Pinang sebanyak RM 350 juta selepas ia siap ini akan memberikan impak yang besar dalam usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjir di seluruh Negeri Pulau Pinang.

Dengan itu, tanpa melengahkan masa lagi, saya menyempurnakan Projek Kerja-Kerja Tebatan Banjir Dan Menaiktaraf Sistem Saliran S22 Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Lorong Perak Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 1/2017 (BAHAGIAN SEBERANG PERAI)

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH

DI PULAU PINANG BIL 1/2017

PADA 15 JANUARI 2017

Salam sejahtera kepada semua.

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana telah bertungkus lumus dan telah berjaya menguruskan proses pemberian insentif kali pertama yang menggabungkan pemandu teksi dan operator bas sekolah pada tahun ini.

Untuk makluman, insentif teksi telah mula diberikan sejak tahun 2013 manakala kepada operator bas baru sahaja mula diberikan pada tahun lepas.

Terima kasih saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang yang telah menyediakan jambatan untuk menghubungi golongan pemandu teksi dan operator bas sekolah dengan Kerajaan Negeri.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Pada hari yang bersejarah ini, semua pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300 setiap seorang. Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 1741 orang pemandu. Seramai 1291 orang pemandu di bahagian Pulau dan 450 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini.

Manakala bagi operator bas sekolah, seramai 602 operator bas sekolah dengan permit yang sah layak dengan 297 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 305 operator bas di Seberang Perai.

Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM702,900.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Dua Ribu Sembilan Ratus Sahaja).

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Kerajaan Negeri menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600 setahun kepada tuan-tuan dan puan-puan. Tiada negeri lain di Malaysia yang menyediakan bayaran insentif kepada mana-mana pemandu teksi dan sekarang diperluaskan kepada operator bas sekolah pula. Hanya di Pulau Pinang sahaja yang ada. Tujuan Kerajaan Negeri supaya semua pemandu teksi, kereta sewa dan operator bas sekolah di Pulau Pinang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap penumpang tanpa mengambilkira bangsa, agama mahupun latar belakang politik.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Akhir sekali Kerajaan Negeri berjanji akan sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan semua pemandu teksi dan operator bas di Pulau Pinang.

Saya juga berharap insentif ini dapat digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan operator bas sekolah didalam urusan seharian. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tuan-tuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, terima kasih.